Jom ketahui kelebihan berpuasa di bulan Ramadan!

Ramadan adalah penghulu segala bulan yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua umat muslimin. Bulan yang penuh rahmat dan barakah dan di dalamnya terdapat satu malam penuh kemualiaan dan nikmat 1001 malam yang luar biasa kelebihannya, hadiah dari Allah SWT.

Bulan Ramadan juga sangat sinonim dengan ibadah puasa uang juga rukun Islam ketiga bagi orang Islam. Bulan ini  juga dikenali sebagai bulan sabar, bulan belas kasihan atau bulan berkasih-sayang. Ini kerana, apa-apa jua amal ibadah yang dilakukan dalam bulan ini akan dilipatgandakan pahalanya.

Allah berfirman tentang kewajipan berpuasa ketika Ramadan dalam surah al-Baqarah : 83 dengan maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Justeru, mari kita sama-sama melihat kembali akan kelebihan berpuasa di bulan Ramadan. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata ya!

1. Menghapuskan Dosa yang Lalu

Selain menahan lapar dan dahaga, ibadah puasa sebenarnya dapat membersihkan hati daripada perkara yang sia-sia. Hati yang benar-benar ikhlas berpuasa kerana mengharapkan keredaan Allah akan diampunkan dosa yang lalu.

Seperti sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Siapa yang puasa pada bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampuni segala dosanya yang lalu.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan)

2. Dapat Mengawal Hawa Nafsu

Manusia diciptakan dengan nafsu dan kehendak yang tinggi, maka menjadi tanggungjawab masing-masing untuk mengawal nafsu tersebut dari melakukan perkara yang dilarang agama.

Selain dapat mengukuhkan iman, mereka yang berpuasa juga mampu mengawal hawa nafsu. Misalnya, menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Hai pemuda, barangsiapa yang mempunyai kesanggupan hendaklah ia berkahwin, kerana itu lebih dapat mengendalikan pandangan mata dan lebih dapat membentengi kehormatan. Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa dapat mengendurkan syahwat.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Peluang Memasuki Syurga Melalui Pintu Ar-Rayyan

‘Ar-Rayyan’ bermaksud memuaskan dahaga atau haus. Allah SWT memberikan keistimewaan kepada mereka yang berpuasa iaitu memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan.

Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu yang bernama Ar-Rayyan (memuaskan dahaga). Maka pada hari kiamat akan dipanggil: ‘Hai mana orang yang berpuasa?’Maka apabila telah masuk orang yang terakhir dari mereka ditutuplah pintu syurga itu’.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Betapa kasihnya Allah SWT kepada Muslim yang berpuasa sehingga diberikan keistimewaan sebegini rupa. Maka, kita janganlah melepaskan peluang yang sehebat ini sebagai bekalan di hari akhirat nanti di samping merebut keredaan Allah.

4. Bau Mulut Orang Berpuasa Lebih Wangi daripada Kasturi

Secara logiknya individu yang berpuasa mempunyai bau mulut yang tersendiri kerana tidak makan dan minum selama seharian. Mulut menjadi kering dan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan. Namun, sesiapa yang berpuasa sentiasa istimewa di sisi Allah sehinggakan bau mulut pun disamakan dengan kasturi.

Perkara ini dilihat dari sabda Rasulullah dengan tafsirannya;

“Demi Zat yang diriku ditanganNya, sungguhpun bau busuknya mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

5. Dijauhkan dari Neraka

Sebagai seorang Muslim, antara matlamat utama selain mencapai syurga tertinggi Allah adalah dijauhkan dari azab neraka. Tidak mampu dibayangkan betapa azabnya seksaan di neraka. Justeru, Allah menjanjikan bahawa mereka yang berpuasa di bulan Ramadan akan dijauhkan dari api neraka.

Nabi Muhammad SAW bersabda;

“Orang yang berpuasa satu hari ketika berjuang pada jalan Allah, wajahnya akan dijauhkan Allah dari neraka sejauh 70 kali musim luruh.”

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, maksud  ’70 musim’ itu merujuk kepada perjalanan selama 70 tahun.

6. Doa Orang Berpuasa Mustajab

Waktu Maghrib merupakan waktu yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana pada waktu itulah mereka yang berpuasa akan berbuka puasa dan menjamah rezeki. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa beberapa minit sebelum berbuka terdapat satu keistimewaan yang Allah kurniakan untuk orang yang berpuasa.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak.”

(Hads Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, marilah kita sama-sama mengambil masa beberapa minit sebelum berbuka menadah tangan berdoa dan bermunajat kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kita harapkan.

Selain itu, sepanjang berpuasa juga adalah waktu terbaik utnuk berdoa kerana lebih mudah dimakbulkan oeh Allah SWT.

7. Sihat dari Segi Fizikal dan Mental

Banyak kajian sains yang menunjukkan bahawa badan bertindak balas dengan positif terhadap tubuh orang yang berpuasa. Antaranya adalah dapat menurunkan kadar kolestrol, tahap glukosa dalam kalangan pesakit diabetes. Bukan itu sahaja, berpuasa juga sebenarnya dapat menyihatkan otak dan menenangkan fikiran.

Rasulullah SAW turut menyebut tentang kelebihan berpuasa yang menyihatkan tubuh dengan sabdanya;

“Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat.”

(Hadis Riwayat Abu Naiim)

Selain itu, terdapat fadhilat yang lain:

  1. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan: semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak
  2. Orang yang berpuasa sentiasa dipelihara oleh Allah SWT.
  3. Orang yang berpuasa dijanjikan mahligai yang indah di syurga
  4. Setiap kali sujud orang yang berpuasa, dikurniakan 1700 kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan 70,000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

Penutup:  Ramadan adalah nikmat yang Allah SWT hadiahkan kepada hambanya.

Semoga artikel kelebihan berpuasa di bulan Ramadan ini mengubah pandangan kita. Jadikanlah Ramadan kali ini sebagai Ramadan yang paling bermakna buat diri kita dengan penambahan ibadah dan amalan kebaikan lain.

Jangan lepaskan peluang untuk meraih reda Allah dan mengaut pahala sebanyak-banyaknya. Semoga kita sentiasa direzekikan berjumpa dengan Ramadan akan datang dan seterusnya.

Bacaan lain:

Rujukan:

  1. Jais.gov.my
  2. Hmetro.com
  3. Hellodoctor.com
  4. Mstar.com

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.