Apabila anda mengandung, di antara vitamin yang akan diberikan ialah asid folik. Apakah sebenarnya asid folik? Apakah kebaikannya? Apakah kesan kepada bayi jika anda tidak mengambil asid folik?

asdi folik

Sumber: Inat

Apakah asid folik?

Asid folik merupakan vitamin B9 yang sangat penting untuk seorang wanita. Ia bukan sahaja perlu diambil semasa mengandung malah seeloknya mula diambil seawal anda sedang berusaha untuk mengandung. Salah satu daripada fungsi penting asid folik ialah untuk membentuk saraf tunjang bayi yang sempurna dan mengelakkan kecacatan bayi.

Siapa yang perlu ambil asid folik?

Asid folik perlu diambil oleh setiap wanita yang mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Berumur 14-44 tahun terutamanya jika anda sedang berusaha untuk mengandung
  • Mempunyai sejarah pernah melahirkan anak yang mengalami kecacatan pada saraf tunjang

Bolehkah lelaki makan asid folik?

Asid folik boleh diambil oleh lelaki yang mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Mengalami masalah kesuburan
  • Sedang berusaha untuk mengandung

Apakah fungsi asid folik?

Asid folik mempunyai pelbagai fungsi. Di antara fungsi asid folik yang utama ialah:

  • Mengurangkan risiko kecacatan saraf tunjang seperti spina bifida, pembentukan otak yang tidak sempurna, atau pembentukan tempurung kelapa yang tidak sempurna
  • Menguatkan rahim serta mengurangkan risiko keguguran, bayi meninggal semasa dilahirkan, kelahiran pra matang dan masalah kekurangan darah pada bayi
  • Menambah hemoglobin darah
  • Mengurangkan risiko kecacatan pada bayi seperti sumbing, kecacatan jantung, mecacatan pada kaki dan tangan, dan kecacatan sistem penghadaman
  • Mengurangkan komplikasi sepanjang tempoh kehamilan
asid folik

Sumber: Todaysparent

Bila anda perlu mula mengambil asid folik?

Kami cadangkan anda mula mengambil asid folik  seawal anda membuat keputusan untuk mengandung. Apabila anda disahkan sedang mengandung, anda perlu mula makan asid folik dengan kadar segera sekiranya belum mengambil vitamin tersebut. Hal ini kerana perkembangan sistem saraf & otak bayi berkembang dengan sangat pesat pada 12 minggu pertama kehamilan.

Apabila usia kehamilan memasuki trimester kedua, anda boleh pilih untuk berhenti mengambil folik asid tetapi kami ingin menggalakkan anda untuk mengambil asid folik sehingga bayi anda sekamat dilahirkan.

Apakah sumber semulajadi asid folik?

Selain pil asid folik, anda juga boleh mendapatkan asid folik semulajadi daripada makanan-makanan berikut:

  • Daging
  • Ayam
  • Telur
  • Kekacang
  • Beras perang
  • Hati ayam
  • Barli
  • Oat
  • Sayuran hijau seperti sawi, bayam, kailan, kucai, dan kobis
  • Buah dan sayur yang berwarna kuning seperti pisang, buah oren, jagung, labu dan lain-lain

Apakah kesan sekiranya anda tidak makan asid folik sepanjang tempoh mengandung?

Sekiranya anda tidak mengambil asid folik sepanjang mengandung, bayi dalam kandungan anda berisiko tinggi untuk mendapat masalah berikut:

1. Spina bifida

Spina Bifida atau maksudnya tulang belakang terbelah adalah satu kecacatan sejak lahir di mana sebahagian atau keseluruhan tulang belakang tidak bercantum dengan sempurna dan menyebabkan saraf tunjang bayi terdedah. Kecacatan ini berlaku seawal kandungan berumur 1 bulan, dan risikonya semakin tinggi jika anda tidak mengambil asid folik. Dalam sesetengah kes, sebahagian daripada otak juga turut terdedah. Terdapat 3 jenis spina bifida iaitu:

  • Spina Bifida Occulta iaitu keadaan di mana saraf tunjang adalah normal namun terdapat sebahagian kecil tulang yang tidak bercantum. Lapisan kulit yang menutupi kecacatan ini juga adalah normal.
  • Meningocoele iaitu keadaan di mana sebahagian daripada lapisan luar saraf tunjang terjulur keluar tetapi saraf tunjang adalah sempurna.
  • Meningomyelocoele iaitu keadaan di mana sebahagian daripada saraf tunjang dan lapisan luar saraf tunjang terjulur keluar dari tulang belakang yang terpisah.
asid folik

Sumber: Gynaecologica

Tahap keseriusan spina bifida adalah berbeza. Bagi kecacatan yang tidak serius, bayi mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda. Namun kecacatan serius seperti keadaan di mana ia melibatkan saraf tunjang bahagian atas, bayi akan lumpu seluruh badan dan biasanya tidak akan hidup lama.

Bagi kes spina bifida yang serius, bayi anda juga mungkin juga dilahirkan dengan kepala yang besar akibat pengumpulan air. Kebanyakkan kes spina bifida di Malaysia adalah pada tahap sederhana di mana bayi boleh dirawat dengan cara rehabilitasi.

Bagaimanakah cara mengesan spina bifida? Ianya boleh dikesan dengan cara melihat:

  • Benjolan di bahagian belakang bayi. Jika ada sebarang benjolan di hujung tulang belakang, bayi anda mempunyai masalah spina bifida.
  • Saiz kepala. Saiz kepala yang besar juga merupakan petanda spina bifida.
  • Bahagian belakang bayi. Jika terdapat perubahan pada warna kulit, lekok, ketulan tisu lemak yang lembut atau tompokan rambut pada bahagian tersebut, bayi anda mungkin mempunyai masalah spina bifida.

Apakah rawatan untuk spina bifida? Sekiranya bayi dilahirkan dengan kecacatan yang terbuka, pembedahan akan dilakukan secepat mungkin untuk membetulkan semula keadaan fizikal bayi. Di antara pembedahan yang biasa dilakukan ialah memasukkan semula saraf tunjang dan meninges yang terkeluar untuk mengurangkan risiko jangkitan dan mengekalkan fungsi saraf tunjang.

Pembedahan semula mungkin diperlukan apabila kanak-kanak membesar. Ini adalah disebabkan saraf tunjang dan tulang belakang membesar pada kadar yang berbeza dan boleh menyebabkan dan boleh menyebabkan tisu saraf terperangkap.

2. Neural tube defect

Neural tube defect ialah keadaan di mana bayi dilahirkan tanpa tempurung kepala atau pun benjolan pada leher atau mana-mana bahagian tulang belakang. Kecacatan ini juga berlaku pada awal kehamilan dan risikonya lebih tinggi sekiranya anda tidak mengambil asid folik.

3. Sumbing

Sekiranya anda tidak mengambil asid folik sepanjang tempoh kehamilan, bayi anda juga berisiko tinggi untuk mempunyai masalah sumbing yang akan memberi kesan kepada sepanjang hayatnya.

Itulah dia info tentang asid folik yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang kepentingan asid folik, makanan tambah darah, dan khasiat delima.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.