Begini cara menjadi hamba yang bersyukur.

Bersyukur dalam bahasa yang mudah adalah berterima kasih, atau menunjukkan cara penghargaan selepas menerima sesuatu. Dari istilah pula ianya pengakuan bahawa semua kenikmatan adalah pemberian dari Allah SWT.

Orang yang bersyukur adalah orang yang berterima kasih sama ada pemberian tersebut sedikit atau banyak. 

Seorang muslim yang baik pasti tidak pernah lupa dan enggan untuk mensyukuri pemberian tuhannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl: 114:

“Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.”

Namun, bagaimana cara untuk menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT? Berikut beberapa hal yang disarankan;

1. Sentiasa Mengingati Allah SWT

Antaranya dengan berzikir sebagai maksud sentiasa mengingati Allah. Apabila fikiran sentiasa ingat, pasti bibir akan mengucapkannya selalu.

Ini termasuklah juga beristighfar, bertakbir, bertahmid, membaca al-Quran dan sesuatu yang sama maksud dengan mengingati Allah SWT.

2. Sentiasa Memuji Allah

Pujilah Allah atas segala nikmat yang diberikan. Lafazlah hamdalah (alhamdulillah) yang bermaksud segala puji bagi Allah secara lisan setiap kali ingin melahirkan rasa syukur pada bila-bila masa pun. Terutamanya sewaktu mendapat rezeki atau kehendak dimakbulkan Allah.

Bukan sahaja mendapat pahala, lafaz ini juga membuktikan bahawa kita sebagai hambaNya yang bersyukur dengan nikmat tersebut.

3. Mematuhi Perintah dan  Menjauhi Larangan-Nya

Cara berterima kasih juga adalah dengan mematuhi setiap yang perintah dan suruhan Allah SWT. Terutamnya solat, puasa dan semua ibadah yang terkandung dalam rukun iman dan islam. Jangan tinggal apa-apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Pastikan diri tidak melakukan hal yang dilarang oleh agama. Jauhi perkara yang mendekatkan diri dengan dosa dan kemurkaan Allah.

4. Mendirikan Ibadah

Menyatakan kesyukuran dengan cara terbaik adalah dengan menunaikan ibadah sebanyak yang mungkin. Terutamanya solat wajib, dan diikuti dengan solat sunat. Dirikanlah ibadah selainnya dengan bersungguh sebagai membalas kebaikan yang Allah SWT rezekikan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA:

“Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab: “Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

5. Bersedekah Dan Memberi

Allah akan menambahkan rezeki yang melimpah-ruah apabila sentiasa melazimkan diri memberi atau berkongsi rezeki kepada orang lain.

Begitulah konsep mudah untuk kita bersyukur. Memperbanyakan bersedekah kepada orang lain, membantu orang lain di kala susah, dan apa-apa jua perbuatan yang apabila dibuat ia memudah atau menyenangkan orang lain. 

6. Sentiasa Berasa Cukup 

Syukur juga boleh dinyatakan dengan sentiasa berasa cukup dengan apapun yang ada. Tidak mengeluh dan berasa serba kurang.

Sentiasa berasa cukup atau qanaah adalah dengan tidak meminta-minta, tidak terlalu mendamba apa-apa yang tiada atau yang belum direzekikan.

Jangan mendidik diri dengan kemahuan duniawi yang tidak puas-puasnya, sebaliknya melalui kehidupan dengan sederhana dan setakat yang diberikan dan diizinkan oleh Allah SWT.

7. Sentiasa Mengucapkan Terima Kasih

Penting juga untuk mengucapkan terima kasih kepada orang lain atas sebab apa sekalipun.  Ini juga cara terbaik melatih diri mengucapkan syukur kepada Allah SWT.

8. Menjaga Dan Memelihara Sebaik Mungkin

Hargailah pemberiah tuhan dengan menjaga setiap pemberian-Nya dengan sebaik mungkin. Seperti mengambil berat akan kesihatan tubuh badan, menjaga harta benda dengan sebaiknya.

Nikmat rezeki yang diberikan oleh Allah juga adalah amanah buat kita. Lalu dengan menjaga pemberian itu juga sebahagian daripada cara bersyukur .

Hargailah rezeki yang diberikan sama ada dalam bentuk apa sekalipun. Dengan cara itu juga Allah akan mengurniakan lebih rezeki lagi.

9. Bermuhasabah

Ambil masa untuk mengenang dan menghitung nikmat-nikmat  yang telah Allah kurniakan. Bermuhasabah diri agar tidak terus lupa dengan pemberian Allah yang lalu. 

Mulai saat celik mata di pagi hari, cuba banyangkan Allah menarik nikmat penglihatan contohnya. Dengan cara begini barangkali kita akan lebih insaf akan rezeki pancaindera yang baik.

10. Sentiasa Tersenyum

Senyum atau memaniskan wajah bukan sahaj sedekah, tetapi juga sebagai tanda kekuatan dan ketabahan seseorang. Selain menzahirkan rasa syukur.

Dengan memperlihatkan wajah yang kecewa dan mencuka pastinya memperlihat perasaan yang tidak reda dengan situasi yang dialami.

Tersenyumah walau dalam hati kita tercatit kecewa, sedih hampa dan sebagainya tanda kita menerima apa-apa sahaja keadaan dengan berlapang dada.

11. Berkongsi Ilmu

Setiap orang dianugerahkan dengan bidang ilmu dan kepakaran yang berbeza, tidak sama antara satu sama lain.

Ini termasuklah mengajarkan sesuatu kemahiran yang dimiliki kepada orang lain, ilmu tentang menjahit contohnya.

Begitu juga dengan menyampaikan pengetahuan yang dimiliki dengan menulis buku, berceramah dan sebagainya yang bersesuaian.

Itulah cara terbaik untuk kita bersyukur dengan kelebihan yang dimiliki dan diangerahkan oleh Allah SWT.

12. Jangan Bersikap Negatif

Jangan iri hati, dengki, bersangka buruk, sentiasa berlumba-lumba untuk kekayaan dunia, cemburu dan sebagainya.

Sebaiknya didiklah hati agar mudah menerima hakikat dan setiap aturan takdir yang ditetapkan. Setiap yang dijadikan oleh Allah SWT adalah yang terbaik dan ada hikmah tertentu. Allah jua yang Maha Adil.

Jangan sesekali membandingkan kehidupan diri dengan orang lain. Tambahan lagi jika seseorang itu memiliki kelebihan daripada kita, itu membuatkan kita terlupa untuk bersyukur. Sebaiknya ingatlah golongan yang lebih susah, agar sedar bahawa kita lebih bernasib baik dan melahirkan rasa syukur.

Penutup: Bersyukurlah Dengan Nikmat Allah Yang Tak Terkira

Nikmat yang Allah berikan sememangnya tidak terhitung, jauh sekali untuk dibalas semuanya. Jalan terbaik yang menunjukkan rasa kehambaan, janganlah menjadi sebahagian dari golongan yang sombong iaitu yang tidak bersyukur dan lupa untuk mengingati Allah SWT.

Ingatlah bersyukur itu juga merupakan perintah dari Allah SWT, seperti yang difirmankan dalam surah Ibrahim : 7;

“Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

(Ibrahim : 7)

Semoga kita semua bukanlah dari golongan yang tidak bersyukur!

Rujukan:

  1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
  2. JAKIM
  3. Aku Muslim
  4. Bila Allah Menduga Kita, Syed Alwi Al Attas: Mustread Sdn Bhd.
  5. The Asian Parent

Bacaan Lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.