Tak ramai yang tahu bahawa yang sebenarnya mesin basuh juga perlu dicuci selalu. Dah berapa puluh tahun kita gunakan mesin basuh, hari ni baru tahu? Mesin basuh perlu dicuci kerana setiap kali kita menggunakannya untuk mencuci pakaian, akaa ada kotoran dan keladak yang tersimpan di dalam mesin basuh.
Lama-kelamaan keladak yang terkumpul tadi akan menyebabkan mesin basuh tidak lagi bersih. Akibatnya pakaian yang dibasuh tidak lagi bersih seperti dulu, malah mungkin juga akan menjadi semakin kotor akibat kotoran yang ada dalam mesin basuh.
Kadang-kadang baju tak kotor tapi berbau tak harum setiap kali dicuci. Kalau dulu baju berbau harum sabun basuh setiap kali dicuci, sekarang baju berbau hapak atau masam. Ini juga adalah salah satu petanda bahawa mesin basuh anda sudah terlalu kotor dan perlu dibersihkan.
Pastinya anda tertanya-tanya macam mana caranya untuk mencuci mesin basuh. Kalau nak kena hantar ke kedai dah jadi satu hal pula. Nak kena bayar duit, susah juga kalau banyak hari tiada mesin basuh di rumah. Percaya tak kalau kami katakan kita boleh cuci mesin basuh sendiri. Caranya pun sangat mudah. Kenapalah selama ni kita tak tahu.
Apa yang anda perlu lakukan ialah:
Pastikan mesin basuh anda kosong. Tak ada pakaian atau air di dalamnya.
Tekan butang ON.
Tekan butang SOAK atau TUB CLEANSING, dan tekan START.
Bila air dah hampir penuh, masukkan secawan cuka dan 3 sudu besar soda bikarbonat.
Tinggalkan saja mesin basuh. Biar ia bekerja sendiri sehingga siap.
Apabila siap cuba lihat mesin basuh anda, pastinya bersih dan berkilat seperti baru. Apabila membasuh baju pun tiada lagi kotoran atau bau yang pelik.
Selain cara di atas terdapat satu lagi cara membersihkan mesin basuh yang boleh anda lakukan. Cara kedua tidak menggunakan cuka dan soda bikarbonat. Sebaliknya anda perlu membeli sabun khas untuk mencuci mesin basuh. Caranya ialah seperti berikut:
Beli sabun khas untuk membasuh mesin basuh. Salah satu daripada sabun yang boleh anda beli ialah Drum Cleaner (Power Max) jenama Cosway yang berharga RM15.90 untuk bukan ahli. Sekotak sabun pencuci mesin basuh ini boleh digunakan sebanyak dua kali. Tak mahal pun harganya.
Baca arahan pada kotak. Di situ akan dinyatakan berapa lama anda perlu merendam sabun tadi sebelum dibasuh. Sebagai contoh, untuk Sabun Drum Cleaner (Power Max) jenama Cosway yang kami nyatakan tadi, ia perlu direndam selama 5 jam.
Pilih full cycle wash, dan pilih untuk merendam mengikut tempoh masa yang diarahkan pada kotak sabun. Pilih air pada tahap maksimum. Kalau mahu kesan yang lebih bersih kami cadangkan anda rendam selama semalaman.
Pada keesokan paginya anda akan nampak banyak kotoran dalam tub besin basuh anda. Kutip semua kotoran yang kelihatan. Sesudah air dibuang atau rinse, anda akan melihat banyak kotoran tertinggal di dasar tub mesin basuh. Kutip kotoran yang ada dan lap segala kotoran yang melekat.
Jangan lupa untuk membersihkan penapisnya sekali. Akan ada banyak kotoran yang terperangkap di situ juga.
Ulang proses full cycle tadi sehingga tiada lagi kotoran yang anda jumpai dalam mesin basuh.
Itulah dia dua cara cuci mesin basuh yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Selain itu kami ingin kongsikan kepada anda tips menjaga mesin basuh agar tahan lama. Maklumlah harga mesin basuh bukannya murah, malas kos untuk membaiki mesin basuh yang rosak juga bukannya murah. Di antara tips menjaga mesin basuh agar tahan lama yang boleh anda amalkan ialah:
Untuk menjaga kebersihan dan kilatan pada luaran mesin basuh atau bahagian badannya, anda boleh mencuci dengan bancuhan air dan cuka. Sukatannya ialah 1:1 nisbah air dan cuka. Rendam kain bersih dalam bancuhan air tadi dah lap seluruh badan mesin basuh. Pastinya mesin basuh anda akan cantik berkilat walau pun usianya sudah berbelas tahun.
Cuci filter atau penapis dengan kerap kerana biasanya ada banyak kotoran yang terperangkap di situ.
Penutup mesin basuh juga boleh dilap dengan menggunakan campuran air dan cuka mengikut nisbah di atas.
Laci sabun pencuci juga perlu dibersihkan. Caranya bersihkan dengan berus gigi lama yang dah tak digunakan. Sabun yang tertinggal di dalam laci ini boleh menjadi tempat kuman membiak dan masuk ke pakaian yang dicuci.
Jangan masukkan terlalu banyak pakaian melebihi had berat yang tertulis pada mesin basuh anda. Apabila anda memasukkan terlalu banyak muatan mesin basuh anda akan tetap berjalan seperti biasa namun ia akan menyebabkan mesin terpaksa berkerja dengan lebih. Jika anda menjadikan ia sebagai amalan, akibatnya mesin basuh anda akan terlebih bekerja lalu mula meragam dan akhirnya rosak.
Bukan semua kain boleh dibasuh oleh mesin basuh di rumah anda. Sebagai contoh ialah karpet. Jangan sesekali membasuh karpet di dalam mesin basuh kerana ianya terlalu berat dan akan menyebabkan mesin basuh anda rosak.
Jangan masukkan terlalu banyak sabun pencuci. Mungkin anda menyangka sabun basuh yang banyak akan membuatkan pakaian anda berbau harum selepas dibasuh namun hakikatnya tabiat ini akan menyebabkan mesin basuh cepat rosak.
Apabila kita menyebarkan kebaikkan walaupun satu ayat, kelak kebaikkan juga yang akan datang kepada kita. Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah satu usaha untuk menyebarkan kebaikkan. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.