Jom ketahui adab-adab berhutang yang dianjurkan Islam. Secara jelas adab hutang dalam Islam dan cara sebenarnya.

Hutang adalah sejenis pinjaman yang diberikan oleh sesuatu pihak kepada pihak yang lain, sama ada dalam bentuk wang, harta benda, aset atau sebagainya. Selalunya hutang adalah sesuatu yang sangat berharga dan bernilai tinggi.

Hutang juga merupakan sebahagian hakikat dalam kehidupan manusia yang jarang dapat dielak. Rasulullah S.A.W juga pernah berhutang dengan seorang Yahudi untuk membeli makanan dan mencagarkan baju Baginda sebagai jaminannya. Hal ini diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.A.

Berhutang dalam Islam adalah harus hukumnya. Namun, ada adab dan aturan yang perlu dipatuhi dan dielak. Antara adab-adab berhutang adalah:

1. Mempunyai Saksi Dan Bukti

Bagi mengelakkan masalah dan kekeliruan pada masa hadapan, hutang perlu dicatat dan disertai dengan beberapa orang saksi. Selaras dengan firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.”

(al-Baqarah: 282)

2. Tidak Mempunyai Unsur Riba

Apabila hutang yang dibayar memerlukan tambahan bayaran, maka ianya terdapat unsur riba. Riba merupakan perkara yang haram dan salah satu dosa besar. Allah mengancam pelaku riba seperti dalam firman-Nya:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan, maka ketahuilah,  Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok asal hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak dianiaya.”

(al-Baqarah: 278-279)

3. Jangan Lambatkan Bayaran Hutang

Bayar hutang dengan segera apabila sudah berkemampuan. Elakkan bertangguh kerana ini boleh menganiaya pihak yang memberi hutang. Seperti sabda Rasulullah S.A.W:

“Penundaan orang yang mampu (untuk membayar hutang), adalah perbuatan zalim.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

4. Memberikan Waktu Untuk Membayar Hutang

Jika seseorang yang berhutang masih belum mampu untuk membayar, elakkan memaksa atau mengugut. Hal ini, akan menyebabkan tekanan kepada penghutang. Sebaiknya, berikan masa untuk mereka membayar. Selaras dengan firman Allah S.W.T:

“Dan jika (orang berutang itu) dalam kesusahan, maka berilah waktu sampai dia memperoleh kelapangan. Dan jika kamu menyedekahkan, itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

(al-Baqarah: 280)

5. Menghalalkan Jika Tidak Mampu Membayar Hutang

Jika selepas diberikan tempoh, penghutang benar-benar tidak mampu menjelaskan hutang, pemiutang boleh mempertimbangkan untuk menghalalkan hutang tersebut, ataupun berniat untuk bersedekah. Seperti saranan Rasulullah S.A.W dalam sabda Baginda:

“Sesiapa mahukan doanya diperkenan Allah dan dihindarkan malapetaka, maka hendaklah dia membebaskan hutang daripada orang berhutang dan tidak mampu bayar hutangnya.”

(Hadis Riwayat al-Nasa’i)

Namun, penghutang itu hendaklah benar-benar tidak mampu dan bukannya kerana alasan ingin mengelak daripada menjelaskan hutang. Namun sebaiknya berusahalah terlebih dahulu untuk membayar hutang tersebut sebelum meminta ianya dihalalkan.

Penghutang Hendaklah Bertanggungjawab Dengan Hutangnya

Ingatlah, penghutang mestilah sentiasa bertanggungjawab untuk melunaskan hutangnya, tidak kiralah sama ada ianya dalam jumah yang sedikit ataupun banyak.

Isu hutang ini sering mengundang malapetaka dan membolehkan wujudnya unsur penganiayaan terhadap salah satu pihak. Pihak pemiutang pula perlu bertoleransi dengan penghutang dan tidak melupakan adab.

Paling penting, hutang bukanlah sesuatu yang haram, jadi jangan jadikan cara kita mengendalikannya pula mendatangkan dosa dan murka Allah S.W.T.

Ayuh ketahui lebih banyak artikel menarik dari kami seperti:

Rujukan:

  1. Detik.com
  2. https://www.bharian.com.my

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.