Bagaimanakah cara solat sunat tasbih dan doa mujarab yang bagus untuk diamalkan bersama selepas solat?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan cara solat sunat tasbih yang perlu anda tahu.

Apa itu solat sunat tasbih

cara solat sunat tasbih

Terdapat banyak solat sunat yang boleh dilazimi oleh kita dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Antaranya solat sunat tasbih yang pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada bapa saudaranya, Saidina Abbas bin Abdul Mutalib RA.

Solat ini dinamakan solat sunat tasbih kerana ketika solat kita mengucapkan sebanyak 300 kali tasbih semasa menunaikannya.

Sebagai umat Islam, kita dianjurkan untuk mengerjakan solat sunat ini setiap malam dan sekiranya tidak mampu, sekali seminggu.

Sekiranya masih tidak mampu, dikurangkan kepada sekali sebulan dan jika masih tidak sanggup juga cukuplah melakukannya sekali dalam setahun, atau setidak-tidaknya sekali dalam seumur hidup.

Rakaat solat sunat tasbih

Solat sunat tasbih sedikit berbeza apabila dilaksanakan pada siang hari dan malam hari. Pada siang hari, kita hendaklah mengerjakan empat rakaat dengan satu salam.

Manakala apabila kita lakukan pada malam hari, masih empat rakaat cuma ia ditunaikan dengan dua rakaat setiap satu salam.

  • Empat rakaat satu kali salam apabila di lakukan siang hari
  • Empat rakaat dua kali salam apabila di lakukan malam hari

Cara solat sunat tasbih

cara solat sunat tasbih

Cara melakukan solat sunat tasbih masih seperti solat sunat biasa namun, ada tambahan bacaan tasbih di setiap pergerakan yang tertentu.

Bilangan tasbih pada setiap rakaat ialah 75 tasbih:

  • Selepas baca doa Iftitah, Al-Fatihah dan surah, kita baca 15 kali tasbih
  • Rukuk – 10 kali tasbih
  • Iktidal – 10 kali tasbih
  • Sujud pertama – 10 kali tasbih
  • Duduk antara dua sujud – 10 kali tasbih
  • Sujud kedua – 10 kali tasbih
  • Duduk sebentar (sebelum berdiri) seperti duduk antara dua sujud – 10 kali tasbih

Sekiranya terkeliru atau terlupa dengan jumlah bacaan tasbih dalam setiap pergerakan, tidak menjadi masalah kerana boleh gantikan bacaan tasbih pada tempat seterusnya.

Namun pastikan jumlah tasbih yang sudah dibaca setelah selesai solat ialah 300 kali. Antara surah-surah yang dianjurkan ulama ialah:

  1. Rakaat Pertama:  Surah at-Takathur atau ad-Dhuha
  2. Rakaat Kedua:  Surah al-Ashr atau al-Insyiraah
  3. Rakaat Ketiga:  Surah al-Kafirun atau al-Kauthar
  4. Rakaat Keempat:  Surah al-Ikhlas atau an-Nashr

Cara mengerjakan solat sunat tasbih adalah seperti berikut:

1. Niat

  • Lafaz niat solat tasbih: Dua rakaat;

أُصَلِّيْ سُنَّةَ التَّسْبِيْحِ رَكَعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku sembahyang sunat tasbih dua rakaat kerana Allah Taala”

  • Lafaz niat solat tasbih pada siang hari: Empat rakaat;

 “Sahaja aku sembahyang sunat tasbih empat rakaat kerana Allah Taala”

2. Membaca doa Iftitah, surah al-Fatihah dan diikuti dengan surah-surah yang bersesuaian antara yang dicadangkan adalah; al-Takathur, al-Asr, al-Kafirun dan al-Ikhlas.

3. Seusai membaca surah, bacalah tasbih ini sebanyak 15 kali. Jika masih berasa berat, bacalah di bahagian awalnya sahaja.

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُلِلَّهِ وَلَا إِلهَ إِلَّا اللَّهُ

وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّأ بِاللَّهِ

الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ.

4. Rukuk dan selepas bacaan rukuk, bertasbihlah sebanyak 10 kali.

5. Iktidal, sesudah membaca bacaan iktidal, tasbih dibaca sebanyak 10 kali.

6. Sujud; selesai membaca bacaan sujud, teruskan dengan bertasbih 10 kali

7. Duduk antara dua sujud; selepas membaca doa duduk diantara dua sujud, bacalah tasbih sebanyak 10 kali.

8. Sujud; selepas bacaan sujud kedua,bacalah tasbih sebanyak 10 kali.

9. Duduk sebelum bangun untuk teruskan rakaat kedua, duduk sebentar dan bertasbihlah sebanyak 10 kali.

10. Akhiri solat dengan doa tasbih.

Doa yang boleh dibaca selepas solat

اللَّهمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ تَوْفِيقَ أَهْلِ الْهُدَى،

وَأَعْمَالَ أَهْلِ الْيَقِينِ، وَمُنَاصَحَةَ أَهْلِ

التَّوْبَةِ، وَعَزَمَ أَهْلِ الصَّبْرِ، وَوَجِلَ أَهْلِ

الْخَشْيَةِ، وَطَلَبَ أَهْلِ الرَّغْبَةِ، وَتَعَبُّدَ أَهْلِ

الْوَرْعِ، وَعِرْفَانَ أَهْلِ الْعِلْمِ حَتَّى أَخَافَكَ.

     اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُكَ مَخَافَةً تُحْجِزُنِي عَنْ

مَعَاصِيكَ حَتَّى أَعْمَلَ بِطَاعَتِكَ عَمَلًا

أَسْتَحِقُّ بِهِ رِضَاكَ حَتَّى أَعْمَلَ بِطَاعَتِكَ فِي

التَّوْبَةِ وَخَوْفًا مِنكَ حَتَّى أُخْلِصَ لَكَ

النَّصِيحَةَ وَحَتَّى أَتَوَكَّلَ عَلَيْكَ فِي الْأُمُورِ

كُلِّهَا وَحُسْنِ الظَّنِّ بِكَ، سُبْحَانَكَ خَالِقَ

النُّورِ، رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا، وَاغْفِرْلَنَا إنَّكَ

عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon taufiq daripadaMu sepertimana orang-orang yang telah engkau beri petunjuk dan jadikan amalan kami ini seperti amalan ahli yakin.

Dan jadikan kami ini golongan orang-orang yang menerima nasihat orang-orang yang bertaubat dan keazaman kami sepertimana orang-orang yang takut dan kami memohon seperti mana permohonan orang-orang yang suka kepada ibadat orang-orang yang waras.

Dan jadikanlah pengetahuan kami ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga kami termasuk ke dalam orang-orang yang takut kepada engkau. Ya Allah, kami memohon kepadaMu, jadikanlah kami golongan yang takut, yang menghalang kami beramal dengan taat kepadaMu sebagaimana amalan yang kami merasa perlu mendapat keredaanmu.

Dan juga kami memohon sehingga kami betul-betul ikhlas dan bertawakkal kepadamu dalam setiap perkara dan kami memohon supaya menjadi orang yang baik sangka terhadapmu. Maha suci Engkau sebagai Pencipta cahaya (petunjuk).”

Kelebihan solat sunat tasbih

Solat sunat tasbih ini dapat membuka pintu keampunan Allah SWT atas segala dosa dan kesilapan kita hambaNya.

Daripada Ibnu Abbas RA;

“Rasulullah SAW telah bersabda kepada Abbas bin Abdul Muthalib; Wahai al-Abbas, bapa saudaraku! Sukakah aku berikan, aku kurniakan dan aku ajarkan kepadamu ‘sepuluh kelebihan’ jika kamu lakukannya, nescaya Allah akan mengampunkan dosa kamu dari awal hingga akhirnya, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan yang disengajakan, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terangan; 

Hendaklah kamu lakukannya dalam empat rakaat. Jika kamu dapat kerjakan solat itu pada setiap hari sekali, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, lakukanlah sekali pada setiap jumaat. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap bulan. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap tahun. Jika tidak mampu juga, lakukanlah sekali seumur hidup.”

(Hadis Riwayat Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Dari hadis ini maka fahamlah kita bahawa ganjaran mengerjakan solat sunat ini sangatlah besar iaitu pahala yang besar dan tidak terhitung nilainya.

Bahkan Allah SWT menjanjikan untuk menghapuskan dosa-dosa sama ada yang sudah lama atau baru walau sekecil manapun, sengaja atau sebaliknya.

Sebab itulah Baginda  SAW sangat menggalakkan agar umatnya mendirikan juga solat tasbih ini sekurangnya sekali seumur hidup, sehingga begitu Baginda memperingatkan kita agar mengambil “hadiah” hebat dari Allah SWT ini.

Manakala bertasbih atau memuji Allah SWT merupakan satu zikir yang mudah dibaca namun amat tinggi nilai ganjaran pahala yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzaab, ayat 35 yang bermaksud:

Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

Bertasbih juga dapat menyucikan jiwa kita dari penyakit hati seperti perasaan dengki, sedih dan selalu rasa kekosongan. Sekiranya jiwa kita diisi dengan kalimah yang indah seperti tasbih insya Allah kita akan sentiasa merasa tenang dan damai.

Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT yang diciptakan dengan penuh kasih sayang rugilah sekiranya masa yang dipinjamkan Allah SWT tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Sedangkan seluruh alam bertasbih kepada Allah SWT, apa lagi alasan yang ingin kita berikan untuk berkata tidak?

Semoga kita semua dapat menunaikan solat tasbih ini sekerap mungkin, paling kurang pun sekali seumur hidup, amin.

Selain dari cara solat isyraq ini, anda juga boleh baca artikel tips kami yang lain berkenaan panduan solat seperti:

Sumber:

  1. Doa Solat Tasbih Dalam Rumi dan Terjemahannya. Taqwa.my
  2. Solat Tasbih: Niat, Panduan & Kelebihannya. Taqwa.my
  3. Al-Kafi #1808: Adakah Boleh Menunaikan Solat Tasbih Selepas Maghrib. Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis: Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Berkhidmat sebagai seorang guru tuisyen Bahasa Melayu mendatangkan minat dalam bidang penulisan.Suka berkongsi idea dan info dengan rakan-rakan tak kira di alam maya atau realiti . Mengharapkan setiap yang membaca mendapat manfaat yang sebaiknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.