Terdapat beberapa cara mengatasi kurang keyakinan diri. Kurang rasa keyakinan diri boleh menyebabkan kesan negatif kepada seseorang. Berbanding generasi dulu, generasi sekarang lebih banyak menghabiskan masa dengan melayari media sosial atau bermain video game.

Disebabkan perkara tersebut, mereka jarang menghabiskan masa bersama kawan-kawan dan berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini pastinya akan mengakibatkan mereka hilang keyakinan diri, apabila terpaksa berhadapan dengan orang ramai.

Rasa percaya kepada diri sendiri sangat penting kerana dapat tampil dengan yakin di hadapan orang lain. Di sini saya kongsikan cara mengatasi kurang keyakinan diri. Semoga membantu!

1. Terima Diri Seadanya

Cara mengatasi kurang keyakinan diri yang pertama adalah terima diri anda seadanya iaitu tidak membandingkan diri dengan orang lain. Ramai yang hilang keyakinan kerana terlampau melihat kepada keburukan diri sendiri dan menyanjung kelebihan yang ada dalam diri orang lain.

Hal ini sebenarnya akan membuatkan anda berasa tertekan dan merosakkan diri sendiri. Berhenti membandingkan diri dan percaya jika mereka boleh lakukan, kenapa tidak anda? Jika mereka boleh gembira anda juga berhak gembira! 

2. Percaya dengan Kebolehan Diri

Apa yang menghentikan anda adalah kerana anda tidak percaya akan diri sendiri. Berbanding selalu merasa teragak-ragak untuk memulakan sesuatu, anda seharusnya cuba untuk melakukan sesuatu yang baru.

Letakkan diri anda dalam posisi yang berani untuk mencuba benda-benda baru. Jangan takut untuk gagal dan cuba untuk melihat perkara baru sebagai pengalaman dan perspektif yang berbeza.

Hal ini mungkin akan membantu anda untuk mempelajari benda baru dan dapat memberikan kekuatan sekaligus meningkatkan keyakinan, ketika anda berhasil melakukan sesuatu tanpa teragak. Kita mungkin sedar, terdapat potensi dan kekuatan dalam diri kita yang dapat digunakan apabila kita berani untuk mencuba.

3. Tetapkan Matlamat Harian

Mungkin sebelum ini anda adalah seorang yang tertutup dan takut untuk melibatkan diri dengan aktiviti yang melibatkan ramai orang. Apa kata anda ambil langkah pertama dengan menyertai aktiviti tersebut tanpa memkirkan bahawa anda akan gagal.

Apabila anda menetapkan matlamat harian, anda akan merasa bertanggung jawab untuk menyelesaikan perkara yang disenaraikan oleh anda sebelum tidur. Setiap tugasan yang diselesaikan mungkin dapat membantu untuk meningkatkan keyakinan diri, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. 

Jadi cuba untuk senaraikan satu perkara yang ingin dicapai oleh anda pada setiap hari.

4. Memberikan Hadiah Kepada Diri Sendiri

Percaya atau tidak, dengan memberikan hadiah kepada diri sendiri dapat membuatkan anda lagi bersemangat untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Berikan penghargaan apabila anda berjaya menyelesaikan sesuatu pekerjaan dengan baik, termasuk dalam tips untuk meningkatkan keyakinan diri.

Hal ini dapat dijadikan langkah pertama untuk menghargai diri sendiri. Self-reward boleh dikatakan sebagai pujian untuk diri sendiri kerana telah melakukan yang terbaik. Ianya juga membuatkan diri anda rasa lebih dihargai.

5. Memilih Rakan yang Positif

Sokongan orang sekeliling sangat memainkan peranan dalam meningkatkan keyakinan diri seseorang. Sekiranya orang sekeliling banyak memberikan kritikan, pastinya anda akan merasa tidak yakin untuk melakukan sesuatu perkara kerana risau akan pandangan dan kritikan orang lain.

Penting untuk memilih kawan yang positif, kerana mereka akan menyokong setiap tindakan anda dan memberikan kata-kata semangat untuk apa yang anda lakukan. Mungkin ini dapat menjadi penolak semangat untuk anda mencuba pelbagai perkara baru.

6. Dapatkan Hobi

Melakukan sesuatu yang disukai, pastinya dapat membuatkan anda teruja dan yakin dengan apa yang anda akan lakukan.

Melakukan perkara yang anda sukai secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan anda. Ini kerana anda akan berjumpa dengan ramai orang yang menyukai hal yang sama dengan anda. Anda mungkin akan merasa lebih selesa untuk meluangkan masa kerana mempunyai banyak persamaan.

7. Banyakkan Bergaul

Bergaul dengan ramai orang berbanding menjadi kera sumbang, pastinya dapat meningkatkan keyakinan anda. Apabila anda terbiasa berada dalam persekitaran yang ramai orang, anda tidak akan gelisah dan keliru sekiranya perlu bercakap di hadapan ramai orang. Hal ini juga pastinya akan membantu anda untuk berkomunikasi dengan lebih yakin.

Bergaul dengan seseorang juga mengajar anda untuk lebih memahami. Bergaul juga, membuatkan anda lebih berfikiran terbuka. Secara tak langsung, anda akan mempelajari banyak perkara dan meningkatkan skill sosial anda.

8. Memuji Diri Sendiri

Cara mengatasi kurang keyakinan diri yang lain adalah dengan biasakan diri untuk memuji diri sendiri. Memberikan kata-kata pujian dapat menaikkan mood anda.

Ingatkan diri untuk memuji diri ketika anda berjaya menyelesaikan tugasan dan kerja yang susah. Perkara ini akan mendorong diri anda untuk lebih percaya diri dengan setiap tugas atau kerja yang akan dilakukan.

9. Menjaga Penampilan

Selain itu, menjaga penampilan anda dengan berpakaian kemas dapat meningkatkan keyakinan diri. Apabila anda menjaga penampilan diri, pandangan masyarakat terhadap anda juga akan berubah.

Ramai yang kata penampilan menggambarkan sifat seseorang. Berpakaian kemas boleh meningkatkan kepercayaan seseorang terhadap anda kerana memberikan imej orang yang berjaya. Anda juga pastinya akan lebih yakin untuk berhadapan dengan orang lain.

10. Menjadi Diri Sendiri

Menjadi diri sendiri adalah yang paling penting. Jangan disebabkan anda obses dengan orang lain sehingga anda cuba untuk mengubah diri anda. Hal ini akan menyebabkan anda terlalu fokus untuk menjadi sempurna, sehingga anda tidak dapat menikmati perkara yang dapat membuatkan anda gembira.

Sebaliknya, jadi diri sendiri dan cari cara untuk percaya kepada diri anda. Dengan ini, anda pastinya akan lebih menikmati pengalaman yang akan datang kepada anda.

Kesimpulan

Dengan berkongsi cara mengatasi kurang keyakinan diri, mungkin dapat membantu anda untuk mengurangkan rasa tidak yakin terhadap diri sendiri. Apa yang boleh dilakukan adalah menyakinkan diri sendiri yang anda juga boleh buat apa yang orang lain buat. Harap tips ini dapat membantu! Selain artikel diatas, kami juga menulis artikel lain yang menarik.

Rujukan:

Penulis: Saiful Izzuan

Menulis berkenaan tips motivasi dan kejayaan di blog drInspirasi.com. Seorang yang gemar berkongsi mengenai prinsip Kejayaan dan Bakat. Kebanyakan artikel beliau boleh dibaca di www.drinspirasi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.