Pesan orang dulu-dulu, buat baik berpada-pada. Buat jahat jangan sekali. Ia adalah satu pesanan kepada kita bahawa berbuat baik adalah amalan yang mulia namun ia perlu dilakukan dengan had dan batasan. Jangan sampai orang lain mengambil kesempatan ke atas diri kita di atas kebaikan yang dilakukan. Islam juga menyarankan umatnya untuk sentiasa berbuat baik kepada semua orang termasuk makhluk lain ciptaan Allah seperti binatang dan tumbuhan.
Kita disarankan untuk berbuat baik tanpa mengharapkan sebarang balasan. Malah kita juga dilarang daripada mengungkit semula segala kebaikan yang pernah kita lakukan kerana ia akan menyebabkan kita kehilangan semua pahala di atas kebaikan yang dilakukan. Terdapat pelbagai hikmah berbuat baik yang mungkin kita tak perasan.
Hikmah berbuat baik yang pertama ialah segala perbuatan baik yang kita lakukan semasa di dunia dengan penuh keikhlasan akan menjadi penyelamat buat kita semasa sesi timbangan di akhirat nanti. Ini adalah berdasarkan sebuah hadith di mana seorang sahabat yang bertanya kepadan rasulullah dengan soalan kenapa manusia harus berbuat baik kepada sesama manusia dan makhluk yang lain.
Rasulullah lalu bersabda:
“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan dunia, maka Allah akan melepaskan satu kesusahan di hari kiamat. Barang siapa yang memberikan kemudahan bagi orang yang mengalami kesulitan, maka Allah akan memberi kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat. Kemudian, barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, nescaya Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Dan sesungguhnya Allah akan sentiasa menolong seorang hamba selagi hamba itu sudi menolong saudaranya.”
Mendengar jawapan Rasulullah tersebut para sahabat yang lain menganggukkan kepala tanda faham. Kemudian Rasullullah menyambung, “Maka hulurkan bantuan dan pertolongan kepada orang lain meskipun di saat itu kita sedang kesempitan. Itulah yang akan menyelamatkan dari kesusahan yang amat dahsyat di hari kiamat kelak, kerana kita melakukannya dengan benar-benar ikhlas kerana Allah.”
Hikmah berbuat baik yang kedua ialah kita akan mendapat redha dari Allah dan dijanjikan dengan balasan pahala yang melimpah-ruah. Malah Allah menjanjikan syurga buat hambanya yang berbuat baik kepada makhluk ciptaannya. Redha Allah adalah sangat penting bagi kita hambanya kerana jika Allah murka kepada kita, hidup kita akan dilanda musibah dan malapetaka serta jauh dari keberkatan.
Malah mereka yang selalu melakukan kebaikan dijanjikan kejayaan di dunia dan akhirat oleh Allah seperti firman Allah yang berikut:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.”
(Surah Ali ‘Imran, ayat 104)
Hikmah berbuat baik yang seterusnya ialah segala urusan kita akan dipermudahkan atas asbab kita berbuat baik kepada orang lain. Ini adalah selari dengan pepatah “ Permudahkan urusan orang lain, Allah akan permudahkan urusan kita “. Tiada yang benar melainkan yang benar belaka. Jika kita berbuat baik kepada orang lain dan berusaha untuk mempermudahkan urusan orang lain dengan sebaik mungkin, hidup kita akan berjalan dengan lancar dan tiada masalah.
Hikmah berbuat baik yang seterusnya ialah ia akan memberikan kita keberkatan dan ketenangan hidup. Jiwa kita akan berasa tenang dan lapang jika tidak melakukan kejahatan kepada orang lain. Sebagai contoh, katakana kita dengan tidak sengaja terlanggar kereta orang lain di tepi jalan yang diparking dengan baik dalam kotak. Salah kita kerana cuai. Jika kita seorang yang baik dan jujur, kita akan tinggalkan nombor telefon untuk tuan kereta hubungi bagi meminta maaf dan membayar ganti rugi.
Katakan kita lari dan meninggalkan kereta orang yang rosak. Pastinya hati kita akan berasa resah dan tidak tenang akibat rasa bersalah. Malah kita akan dilanda ketakutan kalau-kalau ada kamera cctv atau saksi yang boleh mengaitkan kita dengan kemalangan tersebut. Kita juga mungkin ketakutan kalau aka nada balasan di atas apa yang kita lakukan. Oleh itu sentiasalah berbuat baik agar mendapat ketenangan dan keberkatan hidup.
Hikmah berbuat baik yang terakhir ialah kita akan disayangi dan dihormati oleh orang sekeliling. Orang yang baik akan disayangi dan disanjung. Malah akan ada ramai orang yang akan sentiasa mendoakan yang baik-baik buat kita. Kalau kita suka melakukan kejahatan, tidak mustahil orang lain akan mendoakan yang bukan-bukan buat kita lalu menyebabkan hidup kkta dilaknat dan tidak mendapat keberkatan.
Takkan rugi kalau kita didik diri untuk sentiasa melakukan kebaikan walau pun belum tentu segala kebaikan yang kita lakukan akan dibalas dengan baik dan bukannya kejahatan. Walau pun kebaikan yang kita lakukan dibalas dengan kejahatan, jangan sesekali mengeluh kerana Allah telah menjanjikan pahala dan kebrkatan buat kita. Sedikit pun kita tidak rugi.
Itulah dia perkongsian tentang hikmah berbuat baik yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang hikmah perkahwinan dan hikmah tahnik