Mari bersama ketahui kisah Khalid al-Walid, pahlawan yang terulung ini.
Khalid Al-Walid merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang sangat mahsyur. Bukan sahaja kerana kehandalannya di medan perang, Khalid Al-Walid juga terkenal sebagai seorang jeneral perang yang hebat dalam sejarah Islam sehingga digelar ‘Saifullah al-Maslul’ yang bermaksud ‘Pedang Allah yang Terhunus’.
Kehebatan beliau dalam peperangan dan kebijaksananya dalam mengatur strategi bukan terserlah semasa zaman Rasulullah SAW sahaja, tetapi sehingga pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Umar Al-Khattab.
Nama sebenarnya ialah Abu Sulaiman Khalid bin al-Walid bin al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum bin Yaqazah bin Ka‘ab al-Qurasyi al-Makhzumi al-Makki.
Khalid bin Al-Walid dilahirkan pada tahun 585 M di Mekah. Bapanya bernama Walid bin al-Mughirah, yang merupakan seorang ketua dari bani Makhzum (bangsa Quraisy) dan ibunya bernama Lubabah binti al-Harith.
Khalid Al-Walid turut mempunyai pertalian yang agak rapat dengan Nabi Muhammad SAW kerana ibunya dengan Saidatina Maimunah binti al-Harith (isteri Rasulullah SAW) bersaudara.
Beliau juga merupakan sepupu kepada Saidina Umar bin Khattab dan dikatakan wajah mereka juga mirip. Diriwayatkan Khalid al-walid mempunyai tubuh badan yang tinggi, kuat, dengan bahunya yang lebar selain berjanggut tebal di wajahnya.
Khalid Al-Walid dibesarkan oleh suku Badwi. Ketika usianya enam tahun beliau kembali semula ke Mekah seperti tradisi kaum Quraisy ketika itu. Sejak kecil juga Khalid Al-Walid sudah menunjukkan kebolehannya dalam bidang kepahlawanan, terutamanya dalam bergusti. Saidina Umar pernah mengalami kecederaan semasa bertarung dengannya.
Keluarganya juga yang sangat dihormati dan dipandang tiggi dalam kalangan kaum Quraisy, terutamanya sewaktu Khalid Al-Walid masih belum memeluk Islam.
Kepewiraan dan kecekapan dalam peperangan Khalid Al-Walid memang sangat terserlah sebelum beliau memeluk Islam lagi. Khalid Al-Walid merupakan seorang pahlawan berkuda dari suku Makhzum yang sebelumnya sangat gigih menentang Nabi Muhammad SAW.
Waktu itu beliaulah yang memimpin pasukan musuh Islam sehingga menjadi tentangan besar bagi pasukan Islam.
Semasa Perang Uhud pada tahun 625 M, beliaulah pemimpin yang mengucar-kacirkan pasukan Islam. Kelicikannya memainkan peranan penting dalam mengalahkan pasukan Islam sehingga tewas.
Begitu juga pada tahun 628, ketika Rasululah SAW dan para pengikut Baginda menuju Mekah untuk melakukan umrah, pasukan tentera Quraisy seramai 200 orang yang diketuai oleh Khalid Al-Walid bersiap menyerang.
Baginda Rasulullah SAW terpaksa mengubah perjalanan untuk mengelakkan dari tentangan pihak musuh, sehingga tiba di tempat bernama Hudaibiyah. Lalu Khalid Al-Walid dan pasukannya mundur ke Makkah. Dengan itu berlaku sebuah gencatan senjata selama 10 tahun antara Muslim dan suku Quraish dan termeterainya sebuah Perjanjian Hudaibiyah pada tahun itu.
Walaupun belum memeluk Islam, Hati Khalid Al-Walid dari awal tidak menyukai perbuatan menyembah berhala yang dianggapnya tidak masuk akal.
Sekitar tahun 7 H atau 8 H (sekitar tahun 629) Khalid Al-Walid memeluk Islam bersama dengan Amr ibn al-As di hadapan Nabi Muhammad SAW. Peristiwa iu berlaku tidak lama selepas Perjanjian Hudaibiyah dan Peperangan Khaibar.
Berita gembira itu sangat mengembirakan Rasulullah SAW yang sangat mengharapkan beliau memeluk Islam.
Nabi Muhammad SAW amat menyukai Khalid Al-Walid kerana kepintaran dan ketangkasannya dalam peperangan. Baginda berharap kehandalan Khalid Al-Walid dapat dimanfaatkan untuk perkembangan Islam.
Bani Makhzum sangat terkenal sebagai kaum yang jaguh dalam peperangan, gagah perkasa dan penunggang kuda yang mahir di Semenanjung Arab. Apatah lagi sejak kecil lagi Khalid telah mempelajari cara menunggang kuda, selain mahir bermain senjata seperti tombak, lembing busur dan pedang.
Panglima perang ini menghadapi begitu banyak pertempuran, bahkan berjaya dimenangi oleh pasukan Islam. Mendengarkan namanya sahaja sudah cukup menggerunkan pihak musuh.
Kegagahan beliau tidak terhenti selepas Rasulullah SAW wafat sahaja. Selepas pemergian Baginda, Khalid Al-Walid masih terus berbakti sehingga Saidina Umar al-Khattab menjadi khalifah. Dengan itu beliau dianggap sebagai pemimpin perang yang paling cekap, berpengalaman dan tidak pernah kalah dalam apa-apa pertempuran.
Bahkan dalam Peperangan Riddah pada 642 M, Khalifah Abu Bakar mengirimkan Khalid Al-Walid bagi memerangi pemberontak dan golongan murtad sehingga berjaya membeteras pengaruh mereka terhadap kerajaan.
Bahkan di bawah pimpinan beliau, pasukan Islam berjaya mengalahkan pasukan Rom dan Parsi dalam masa tiga tahun sahaja. Dalam Peperangan Yarmouk 636 M, pasukan Islam berjaya mengalahkan tentera Byzantine-Rom yang merupakan sebuah kerajaan yang sangat kuat ketika itu.
Pasukan Rom ketika itu bersenjata lengkap dengan bilangan seramai 100,000 orang di bawah pimpinan Theodore Trithyrius, berbanding pasukan Islam yang berjumlah 20, 000 orang.
Namun, dengan pengalaman dan kebijkasana mengatur strategi oleh Khalid al-Walid kemengan tetap menjadi milik Islam. Perang Yarmouk yang berlaku selama lima hari itu telah menyaksikan taktik peperngan yang berbeza setiap hari oleh Jeneral Khalid al-walid.
Dengan jasa dan kepewiraan Khalid Al-Walid juga Islam tersebar lebih meluas sehingga di luar wilayah Arab ke ke Palestin, Syria, dan Mesopotamia yang rakyatnya beragama Nasrani.
Kehebatannya memang tidak terganti dengan sesiapapun.
Sewaktu menyertai peperangan Mu’tah, Khalid Al-Walid benar-benar menonjolkan kebijaksanaanya sebagai seorang panglima perang yang sejati.
Pada awalnya, seorang utusan Rasulullah SAW ke Syria telah dibunuh oleh kaum Ghassanid yang memerintah Syria, dan ini telah melanggar peraturan peperangan yang melarang pembunuhan seorang utusan.
Lalu, Rasulullah SAW menyusun 3,000 pasukan Islam untuk membalas perbuatan puak Arab Ghassanid. Pasukan ini telah diamanahkan kepada Zaid bin Harithah, Ja’afar bin Abu Thalid dan Abdullah bin Rawahah. Ini bermaksud sekiranya Zaid syahid, maka Jaafar akan mengambilalih, dan begitu juga jika Jaafar syahid, maka Abdullah akan mengambil tugas sebagai pemimpin perang.
Dalam peperangan ini, bilangan tentera Rom adalah seramai 300, 000 orang.
Semasa dalam perjalanan ketiga-tiga jeneral ini telah syahid ketika bertempur. Lalu, kedudukan sebagai pemimpin pasukan Islam diambilalih oleh Khalid Al-Walid. Walaupun pada awalnya kelihatan sukar untuk pasukan Islam menang, namun panglima Islam ini menjalankan strategi yang begitu luar biasa yang akhirnya memberi kemennagan kepada pasukan Islam.
Menyedari pasukan musuh jauh lebih ramai dengan tenteranya, Khalid Al-Walid merangka strategi yang begitu bernas dan tidak disnagka oleh musuh, iaitu;
Semua strategi ini membuatkan tentera Rom gentar dan lari meninggalkan medan perang. Lalu Khalid Al-Walid bersama 3,000 tentera Islam dapat kembali ke Madinah dengan selamat.
Dalam peperangan ini juga, 9 pedang Khalid Al-Walid telah patah, dan beliau bertahan dengan pedang terakhirnya.
Dengan kehebatan beliau yang luar biasa dalam perang ini, Rasulullah SAW menggelarnya sebagai ‘Pedang Allah’ kepadanya. Sabda Baginda:
“Sesungguhnya Khalid adalah pedang Allah yang dihunuskan kepada orang musyrikin.”
Pada tahun 21 H, Khalid Al-Walid telah jatuh sakit. Panglima terulung ini menangis dan bersedih kerana hajatnya untuk syahid di medan perang tidak kesampaian.
Ketika berusia 55 tahun (terdapat riwayat lain menyatakan 60 tahun), beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas katil di rumahnya di kota Hims (riwayat lain menyatakan di kota Madinah).
Walaupun meninggal sebagai pewira termahsyur, Khalid Al-Walid tidak pernah menyimpan apa-apa harta melainkan satu pedang dan seekor kuda yang pernah digunakannya di medan perang.