Apa kebaikan berpuasa dari segi kesihatan? Jom ketahui bersama.
Dalam aspek agama, berpuasa bukan sahaja suatu ibadah yang menjanjikan pahala dan mendapat pujian dari Allah SWT. Perbuatan menahan diri daripada lapar dan dahaga bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari ini juga sangat bermanfaat dari sudut kesihatan.
Amalan berpuasa tidak semestinya dilakukan dalam bulan Ramadan sahaja, bahkan boleh dilakukan pada bila-bila masa pun. Namun, apakah kebaikan dan manfaat berpuasa?
Berikut adalah antara kebaikan berpuasa dari sudut kesihatan yang harus diketahui;
Berpuasa sangat membantu dalam menurunkan berat badan denagn cara yang sihat dan semulajadi. Didapati keberkesanannya adalah sebanyak 1.5 kali ganda berbanding golongan yang tidak berpuasa. Selalunya penurunan berat badan akan lebih ketara bagi golongan yang terlebih berat badan (gemuk) berbanding golongan yang sedia kurus.
Dengan mengurangkan berat badan juga sangat penting dalam menjaga kesihatan. Ini kerana kegemukan dan berat badan berlebihan akan mudah terdedah kepada penyakit seperti diabetis atau kencing manis, tekanan darah tinggi dan sebagainya.
Dengan berpuasa dapat mengawal paras hormon insulin dalam darah dan menambahbaik tahap kecenderungan sel terhadap insulin yang sangat penting dalam penurunan paras gula.
Sudah terbukti berpuasa dapat mengurangkan rintangan insulin yang dapat menambah baik fungsi insulin supaya lebih peka. Hal ini sangat berkesan dalam mengendalikan kandungan gula dalam darah seterusnya dapat mengelak dan dan mengawal penyakit kencing manis.
Dengan berpuasa dapat juga menurunkan tekanan darah sebanyak 3 hingga 7 mmHg dari bacaan asal secara berkesan, sama ada berat badan menurun ataupun tidak.
Tekanan darah rendah terjadi oleh kerana kurangnya pengambilan garam secara mendadak dan peningkatan kehilangan garam melalui air kencing.
Paras tekanan darah selalunya akan berkurang pada peringkat awal berpuasa, iaitu ketika minggu pertama.
Kajian mendapat selepas berpuasa bacaan kolestrol juga berbeza. Perbandingan sebelum dan selepas berpuasa mendapati bacaan total kolesterol dan lemak triglyceride menurun, manakala lemak baik didapati meningkat.
Keadaan ini sangat membantu mengawal penyakit yang berisiko seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
Amalan berpuasa juga sangat memberi faedah terhadap kesihatan kardiovaskular, iaitu dapat menambahbaik fungsi kardiovaskular, tekanan dan komposisi darah. Apatah lagi bagi pesakit yang mengalami masalah berkaitan sindrom metabolik.
Dengan ini serangan jantung, strok, penyakit berkaitan alteri dan lain-lain masalah kardiovaskular dapat dielakkan. Bahkan membantu mengurangkan masalah-masalah ini.
Terdapat hasil kajian yang membuktikan dengan berpuasa mampu meningkatkan tahap metabolisme badan sebanyak 2.1%. Kesannya akan lebih baik jika disertai dengan solat tarawikh (bersenam). Penemuan ini sejajar dengan peningkatan jisim otot dan pengurangan kandungan lemak dalam tubuh.
Puasa juga membantu mengurangkan keradangan dalam badan, pengurangan kecederaan sel dan penurunan sel-sel inflamasi.
Dibantu oleh pengurangan risiko rintangan insulin, penurunan tekanan darah, gula, kolesterol dan berat badan, dapat mencegah kehadiran sel kanser. Bahkan puasa juga baik dalam usaha merawat penyembuhan kanser.
Golongan yang berpuasa selalunya akan kurang mengalami gejala ‘gastroesophageal reflux disease’ atau pedih ulu hati atau juga dikenali sebagai GERD berbanding golongan yang tidak berpuasa.
Penyakit GERD adalah disebabkan asid dan makanan di dalam perut tertolak semula ke saluran esofagus (tiub yang menghubungkan antara mulut dan perut) menyebabkan beberapa masalah perut yang lain, antaranya kembung perut, muntah dan ketidakselesaan perut.
Ini berkait rapat dengan waktu berbuka yang lebih awal, berbanding dengan pengambilan makanan pada lewat malam.
Apatah lagi selepas makan didirikan pula solat, ianya dianggap sebagai senaman kecil selepas makan.
Kajian juga menunjukkan puasa juga mampu mengurangkan risiko penyakit neurodegeneratif seperti penyakit alzheimer, parkinson dan huntington.
Masalah nyanyuk atau alzheimer dapat dielakkan dengan berpuasa kerana membantu mengurangkan risiko kemerosotan kognitif. Ini kerana puasa mampu meningkatkan pengaliran darah dan memperbaiki sistem saraf yang akan mengekalkan fungsi otak dengan baik.
Apatah disertakan lagi dengan ibadah dan aktiviti keagamaan lain seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan berselawat.
Puasa akan mengawal rintangan insulin dan membantu penurunan berat badan bagi wanita obesiti, seterusnya membantu menangani masalah penghasilan telur untuk persenyawaan (Polycystic Ovarian Syndrome).
Manakala bagi golongan lelaki pula, berpuasa mampu meningkatkan penghasilan sperma dan membantu meningkatkan kesuburan. Hal ini sangat membantu dan penting bagi pasangan yang menanti zuriat.
Banyak kajian membuktikan, ketika berpuasa otak akan lebih fokus. Semasa lapar dan perut kosong menjadikan daya tumpuan lebih bagus dan tepat, berbanding ketika perut penuh dan kenyang yang pasti membuatkan lebih cepat mengantuk dan malas.
Bukan sahaja dari aspek fizikal, berpuasa juga membantu menenangkan perasaan dan mengekalkan emosi yang baik. Ini kerana dengan penghasilan hormon-hormon gembira dan perubahan transmitter saraf dapat mengelakkan dan kesedihan, murung dan perasan tertekan.
Begitu juga dengan mengamalkan ibadah lainnya yang melahirkan rasa syukur, tenang, puas hati akan membuatkan emosi berada dalam keadaan yang terkawal dan tidak stress.
Justeru, amalan berpuasa bukan sahaja baik untuk peningkatan spiritual dan sebagai ibadah kerohanian semata-mata, namun meninggalkan kesan yang begitu penting terhadap kebaikan tubuh badan, emosi dan psikologi.
Paling utama adalah dalam aspek kesihatan. Apatah lagi dengan lambakan makanan yang pelbagai aneka mendedahkan masyarakat dengan pelbagai jenis risiko penyakit.
Sebab itulah umat Islam diwajibkan oleh Allah SWT untuk merasai hikmah dan nikmat puasa yang Allah SWT sediakan ini. Tujuannya adalah dapat merasai kehidupan yang berkualiti selain menjadi muslim yang bertakwa.
Selamat menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.