Mari bersama ketahui tentang istimewanya kitab al-Quran kalamullah.

Sesungguhnya orang yang kufur terhadap al-Quran ketika sampai kepada mereka, akan diazab. Dan sesungguhnya ia sebuah kitab suci yang mulia. Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.”

(Fussilat: 41-42)

Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril AS.  Al-Quran juga adalah mukjizat terbesar Nabi SAW yang mengandungi 114 surah dan susunannya ditentukan oleh Allah secara tauqifi.   

Kalam Allah SWT ini juga mengandungi pelbagai keistimewaan dan mukjizat dari sejak diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul; Muhammad SAW.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Firman-Nya dalam surah Hud: 1

Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.”

As-Syahid Hasan al-Banna turut menyebutkan tentang al-Quran: 

“Al-Quran al-Karim adalah sebuat perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.”

Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga berkata tentang tujuh keistimewaan al-Quran dalam bukunya;  Kaifa Nata’amal Ma’a al-Quran al-Azim? iaitu:

  1. Al-Quran adalah kitab Ilahi
  2. Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara)
  3. Al-Quran adalah kitab mukjizat
  4. Al-Quran adalah penerangan dan kemudahan
  5. Al-Quran adalah kitab agama keseluruhannya
  6. Al-Quran adalah kitab zaman keseluruhannya
  7. Al-Quran adalah kitab insaniah keseluruhannya 

Terdapat begitu banyak keistimewaan dan kelebihan kitab Allah ini, antaranya.

  1. Al-Quran sebagai syafaat di akhirat kelak.
  2. Sebagai panduan hidup.
  3. Diangkat martabat golongan yang membaca al-Quran oleh Allah SWT.
  4. Dapat pahala kelebihan dan kebaikan.
  5. Membuat seseorang menjadi lebih baik.
  6. Penyembuh penyakit hati.

Selain itu, banyak lagi keistimewaan al-Quran yang disokong oleh dalil-dalil tertentu. Antaranya;

1. Keaslian Yang Terpelihara

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”

(al-Hijr : 9)

Kitab al-Quran sangat dijaga keasliannya oleh Allah SWT, seperti  mula-mula diperturunkan dahulu.

Manakala selepas penurunannya juga, kitab ini terus terpelihara dan diurus rapi sehingga hari ini dengan izin Allah.  Ini berbeza dengan beberapa kitab samawi lain yang telah diubah dan ditokok tambah oleh para penganutnya, seperti Taurat dan Injil.

Walau terdapat banyak cubaan untuk memalsukan, meniru, mencipta atau mengubah isi kandungannya. Namun, semua usaha kaum kafir sejak berzaman ini tidak pernah berjaya. Lalu menjadikan isi kandungan al-Quran tetap sama dan tepat!

2. Mengisahkan Masa Lalu Dan Akan Datang Dengan Tepat

Kitab al-Quran adalah seperti lembaran sejarah yang mengisahkan kejadian yang lepas atau catatan pada masa akan datang.

Salah satu buktinya, al-Quran mampu meramalkan kejadian pada masa akan datang yang terkandung dalam surah ar-Ruum: 1-4.

Dalam surah itu Allah SWT telah menceritakan kemenangan bangsa Romawi. Iaitu selepas dikalahkan, bangsa Rom akan menemui kemenangan beberapa tahun lagi.

Dan kemenangan itu terjadi beberapa tahun kemudian apabila bangsa Rom mencapai kemenangan menentang Parsi.

Al-Quran juga telah mendedahkan tentang fakta geografi yang belum pernah ditemui dan diketahui sesiapa pun pada masa itu. Iaitu, Diriwayatkan, bahawa bangsa Rom telah kalah di daerah ‘paling rendah di bumi ini’  yang merujuk kepada negara Palestin.

3. Selari Dengan Kehidupan Dan Sains

Al-Quran adalah kitab yang sangat sesuai dengan setiap zaman dan apapun bentuk kehidupan manusia.

Setiap penemuan dalam al-Quran pasti akan selari dengan bukti sains moden. Ini membuktikan al-Quran bukanlah cerita dongeng, sebaliknya fakta-fakta kebenaran daripada ‘Tuhan’ yang sama menciptakan manusia dan alam kehidupan.

Disebabkan itulah al-Quran sering dikagumi sebagai kitab yang kandungannya menyeluruh, bukan sahaja terdapat kisah-kisah sejarah lebih dari berabad yang lepas, ilmu sains, tetapi ilmu moden di masa akan datang.

Contohnya, pembentukan embrio dalam sistem peranakan wanita dengan tepat dan terperinci, sedangkan teknologi semasa turunnya al-Quran masih belum moden seperti hari ini.

4. Memberi Ketenangan Hati dan Kekuatan Jiwa

Bukti al-Quran mempunyai pengaruh yang kuat terhadap jiwa adalah hadirnya ketenangan hati dan fikiran apabila mendengar atau mengalunkan ayat-ayat al-Quran. 

Masihkah ingat tentang kisah Umar al-Khattab yang memeluk Islam apabila terdengar alunan al-Quran dari adiknya?

5. Dihafal Ramai Manusia

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?”

(al-Qamar: 17)

Dengan 114 surah dan 6236 ayat, al-Quran menjadi kitab yang paling ramai penghafalnya di suluruh dunia. Termasuklah golongan kanak-kanak yang masih muda sehingga golongan yang tua, buta, cacat pendengaran dan sebagainya.

Allah SWT juga menjanjikan ganjaran yang besar bagi golongan yang mencintai al-Quran dan mengafaznya. Bahkan Allah SWT sangat mencintai golongan hafiz dan hafizah ini sehingga dijanjikan syurga buat mereka.

6. Membaca Al-Quran Adalah Ibadah

Membaca al-Quran adalah ciri-ciri hamba Allah yang taat. Allah juga mengurniakan pahala, rahmat dan keberkatan kepada sesiapa yang membaca atau mendengar bacaan al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

( Al-A’raaf: 204)

Allah SWT amat menghargai golongan yang mencintai al-Quran, apatah lagi yang berusaha mempelajari, mengamalkan serta mengajarkan kitab ini.

“Orang yang mahir dengan al-Quran bersama malaikat yang mulia, sedang orang yang membaca al-Qur’an dengan tertatih-tatih dan ia bersemangat (bersungguh-sungguh maka baginya dua pahala”

(Hadis Riwayat Bukhari  dan  Muslim)

7. Menjadi Ubat dan Penawar

Ayat-ayat suci al-Quran adalah penawar atau penyembuh pelbagai penyakit yang mujarab, sama ada bagi penyakit fizikal atau psikologi. Selain mampu dijadikan penawar bagi penyakit akibat gangguan jin dan sihir. Istimewanya apabila tidak melibatkan bahan atau cara pengubatan yang khusus.

Tetapi inilah mukjizat ayat-ayat al-Quran atas izin Allah SWT. Sesungguhnya untuk menyembuhkan apa-apa jenis penyakit pun bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Allah SWT.

Dalam surah Al-Israa’ : 82, Allah berfirman yang bermaksud:

 “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

8. Gaya Bahasa Laras Yang Tinggi

Dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan demikianlah Kami menurunkanaAl-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatu pun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).”

(Ar-Ra’d : 37)

Ketika al-Quran diturunkan, bangsa Arab mengakui al-Quran memiliki laras bahasa yang tinggi dan bersastera indah yang tidak tertanding oleh sesiapa. Termasuklah golongan sasterawan terkemuka ketika itu.

Musuh Islam ketika itu, Al-Wahid bin Mughirah yang juga seorang tokoh pembesar Quraisy berkata;

 “Demi Allah, ini bukanlah syair, bukan sihir, bukan pula igauan orang gila. Sesungguhnya ia adalah Kalamullah yang memiliki kemanisan dan keindahan. Sesungguhnya ia (al-Quran) sangat tinggi (agung) dan tidak ada yang melebihinya.”

(Tafsir Ibnu Katsir)

Penutup: Al-Quran Adalah Kitab Sejuta Mukjizat

Al-Quran merupakan kitab suci terakhir yang diturunkan kepada umat manusia sebagai petunjuk dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga kiamat.

Allah SWT menurunkan kitab ini sebagai hadiah dengan penuh kebaikan dan ujian, iaitu bagi hamba-Nya yang berfikir.

Penurunannya juga sebagai salah satu ibadah yang diganjarkan pahala selain pendorong untuk ke syurga kelak. Sebab itulah al-Quran itu untuk diimani dan diamalkan isi kandungannya sehingga bila-bila pun.

Semoga kita menjadi sebahagian daripada golongan yang mencintai dan mengamalkan  kandungan al-Quran. Bukannya kaum yang menjauhi atau meninggalkannya. Amin.

Rujukan:

Bacaan lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.