Dalam kelonggaran kita diberikan panduan untuk melakukan amalan ketika haid, kita juga perlu peka akan amalan yang dilarang ketika haid. Hal ini amatlah penting bagi memastikan kita tidak silap melakukan apa yang dihukumkan “haram” kepada diri kita untuk dibuat dalam keadaan berhadas. Oleh yang demikian, artikel terpanggil untuk berkongsi kepada anda semua khususnya kaum hawa di luar sana mengenai amalan yang dilarang ketika haid.
Haid memang bukan penghalang untuk kita melaksanakan kebaikan atau mengumpul sebanyak mana pahala yang dimahukan. Tetapi dalam keadaan sedang haid ini, kita juga haruslah sentiasa menghormati akan kesucian Islam dengan tidak melakukan apa jua amalan yang dilarang ketika haid. Berikut adalah larangan-larangan yang perlu dielakkan.
Sama ada mendirikan solat fardhu atau solat sunat, kedua-duanya adalah salah dan menjadi amalan yang dilarang ketika haid. Salah satu dari syarat sah solat adalah suci daripada hadas kecil mahupun hadas besar.
Kategori wanita yang datang haid adalah sedang berada dalam hadas besar. Oleh yang demikian, dia dilarang untuk mendirikan solat. Sekiranya solat tetap didirikan dalam keadaan masih keluar darah haid, maka solat tersebut tidak sah dan perbuatan tersebut dianggap mempersendakan agama oleh kerana kita tahu perkara yang dilarang tetapi masih membuatnya
Wanita diberikan waktu rehatnya dari berpuasa di bulan Ramadhan atau berpuasa sunat. Selain itu, wanita yang mengalami keuzuran berada dalam keadaan haid mahupun nifas pada mana-mana waktu siang atau malam akan menjadi penghalangnya untuk berpuasa.
Ini juga termaktub dalam syarat sah puasa iaitu hanya orang yang tidak mempunyai keuzuran sahaja boleh berpuasa.
Wanita yang sedang haid atau nifas tidak boleh disetubuhi atau bersetubuh. Bahkan, ijmak semua ulama telah bersepakat bahawa haram hukumnya menyetubhi wanita haid atau nifas.
Ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 222
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
Umumnya, antara syarat sah tawaf adalah sama seperti syarat sah solat iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat.
Ini sudah dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbad R. Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”
Oleh yang demikian, jumhur ulama telah berpandangan bahawa tawaf yang dilakukan oleh orang yang didatangi haid, adalah tidak sah untuk lebih selamat.
Namun begitu, Ahkam Syar’iyyah Siri Ke – 171 mengatakan bahawa dibolehkan bagi wanita haid untuk melakukan tawaf dengan bertaqlid kepada pendapat ulama mazhab Hanafi dan dia dikenakan dam seekor unta apabila:
Dalam isu wanita haid masuk ke dalam masjid, para ulama telah berpendapat kepada dua pandangan yang berbeza. Ada yang mengharamkannya ada juga yang mengharuskannya.
Bagi institusi fatwa yang mengharamkannya adalah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-49, dan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor 2001.
Ini berdasarkan sandaran kepada surah Al-Nisaa, ayat 43 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.
Adapun begitu, ulama yang mengharuskan wanita haid masuk ke masjid adalah seperti Imam al-Muzani (anak murid Imam al-Syafie), salah satu pandangan Imam Ahmad, Daud al-Zahiri dan Ibn Hazm al-Andalusi.
Mereka bersandarkan kepada hadis Nabi SAW:
Lakukanlah apa yang diperbuat oleh seorang yang berhaji kecuali jangan engkau Thawaf di Ka’bah. – (Sahih Bukhari)
Namun demikian, menurut Darul Ifta’ Al-Misriyyah, wanita yang sedang haid ke masjid hukumnya adalah harus jika dia mempunyaii keperluan untuk berbuat demikian. Keperluan yang dimaksudkan di sini adalah seperti menghadiri kelas-kelas agama, dan sebagainya. Hal ini berdalilkan dengan hadis yang diceritakan oleh Aisyah RA bahawa:
“Ada hamba perempuan berkulit hitam milik suku Arab dan mereka membebaskannya. Gadis itu datang kepada Nabi Muhammad dan memeluk agama Islam. Dia mempunyai khemah atau bilik kecil dengan atap yang rendah di dalam masjid.”
Hadis ini terdapat dalam kitab Al-Muhalla Bil Athar karangan Imam Ibnu Hazm Al-Andalusi.
Amalan yang dilarang ketika haid adalah pegang mushaf Al-Quran. Hukumnya bahkan haram sama ada secara berlapik ataupun tidak berlapik. Ini dinyatakan sendiri berdasarkan pandangan Mazhab Syafie:
“(Haram wanita haid memegang mushaf) walaupun pada tulisan nota kaki, antara garisannya, kertas putih diantaranya, jilid awal dan akhir yang bersambung dengan mushaf. Haram juga menyentuh mushaf walaupun dengan lapik yang tebal.”
Haram juga menyentuh Al-Quran dengan berlapik kain:
“Mushaf ialah sebarang perkataan yang ditulis untuk mempelajari Al-Quran walaupun sebahagian ayat yang dapat difahami. Begitu juga diharamkan menyentuhnya walaupun berlapik pada perca kain.”
Hukum bagi wanita yang datang haid lalu mengambil wuduk adalah tidak sah dan haram. Hal ini disebabkan bahawa wuduk tersebut tidak memberi apa-apa kesan kepada hadasnya dan dikhuatiri ia boleh menjadi perbuatan mempersendakan ibadah.
Namun yang demikian, sekiranya sudah menjadi kebiasaan wanita tersebut ambil wuduk sebelum tidur sebagai amalannya, maka ia diharuskan tetapi perlu berniat sekadar untuk membersihkan diri dan menyejukkan badan.
Ulama dalam mazhab Syafie telah bersepakat bahawa wanita yang sedang haid tidak dibenarkan membaca Al-Quran kerana mereka ketika itu dalam keadaan hadas besar.
Pendapat itu turut disokong oleh ulama mazhab Hanafi, Maliki dan sebahagian pendapat dalam mazhab Hambali. Hujah mereka ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah membaca sesuatu pun daripada Al-Quran semasa haid dan berjunub.” – (Hadis Riwayat al-Tirmidhi)
Firman Allah SWT dalam surah At-Talaq, ayat 1:
Maksudnya: “Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya.”
Hukum menjatuhkan talak kepada isteri yang sedang haid adalah haram. Ini bermakna suami berdosa sekiranya menjatuhkan talak ketika isteri haid. Menurut jumhur ulama, talak tetap sah. Namun menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, talak ketika haid tidak jatuh kerana tidak sesuai dengan tuntunan syariat.
Harapnya, sebagai wanita kita hendaklah sentiasa peka dengan amalan yang boleh dibuat dan amalan yang dilarang ketika haid. Ini bagi membolehkan kita membezakan perkara yang mendatangkan pahala dan dosa kepada diri kita sendiri.
Anda juga boleh baca artikel lain kami yang menarik seperti:
Rujukan: