Orang perempuan sukakan rumah yang cantik dan kemas. Selagi ada yang nampak tak kemas, pasti matanya akan berasa sakit. Pendek kata, dari halaman rumah sampailah ke bilik air semuanya wajib tersusun rapi. Salah satu perkara yang selalu memeningkan kepala para ibu ialah cara susun kasut. Biasanya kasut akan diletakkan di pintu masuk rumah, maka apabila ada tetamu yang bertandang, pastinya kasut yang bersepah akan menjejaskan pemandangan.

Bayangkan kalau ibu yang beranak ramai, berapa pasang kasut yang ada? Belum ditambah lagi dengan koleksi kasut yang ibu ada. Dibuatnya dapat jenis anak dan suami yang jenis buka kasut dan tinggal, tanpa disusun. Alamatnya berselerak kasut, penuh pintu masuk rumah. Sekali dua bolehlah ibu susunkan, tapi kalau setiap hari nak disusun penat juga. Belum cerita tentang kerja rumah yang lain.

Untuk ibu-ibu yang dah lama mengidamkan rumah yang kemas dengan susun atur kasut yang tidak menyakitkan mata, hari ini kami akan kongsikan cara susun kasut dengan tips mudah yang boleh diamalkan, terutamanya kalau ada terlalu banyak kasut di rumah anda. Semoga bermanfaat!

cara susun kasut

Sumber: Mstar

1. Jangan biarkan kasut diatas lantai

Rumah akan kelihatan sangat bersepah dan tidak kemas jika anda memilih untuk membiarkan kasut disusun di atas lantai. Jika Cuma anda seorang yang tinggal di rumah, mungkin tiada masalah kerana cuma akan ada sepasang dua kasut di lantai. Namun jika anda sudah berkeluarga dan mempunyai anak, bayangkan berapa pasang kasut yang akan bersusun di atas lantai?

Malah jika anda beranak kecil, pastinya kasut akan diletakkan begitu sahaja tanpa disusun dengan cantik. Malah kasut mungkin akan berterabur seperti di masjid. Kan sakit mata dibuatnya? Oleh itu, cadangan kami ialah jangan biarkan kasut di atas lantai sebaliknya belanjakan sedikit duit untuk membeli rak kasut. Menyimpan kasut dalam rak akan membuatkan rumah kelihatan lebih kemas dan teratur.

2. Beli rak kasut berpintu

Semasa ingin membeli rak kasut, kami cadangkan anda pilih rak kasut yang berpintu. Ini kerana apabila rak kasut anda berpintu, tetamu yang datang ke rumah tidak akan dihidangkan dengan pemandangan kasut yang beraneka jenis, saiz dan warna sebaik sahaja tiba di muka pintu. Selain itu, rak yang berpintu akan mengurangkan sakit mata anda jika suami dan anak-anak masih tidak mahu menyusun kasut dengan kemas di atas rak. Tutup sahaja pintu, masalah kasut berselerak akan hilang dari mata. Jika anda membeli rak kasut tanpa pintu, anda mungkin akan masih sakit mata melihat kasut yang berselerak di atas rak.

3. Sediakan compartment dalam rak kasut

Satu lagi cara susun kasut yang boleh anda amalkan ialah dengan menyediakan compartment atau ruang kecil di dalam rak. Anda boleh letakkan bakul kecil atau kotak untuk membahagikan ruang di dalam rak. Dengan cara ini, masalah kasut yang disimpan secara berselerak akan hilang sama sekali kerana setiap kasut akan disimpan dalam compartment atau bahagian masing-masing.

cara susun kasut

Sumber: Mstar

Selain membuatkan rumah lebih kemas, menyimpan kasut dalam ruang compartment akan melindungi kasut daripada berhabuk, terutamanya kasut yang jarang dipakai. Kalau rak kasut anda berada di luar rumah, menyimpan dalam compartment akan melindungi kasut anda daripada cahaya matahari dan air hujan. Sayang kan kasut yang anda beli mahal-mahal.

4. Letakkan kasut yang kerap digunakan sahaja di muka pintu

Cara susun kasut yang seterusnya ingin kami kongsikan pada hari ini ialah letakkan kasut yang kerap digunakan sahaja di muka pintu agar tidak terlalu banyak kasut yang perlu disusun di dalam rak kasut. Bayangkan orang perempuan, kasut kita sahaja dah berapa pasang? Berapa besar rak kasut perlu disediakan untuk memuatkan semua kasut yang ada?

Oleh itu, cadangan kami ialah letakkan kasut yang kerap digunakan sahaja di rak kasut. Kasut yang jarang digunakan boleh disimpan di dalam rumah. Nak guna baru dikeluarkan. Dengan cara ini, anda tidak perlu membeli rak kasut yang terlalu besar. Harganya bukan murah malah akan memakan terlalu banyak ruang di depan pintu.

5. Pilih rak kasut yang jimat ruang

Cara susun kasut yang seterusnya ialah pilih rak kasut yang jimat ruang. Sebagau contoh, beli rak kasut yang tergantung di dinding kerana ia akan menjimatkan ruang. Atau pun anda juga boleh membeli rak kasut yang kecil tapi tinggi sehingga ke siling. Kalau anda tiada idea, luangkan masa untuk melawar Ikea, SSF, atau kedai perabot untuk mendapatkan idea rak kasut yang ideal untuk rumah anda.

6. Susun kasut ikut kategori

Menyusun kasut mengikut kategori juga adalah cara susun kasut yang wajib anda amalkan jika nakkan rumah yang kemas dan teratur. Sebagai contoh, satu barisan rak digunakan untuk menyimpan kasut sukan, manakala barisan yang lain digunakan untuk menyimpan kasut kerja. Menyusun kasut ikut kategori juga akan memudahkan anda mencari kasut semasa hendak keluar rumah.

7. Gantung kasut untuk jimat ruang

Tips susun kasut yang terakhir untuk hari ini ialah gantung kasut di dalam rak untuk menjimatkan ruang. Anda boleh beli panggantung kasut atau hanger seperti yang di kedai kasut. Menggantung kasut bukan sahaja menjimatkan ruang malah membantu mengelakkan kasut daripada berbau kerana sentiasa dianginkan.

cara susun kasut

Sumber: Shopee

Itulah dia perkongsian tentang cara susun kasut yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang DIY rak kasut tips dekorasi bajet dan idea pengangkut baju

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.