Bagaiamana cara terbaik ketika berkunjung di hari raya?

Amalan kunjung mengunjung sangat digalakkan dalam Islam, apatah lagi sesama saudara mara, jiran, mahupun sahabat handai. Bahkan apa-apa sahaja amalan yang dapat menguatkan silaturahim dan menjaga ukhuwah sangat dituntut dan disukai oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat: 10 yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara ,maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kamu kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”

Begitu juga dalam merayakan hari raya yang mulia di bulan Syawal, aktiviti berkunjungan ini sangat sinonim dan sudah menjadi budaya atau tradisi. Moleklah jika amalan seperti ini berpanjangan dan sebaiknya diteruskan sentiasa.

Namun dalam keseronokan beraya dan saling menziarahi, jangan terlepas pandang akan beberapa tatasusila dan adab sebagai tetamu atau sebagai tuan rumah. Tidak kiralah di hari lebaran mahupun di hari-hari kebiasaan yang lainnya. Ini kerana dengan adab tersebutlah tradisi beraya menjadi lebih indah dan bermakna.

Terdapat beberapa adab yang disarankan untuk diberi perhatian oleh umat Islam ketika kunjung-mengunjungi.  Antaranya;  

1. Memberitahu Atau Meminta Izin Untuk Ziarah

Firman Allah dalam surah an-Nur : 58 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu).”

Sebelum berkunjung, sebaiknya menyatakan hasrat untuk berkunjung terlebih dahulu kepada tuan rumah. Lebih baik meminta izin, bertanya atau meminta kebenaran agar tuan rumah lebih bersedia menerima kehadiran tetamu. Ini juga bertujuan untuk memudahkan tuan rumah dan tidak membebankan.

Elakkan berkunjung secara mengejut dan tiba-tiba. Kita tidak tahu barangkali tuan rumah juga mempunyai urusan dan rancangan lain pada waktu tersebut.

Teknologi dan kemudahan pada masa kita sangat mudah dalam membantu untuk menyampaikan pesanan dengan segera, seperti aplikasi whatsapp dan sebagainya.

2. Memberi Salam

Adab terbaik sebagai tetamu adalah perlu memohon izin dan memberi salam terlebih dahulu sebelum memasuki rumah yang dikunjungi.

Ini sangat bersesuaian dengan firman Allah SWT  dalam surah an-Nur : 27 yang maksudnya;

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)”

Namun, jika telah memberi salam sebanyak tiga kali dan tidak berjawab, maka pulanglah. Elakkan dengan memberi salam berulang kali, menekan loceng, mengintai dan sebagainya seolah-olah memaksa tuan rumah menerima kunjungan kita.

Ini berdasarkan sabda Baginda SAW;

“Apabila kamu meminta izin sebanyak tiga kali, tetapi tidak mendapat keizinan, hendaklah kamu beredar.”

(Hadis Riwayat Muslim)

3. Bersalaman Dan Berjabat Tangan

Tetamu digalakkan untuk bersalaman dengan tuan rumah terlebih dahulu, manakalah tuan rumah mestilah menyambut salam tersebut dengan mesra dan mengalukan kehadiran tetamu.

Ingatlah pesan Rasulullah SAW;

“Tidak ada dua orang muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah sebelum keduanya berpisah.”

(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Amalan berjabat tangan bukan sahaja menghapuskan dosa, tetapi menimbulkan kemesraan dan saling mengeratkan hubungan yang sedia ada. Namun jika bukan terdiri dari kalangan  mahram, elakkan dari bersalaman.

4. Ziarah Dalam Waktu Yang Sesuai

Pastikan berkunjung pada masa yang sesuai. Terutamanya bukan pada waktu kebanyakan orang lain sedang rehat, makan, solat dan tidur.

Islam melarang berkunjung pada tiga waktu iaitu; awal pagi, tengah hari dan pada larut malam. Ini kerana pada masa tersebut dikhuatiri akan mengganggu orang lain untuk  beristirehat dan tidak bersedia melayani kehadiran tetamu.

5. Menjaga Tingkah Laku Dan Pandangan

Jadilah tetamu yang baik dengan menjaga adab dan tingkah laku agar tidak menganggu tuan rumah.  Jangan bertindak bebas, seperti mengunjungi segenap ruang rumah seperti bilik tidur sehingga menimbulkan ketidaksenangan tuan rumah pula.

Jika perlu ke tandas seklipun, minta izin terlebih dahulu. Sebaiknya hanya tetap di tempat duduk yang telah dikhaskan oleh tuan rumah.

Rasulullah SAW ada berpesan tentang hal ini dalam sabdanya;

“Sesiapa yang memasuki majlis sesuatu kaum, hendaklah dia duduk di tempat yang telah disediakan kerana kaum itu (tuan rumah) lebih mengetahui aib rumah mereka.” 

 (Hadis Riwayat Muslim)

Paling penting, jagalah anak kecil yang aktif daripada merosakkan barangan tuan rumah!

6. Menjaga Perkataan Tutur Kata

Hormatilah tuan rumah dengan menuturkan kata-kata yang baik sahaja dengan mengelak perkataan yang mengguris hati. Begitu juga dengan tuan rumah terhadap tetamunya. Berbuallah dengan bahasa dan topik yang kedua-duanya selesa dan tidak sensitif.

Masing-masing harus mengawal perbualan yang menjurus kepada mengumpat, menghina, mengata atau kata-kata yang serta menjatuhkan air muka orang lain.

Rasulullah SAW turut menegah sikap ini dengan tegas. Bahkan sangat mengalakkan umatnya bermulut manis demi menjaga ukhuwah dan silaturahim yang kukuh sesama muslim.

7. Berpakaian Sopan

Adab berpakaian mestilah diambil kira, sama ada sebagai  para tetamu atau tuan rumah sendiri. Kenakan pakaian yang menutup aurat, bersopan santun, bersih dan kemas. Elakkan pakaian yang menjolok mata yang pasti akan menimbulkan rasa tidak selesa dalam rumah.

8. Pendekkan Waktu Ziarah

Jangan berziarah terlalu lama sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada tuan rumah. Bahkan sehingga menghalang mereka meneruskan urusan lain pula. Apatah lagi jika terdapat  kunjungan lain juga banyak pada hari itu.

Cukuplah dnegan kehadiran kita yang menyenangkan dan mengembirakan tuan rumah, tidak semestinya berlama-lamaan.

9. Saling menghormati

Tetamu hangan sesekali menunjukkan resksi tidak berpuas hati atau merungut dengan layanan  tuan rumah, seperti makanan dan minuman yang tidak disukai. Elakkan kelakuan kurang sopan seperti sendawa dengan kuat, berbual atau ketawa dengan suara yang tinggi dan sebagainya.

Begitu juga tuan rumah, jangan sesekali menunjukkan wajah yang tidak senang dengan kehadiran tetamu walau tetamu itu tidak kita senangi atau tidak kenal. Tetamu adalah rezeki dan mestilah dimuliakan.

Paling utama, jangan ‘memilih bulu’ dalam melayani tetamu, sama ada sosial, kaya dan miskin, berpangkat tinggi atau rendah. Raikan semua tetamu dengan senyuman dari muka pintu sehingga mereka pulang.

10. Mengucapkan Terima Kasih

Hormatilah tuan rumah dan berterima kasihlah kepada mereka kerana sudi menerima kunjungan kita. Lahirkan rasa ikhlas dan terimalah layan dan hidangan dari tuan rumah seadanya. Lalu pulanglah dengan kegembiraan kerana dapat terus berukhuwah.

Begitu juga dengan tuan rumah, berterimakasilah kepada tetamu yang sudi berkunjung dan menerima layanan  kita sebaiknya.

Begitu juga apabila hendak pulang, janganlah pulang tanpa meminta izin dari tuan rumah. Bertemulah tuan rumah terlebih dahulu dan menyatakan hasrat untuk pulang dahulu.

Jangan lupa mohon untuk undur diri terlebih dahulu, mengucapkan terima kasih, selain mendoakannya supaya murah rezeki dan diberi kesihatan yang baik.

Penutup: Islam Menggalakkan Budaya Ziarah

Sesungguhnya Islam sangat menggalakkan umatnya untuk ziarah menziarahi pada setiap masa, bukan sewaktu menyambut perayaan sahaja. Namun, beberapa adab dan tatasusila haruslah dijaga dan diterapkan agar memperoleh pahala sunah dan mengelakkan ziarah itu menjadi sia-sia dan mendapat dosa.

Hakikatnya, tradisi berziarah bukan sajak menyajikan keseronokkan dan kebahagiaan tetapi Allah SWT menyediakan juga pahala dan kebaikan lain yang sesuai dengan fitrah seorang muslim.

Maka ambillah kesempatan dengan menjadikan ziarah sebagai ruang yang memberi pahala, bukannya lubang untuk mengumpul dosa walaupun sekecilnya.

Jasi jangan lupa sediakan senarai tempat untuk berziarah pada raya ini!

Rujukan:

  1. FB Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan, USIM
  3. Berita Harian
  4. Sinar Harian

Bacaan lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.