Apakah Peristiwa Penting Yang Berlaku Dalam Bulan Ramadan? Mari ketahui bersama.
Ramadan bukan sahaja sebagai bulan penting dan suci kepada umat Islam. Bahkan juga diingati sebagai bulan yang istimewa lantaran berlakunya banyak peristiwa dan kejadian penting dalam pensejarahan Islam.
Disebabkan itulah kehadiran bulan Ramadan yang mulia seharusnya diingatkan dengan mengenang dan menghayati setiap peristiwa yang berlaku, selain mengambil ibrah dan iktIbar daripadanya.
Antara peristiwa penting tersebut adalah:
Rasulullah SAW menerima wahyu yang pertama di Gua Hira’, apabila malaikat Jibril datang bertemu Baginda.
Dari ‘Aisyah Ummul Mukminin katanya:
“Wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah SAW ialah mimpi baik sewaktu Baginda tidur. Biasanya mimpi tersebut kelihatan jelas oleh Baginda seperti jelasnya cuaca pagi. Semenjak dari itu, Baginda suka mengasingkan diri ke Gua Hira’. Di situ, Baginda beribadat beberapa malam, tidak pulang ke rumah isterinya. Baginda membawa bekalan yang secukupnya dan apabila habis, Baginda akan kembali kepada Khadijah untuk menambah bekalan lain.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Selain itu, para ulama menafsirkan bahawa turunnya juga kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab kecil (selain Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran) kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadan.
Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah: 185;
“Pada bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)”
Pembukaan kota Mekah merupakan yang terbesar dalam sejarah Islam dan berlaku pada 20 Ramadan tahun 8H (Januari 630M). Peristiwa ini sangat penting dalam perluasan dan memperkukuh agama Islam.
Walaupun berlaku banyak kekacauan akibat pelanggaran Perjanjian Hudaibiyah oleh musyrikin Mekah. Namun akhirnya umat Islam dapat memasuki kota Mekah tanpa sebarang partumpahan darah.
Peristiwa ini telah menggambarkan pertolongan Allah SWT kepada hamba-hamba yang ikhlas kepada-Nya.
Allah SWT menyebut dalam al-Quran, dalam surah an-Nasr: 1;
“Apabila telah datang pertolongan Allah SWT dan kemenangan.”
Perang Badar berlaku pada hari Jumaat 2 Ramadan tahun 2H. Peperangan ini adalah yang pertama dalam sejarah Islam.
Tentera Islam seramai 313 berhadapan dengan 1,000 tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di daerah itu lalu memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan, dan ramai yang melarikan diri.
Peperangan ini mengajarkan kepada umat Islam walau dalam keadaan berpuasa, kekurangan tentera dan kelengkapan senjata, umat Islam tetap kuat dan teguh berperang dengan kekuatan iman yang luar biasa.
Alalh SWT meredai perjuangan umat Islam dengan menghulurkan bantuan-Nya;
Firman-Nya dalam surah Ali-Imran, ayat 123:
“Sesungguh Allah SWT telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, agar kamu mensyukuri-Nya.”
Penduduk kota Taif pernah menolak Islam dengan sekeras-kerasnya sewaktu Baginda mula-mula berdakwah di sana. Begitu juga selepas pembebasan kota Mekah.
Golongan bani Thaqif yang berkeras tidak mahu tunduk kepada Nabi Muhammad dikepung oleh tentera Islam dalam tempoh yang lama. Sehingga akhirnya mereka datang menyerah kalah ke Mekah pada Ramadan tahun ke 9H dan menyerahkan Taif kepada pasukan Islam.
Andalusia berjaya menjadi milik Islam atas kehebatan seorang panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad. Beliau telah diutuskan oleh pemerintahan Bani Umaiyah untuk menawan Andalus pada 28 Ramadan tahun ke 92H bersamaan dengan 18 Julai 711M.
Kedua-dua pasukan ini bertempur selama lapan hari sehingga akhirnya dimenangi oleh pasukan Islam, seterusnya mengakhiri kekuasaan Raja Roderick di Andalusia.
Walaupun jumlah tentera muslimin sangat kecil, mereka tetap bertahan menghadapi serangan orang-orang Visigoth. Sehingga akhirnya Andalusia ditawan oleh Islam dan kekal selama lapan abad sebelum berjaya dirampas semula.
Perluasan agama Islam yang semakin berkembang bersama dengan kepimpinan Baginda yang terpuji. Ini memberi tamparan dan rasa tercabar kepada Rom sebagai kuasa besar ketika itu. Apatah lagi Islam semakin diterima oleh semua peringkat masyarakat.
Maharaja Rom Timur (Byzantine), Hercules memutuskan menyekat pengaruh Islam di bahagian utara Tanah Arab.
Apabila Nabi Muhammad SAW mengetahuinya, Baginda mengarahkan umat Islam berkumpul untuk menghadapi Rom dan mengutip zakat. Ketika itu juga, tanah Arab dilanda musim panas dan kesusahan namun mereka tetap taat kepada perintah Baginda.
Rasulullah SAW sendiri memimpin tentera seramai 30,000 menuju ke utara kota Madinah. Di Tabuk, termeterailah perjanjian antara Islam dan Rom atas kebijaksanaan Baginda. Rom bersetuju untuk bernaung di bawah pemerintahan Rasulullah SAW dan membayar cukai sebanyak 3,000 dinar setiap tahun.
Pada bulan Ramadan tahun ke 10H, Nabi Muhammad SAW telah mengutuskan Saidina Ali bin Abu Talib ke Yaman bersama sepucuk surat, khususnya kepada suku Hamdan. Dalam tempoh satu hari, semua penduduk memeluk agama Islam secara aman.
Selepas membebaskan kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikan kota itu dengan memusnahkan 360 patung yang berada di sekeliling Kaabah.
Lima hari sebelum berakhirnya Ramadan tahun ke 9H, Baginda mengutuskan Khalid al-Walid untuk memusnahkan patung besar al-‘Uzza di Nakhla. Sejurus menghapuskan tradisi menyembah berhala di Mekah.
Isteri Baginda Rasulullah SAW ini meninggal dunia pada 11 Ramadan, selepas 10 tahun Baginda menerima wahyu. Beliau adalah isteri yang baik yang sangat disayangi Rasulullah selama 23 tahun pernikahan. Pemergian Khadijah sangat mendukacitakan Nabi kerana kehilangan sesorang yang banyak berkorban dan membantu perjuangan Baginda.
Siti Khadijah wafat dalam usia sekitar 65 tahun, tiga tahun sebelum Nabi SAW hijrah ke Madinah.
Ummul Mukminin Aisyah meninggal dunia pada 17 Ramadan tahun 58 H selepas selesai mendirikan solat sunat witir.
Sewaktu pemakamannya terdapat ramai orang yang melawati jenazah beliau sehingga membentuk lautan manusia.
Puteri Rasulullah ini meninggal dunia sewaktu Baginda berada dalam peperangan Badar. Dikatakan beliau menderita sakit campak sehinggakan Rasulullah pun melarang Saidina Utsman bin Affan ikut serta ke medan perang.
Ruqayyah wafat pada usia 22 tahun, dan pemergiannya sangat ditangisi oleh golongan wanita di Madinah.
Sayyidatina Fatimah meninggal dunia pada 3 Ramadan 1H. Dikatakan waktu kematian beliau adalah enam bulan selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW. Manakala terdapat beberapa pendapat yang menyebutkan kurang dari tempoh itu.
Disebutkan dalam hadis Aisyah, dari Fatimah, ia berkata,
“Rasulullah bercerita kepadaku bahawa Jibril biasa menyodorkan al-Quran kepada beliau sekali setiap tahun. Tetapi pada tahun ini Jibril menyodorkannya dua kali. Kata beliau, ‘Aku merasa ajalku sudah hampir tiba, dan sesungguhnya kamu adalah keluargaku yang pertama akan menyusulku. Aku adalah sebaik-baik pendahulumu’.”
Ramadan bukan sahaja bulan mulia yang istimewa, tetapi terkandung juga pelbagai peristiwa penting dan menarik dalam lipatan sejarahnya sendiri.
Sebagai umat islam, sebaiknya kita mengambil tahu akan setiap kejadian penting yang berlaku dalam sejarah perkembangan agama kita, terutamanya yang berlaku dalam bulan yang mulia ini. Termasuklah mengambil ibrah dan hikmah atas peristiwa-peristiwa utama terdahulu.
Siapalah lagi yang akan mengkaji dan mengambil pengajaran jika bukan umat Islam sendiri. Masih belum terlambat untuk kita membaca atau mengkaji semula sejarah Islam terdahulu, agar menjadi umat yang semakin sayang kepada agama Islam ini.