Sayyid Qutb merupakan salah seorang aktivitis Revolusi Mesir sekitar tahun 1952. Namanya sangat harum dalam perjuangan menegakkan Islam, terutamanya bagi gerakan Ikhwanul Muslimin.

Siapakah tokoh ini, sehingga kisah perjuangannya dihayati dan diikuti? Ayuh kenali biodata Sayyid Qutb tokoh luar biasa ini.

Berasal Dari  Keluarga Pejuang Islam

Sayyid Qutb dilahirkan pada 9 Oktober 1906, di Mausyah, Asyuth, Mesir, yang terkenal sebagai sebuah perkampungan yang kuat mengamalkan ajaran Islam.

Nama penuh beliau ialah Sayyid Qutb Ibrahim Husain Syadzili. Beliau mempunyai  lima orang adik beradik dan beliau adalah anak yang pertama.

Ibunya bernama Fatimah. Ayahnya bernama al-Haj Qutb bin Ibrahim, bekerja sebagai petani dan seorang anggota Parti Nasional di kampungnya. 

Kesemua adik beradiknya terbabit secara langsung dengan  gerakan dakwah Islam selain turut terlibat dalam bidang penulisan; Nafisah, Aminah, Hamidah anak dan Muhammad Qutb, adik bongsu yang mempunyai perbezaan umur sekitar 13 tahun dengan Sayyid Qutb.

Cemerlang Dalam Bidang Keilmuan

Sayyid Qutb memasuki sekolah rendah semasa berumur enam tahun lagi. Selain menekankan bidang akademik, keluarga beliau sangat tekun mengamalkan Islam dalam kehidupan harian.

Ayah dan ibunya berhajat agar Sayyid Qutb menjadi hafiz al-Quran. Semasa umurnya tujuh tahun, beliau mula menghafaz Quran dan selesai menghafal ketika berusia 10 tahun.

Pada tahun 1918, beliau menamatkan pendidikan asas, dan tahun 1921, Sayyid Qutb berangkat ke Mesir untuk melanjutkan pendidikannya di Madrasah Tsanawiyah.

Tahun 1922, beliau menuntut di Madrasah Mualimin al-Awiyah untuk menjadi guru dan setelah menghabiskan pengajian di sana, Qutb menghadiri kelas persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke Darul Ulum dalam bidang sastera pada tahun 1955. 

Semasa menuntut di Darul Ulum, Sayyid Qutb bertemu dengan para wartawan dan golongan nasionalis liberal berfikiran kebaratan.

Beliau tidak menyenangi golongan ini dan sering mengkritik pemikiran mereka yang dipengaruhi oleh karya Abbad Mahmud al-Aqqad. Kelompok ini dikenali sebagai kumpulan ‘sastera al-Aqqad’ akibat ketaksuban mereka itu.

Pengajiannya tamat tahun 1933 dan beroleh ijazah sarjana muda dalam bidang sastera dan diploma pendidikan.

Selepas tamat belajar, beliau dilantik sebagai guru di Bahagian Pendidikan di Madrasah ad-Dawudiyah dan dinaikkan pangkat sebagai pegawai pendidikan dasar pada tahun 1940.

Beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat selama dua tahun, setelah mendapat arahan untuk mengkaji kokurikulum dan sistem pendidikan di sana.

Beliau menuntut di Wilson’s Teacher College, Washington, Greenley College di Colorado, dan Universiti Stanford.

Semasa menuntut di Amerika Syarikat, berlaku peristiwa yang mengubah kehidupannya. Suatu hari beliau melihat orang Amerika Syarikat berpesta dan bergembira dengan kematian as-Syahid Hassan al-Banna.

Mereka menganggap Hassan al-Banna sebagai ancaman dan musuh paling berbahaya  ketika itu.

Peristiwa ini, membuka fikiran Sayyid Qutb untuk mengkaji tentang tokoh itu,  sekaligus membuatkan beliau mula mencintai Hassan al-Banna dan menyanjungi perjuangan as-syahid.

Tokoh Penting Selepas Hassan Al-Banna

Sayyid Qutb seorang pemimpin yang sangat berkarisma  sehingga amat dikagumi dan disegani. Beliau memperoleh banyak sokongan dan menjadi tokoh yang berpengaruh ketika itu.

Sayyid Qutb menjadi tokoh penting menyalakan perjuangan Ikhwanul Muslimin selepas pemergian Hassan al-Banna.

Para sejarawan berpendapat, Ikhwanul Muslimin telah berada di tahap sempurna sebagai gerakan dakwah Islamiah selepas Sayyid Qutb berada dalam organisasi itu.

Sayyid Qutb sering dikaitkan dengan Abu A’la al-Maududi (1903-1979) iaitu seorang tokoh gerakan Islam, Jamaah Islam di Pakistan, dan Ali Syariati (1933-1977) seorang ideolog revolusi Iran. Sehinggakan beliau turut mengakui, ciri penulisannya banyak dipengaruhi oleh al-Maududi.

Perjuangan Tanpa Nama

Sayyid Qutb menyertai Ikhwanul Muslimin, dua tahun selepas Hassan al-Banna meninggal dunia iaitu pada 18 Oktober 1952.

Sayyid Qutb tidak pernah bertemu dengan Hassan al-Banna, walaupun dilahirkan pada tahun sama dan juga pernah mendapat pendidikan di Darul Ulum. Namun, kedua-duanya terikat oleh akidah dan pemikiran yang sama. 

Imam Hassan al-Banna pernah membaca buku Al-’Adalah Al-Ijtima’iyyah Fil Islam, karya Sayyid Qutb dan dapat berasakan beliau akan menyertai Jemaah Ikhwanul Muslimin, lantaran cara penulisannya sejajar dengan idea Ikhwanul Muslimin.

Selepas Revolusi Mesir 1952, Sayyid Qutb lantang mengkritik pemerintahan Presiden Gamal Abdul Nasir. Kelantangan dan keberanian beliau, menyebabkan presiden menuduh Ikhwanul Muslimin sebagai parti yang memberontak dan ingin merampas kuasa. Maka, Gamal Abdul Nasir mengarahkan semua ahli Ikhwanul Muslimin termasuk Sayyid Qutb ditangkap.

Peristiwa ini berlaku pada 13 Januari 1954, tanpa bukti jelas, tujuh orang pimpinan tertinggi al-Ikhwan dijatuhi hukuman mati, termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Muhammad Farghali, Ketua Sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin semasa Perang Suez 1948.

Namun, hukuman terhadap Hasan Hudhaibi diubah kepada penjara seumur hidup dan Sayyid Qutb dihukum penjara 15  tahun dengan kerja berat.

Tetapi, hasil perundingan Presiden Iraq, Abdus Salam Arif dengan Presiden Gamal Abdul Nasir, beliau telah dibebaskan. Namun, presiden Gamal masih belum berpuas hati.

Selepas Presiden Abdus Salam Arif terkorban dalam nahas kapal terbang, Qutb ditangkap lagi dengan tuduhan merancang rampasan kuasa.

Mahkamah Revolusi mengukuhkan tuduhan dengan merujuk buku Maalim Fi At Thariiq yang ditulis oleh beliau, yang dikaakan menyeru revolusi terhadap pemerintahan yang tidak mengikut syariat Allah.

Kali ini, beliau ditahan bersama anggota keluarganya. Sebelum hukuman dilaksanakan, presiden menghantar utusan meminta Sayyid Qutb menulis untuk merayu pengampunan agar dibebaskan dari hukuman.

Sayyid Qutb menolak dan dengan tegas menyatakan;

“Telunjuk yang bersyahadah setiap kali solat menegaskan bahawa tiada illah yang disembah melainkan Allah dan Muhamad adalah Rasulullah, dan aku tidak akan menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana kebenaran aku reda. Jika aku dipenjara secara batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan.”

Tindakan kejam presiden menyaksikan Sayyid Qutb dijatuhi hukuman mati pada 21 Ogos 1966 dan hukuman dilaksanakan pada 29 Ogos 1966.

Sayyid Qutb dihukum mati bersama dua orang sahabatnya, Abdul Fattah Ismail dan Muhammad Yusuf Hawwasy.

Karya Penulisan

Sayyid Qutb merupakan seorang ilmuwan, sasterawan, ahli tafsir sekaligus pemikir. Sepanjang hayatnya, Sayyid Qutb telah menghasilkan lebih dari 20 buah karya dalam pelbagai bidang.

Puisi Ali al-Gayati berjudul My Nationality yang diterbitkan tahun 1910 membuka kesedaran berpolitik Sayyid Qutb. Puisi ini memberi kesedaran bahawa Mesir perlu merdeka dari pengaruh British. Karya ini akhinya membentuk cara berfikir beliau.

Penulisan Sayyid Qutb berkait rapat dengan perjalanan hidupnya. Pada era sebelum tahun 1940-an, beliau banyak menulis berkenaan sastera tanpa unsur-unsur agama. Contohnya, Muhimmat al-Syi’r fi al-Hayâh pada tahun 1933 dan Naqd Mustaqbal al-Tsaqafah fi Misr pada tahun 1939.

Keadaan ini berubah pada tahun 1940-an, beliau mulai menerapkan unsur-unsur agama melalui bukunya yang berjudul al-Tashwir al-Fanni fi al-Quran (1945) tulisan ini mengupas keindahan ayat al-Quran dan Masyahid al-Qiyamah fi al-Quran. Buku ini menceritakan tentang peristiwa hari kiamat dalam al-Quran.

Selepas menyertai Ikhwanul Muslimin, terlihat perubahan besar dalam penulisan beliau. Sayyid Qutb mulai membicarakan soal keadilan, kemasyarakatan dan fikrah Islam yang suci menerusi al-Adalah al-Ijtima’iyyah fi al-Islam atau Keadilan Sosial dalam Islam.

Kitab lain ialah Ma’rakah al-Islam wa ar-Ra’s al-Maliyyah. Selain itu, beliau turut menghasilkan Fi Zhilal al-Quran dan Dirasat Islamiyyah.

Semasa dalam penjara (1954 hingga 1966), Sayyid Qutb tetap berkarya. Antaranya, Hadza al-Din, al-Mustaqbal li Hadza al-Din, Khasha`is al-Tashawwur al-Islami wa Muqawwimatihi’ al-Islam wa Musykilah al-Hadharah dan sambungan Fi Zhilal al-Quran.

Terdapat juga karya sastera yang ditulis oleh beliau bertajuk Asywak (Duri-duri). Antara karya yang menjadi rujukan dan menaikkan semangat gerakan dakwah Islam adalah Maalim fil Thariq (Petunjuk Jalan).

Kitab Fii Zhilaal Al-Quran, Ma’aalim fi Thariiq dan Al-Mustaqbal li haadzaa Ad Diin merupakan tiga buah karya yang mendapat sambutan masyarakat muslim seluruh dunia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. 

Penutup

Sayyid Qutb telah gugur di tali gantung bukan sahaja sebagai pejuang yang menafikan sekularisme, bahkan pahlawan agama yang menegakkan hukum, serta mukmin yang kuat iman dan menyerahkan seluruh hidupnya hanya kepada Allah SWT.

Walau bertahun-tahun usia akhirnya dihabiskan di sebalik tembok besi, bahkan nyawanya  ‘diambil’ dengan mudah oleh para liberal, namun jiwa dan fikirannya yang luar biasa, hidup dalam helaian tulisan dengan untaian kata dan bersastera sangat bermakna bagi sesiapa yang cuba memahami erti perjuangannya.

Semoga perjuangan dan kesungguhan dalam menegakkan agama Allah beliau dipandang mulia  oleh Allah SWT. Amin.

Rujukan:

  1. Harakah Daily
  2. Sayyid Qutb: Cetusan Idea Seorang Pejuang, DBP
  3. Abdul Latip Talib,  Sayyid Qutb Pendakwah Pemikir Intelektual
  4. TZKRH.com

Baca lagi:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.