Siapakah Saiyyidah Nafisah? Ayuh bersama kenali siapakah beliau yang sebenar.

Nama sebenar beliau ialah Sayyidah Nafisah binti Sayyid Hasan al-Anwar ibn Sayyid Zaid al-Ablaj ibn Sayyid Hasan ibn Ali. Ibunya adalah seorang ummu walad (iaitu hamba yang menikah dengan tuannya) seperti Hajar, ibunda Nabi Ismail. Beliau juga berketurunan Baginda Rasulullah SAW.

Sayyidah Nafisah lahir pada Rabu 11 Rabi’ul Awal 145 H (Hari kelahirannya bertepatan dengan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW) di kota Mekah. Ketika itu kerajaan Islam diperintah oleh  kekhilafahan Abu Ja’far Abdullah bin Muhammad bin ‘Ali bin Abdullah bin ‘Abbas.  

Lahir Bagaikan Cahaya Purnama

Sayyidah Nafisah lahir ketika bapanya, Sayyid Hasan sedang mengajar dalam suatu majlis ilmu di Baitullah al-Haram, kota Mekah. Kemudian datang seorang lelaki menyampaikn berita tentang kelahiran anak perempuannya;

“Wahai Tuan, berbahagialah. Sungguh telah lahir untukmu malam ini, anak perempuan yang cantik, tidak pernah kami jumpai anak yang lebih cantik darinya, terpancar cahaya dari wajahnya.”

Ketika mendengar berita gembira itu Sayyid Hasan terus mendirikan sujud syukur kerana doanya yang menginginkan anak perempuan termakbul. Beliau memberikan nama Nafisah, agar anak perempuannay itu dia menjadi orang yang baik dan suci.

Sayyid Hasan kemudian membawa bayi perempuannya itu ke makam Rasulullah SAW untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan Baginda. Beliau berkata:  

“Wahai Rasulullah, sungguh saya reda pada anak perempuanku, Nafisah.”

Selepas pulang,  Sayyid Hasan bermimpi didatangi Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda kepadanya;

“Wahai Hasan, Aku reda kepada puterimu, Nafisah, sebagaimana keredaanmu kepadanya, dan Allah SWT reda kepadanya sebagaimana keredaanmu.”

Tidak lama kemudian ramai yang berkunjung dan mengucapkan selamat kepada keluarga bangsawan ini. Termasuklah, utusan Khalifah Abbasiyah Abu Ja’far Al-Mansur bersama hadiah wang 20,000 dinar.

Sayyid Hasan menangis  terharu sambil mengucapkan syukur, beliau berkata,

“Khalifah telah memilih saya menjadi Gabenor Madinah Al-Munawwarah. Meskipun perintah kepeimpinan ini adalah berkat dari Allah, maka dia (puteriku Nafisah) adalah orang yang membawa khabar baik (dengan kelahirannya). Dan bahkan jika ini adalah sebuah karamah (keagungan dari Allah), maka dia (puteriku Nafisah) adalah tandanya”.

Mendapat Didikan Sempurna

Sejak kecil Sayyidah Nafîsah mendapatkan pendidikan awal yang baik dari ayahnya. Beliau juga sangat mudah dan suka mempelajari hal agama. Bahkan beliau sangat senang mendirikan ibadah kepada Allah walaupun masih usia kecil.

Sayyidah Nafisah lebih banyak menghabiskan waktunya dengan membaca al-Quran dan menuntut ilmu, terutamanya berkaitan ilmu hadis. Pada usianya tujuh tahun beliau sudah menghafal al-Quran.

Beliau bukan sahaja membesar dengan dikelilingi dengan wanita-wanita solehah, tetapi sering bertemu dengan golongan soleh seperti Imam Malik bin Anas dan Imam Daar al Hijrah.

Lalu membearlah wanita itu dengan penuh keilmuaan dan sangat solehah. Apatah lagi dengan fasih bicaranya membuatkan Sayyidah Nafisah menjadi rujukan penduduk Madinah walaupun masih muda.

 Beliau sangat disenangi sehingga mendapat  beberapa gelaran, antaranya; Nafisat al-Ilm wal Ma’rifat, Nafisat Tahira (wanita suci), Nafisat al-Abida (Nafisa ahli ibadah), Nafisat al-Darayn, Sayyidat Ahlul Fatwa, Sayyidat al-Karamat dan Umm al-Awaajiz.

Menikah Atas Perintah Rasulullah SAW

Sayyidah Nafisah adalah wanita yang sangat didambakan oleh mana-mana lelaki lantaran ciri-ciri solehahnya, berilmu tinggi, berbudi pekerti, berketurunan mulia selain cantik rupawan.

Ramai lelaki yang datang melamarnya termasuklah dari kalangan bangsawan atau para alim.

Akhirnya, Sayyidah Nafisah menikah dengan Ishaq bin Ja’far as-Shadiq yang dijuluki dengan nama  Al-Mu’tamin kerana sifatnya yang amanah dan solehnya.

Ishaq merupakan anak dari Imam Ja’far al Shadiq bin Muhammad al Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husain, yang juga susur galur dari Rasulullah SAW. 

Pada awalnya Sayyidah Nafisah menolak lamaran Ishaq, sehinggakan Ishaq kecewa dan berdoa bersungguh-sungguh. Beliau juga mendirikan solat di makam Rasulullah.

“Semoga rahmat dan keselamatan selalu tercurah kepadamu Wahai Rasulullah, Wahai Penghulu para Rasul, Penutup para Nabi, dan kekasih Tuhan semesta alam.aku datang untuk membritahukan engkau keadaanku, aku limpahkan hajatku kepadamu supaya engkau membantuku , kepadamulah manusia mengadukan hajat mereka dan meminta bantuan pertolongan, aku telah melamar Nafisah kepada ayahnya tetapi  ia menolakku.”

 Keesokannya Ishaq dijemput oleh Sayyid Hasan dan berkata:

“Tadi malam aku bermimpi bertemu Rasulullah dengan penampilan yang sangat menawan, Beliau menyapaku dan berkata: “Wahai Hasan, nikahkan puterimu Nafisah dengan Ishaq al Mu’tamin!”

Kemudian pernikahan mereka dilangsungkan pada hari Jumat 1 Rajab 161H.

Berhijrah Ke Mesir

Ketika berhijrah ke Mesir pada tahun 193H, Sayyidah Nafisah berusi 44 tahun. Beliau disambut baik oleh para penduduk Mesir yang sangat menyayanginya dan percaya akan karamah beliau.

Sayyidah Nafisah menetap di Mesir selama tujuh tahun. Sepanjang tempoh itu beliau mendapatkan kunjungan dari para ulama, termasuk Imam Syafie yang kemudian berguru dengannya.

Sayyidah Nafisah sentiasa memuji Imam Syafie atas kesempurnaan wuduknya. Imam Syafie juga meriwayatkan hadis dari Sayyidah Nafisah.

Imam Syafie sangat menghormati dan menjunjungi gurunya itu sehinggakan setiap kali ditimpa penyakit beliau akan mengirimkan utusan agar Sayyidah Nafisah mendoakan kesembuhannya.

Antara murid lain yang kemudiannya menjadi ulama terbilang adalah seperti  Utsman bin Said Al-Misri, Dzun Nun Al-Misri, dan Masri Al-Samarkandi.

Walaupun suaminya mengajak Sayyidah Nafisah pulang ke Madinah, beliau tetap mahu tinggal di Mesir. Ini kerana beliau telah bermimpi bertemu Rasulullah SAW yang berkata;

“Jangan tinggalkan Mesir kerana Allah akan mewafatkanmu di Mesir!”

Wanita Solehah yang Memiliki Karamah

Saiyyidah Nafisah langsung tidak memandang dunia dengan sentiasa bersedekah kepada golongan miskin sehingga beliau sendiri hidup dalam kemiskinan.

Sepanjang hidupnya Sayyidah Nafisah telah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 4,000 kali dan mengerjakan ibadah haji sebanyak 17 kali.

Beliau mengamalkan sifat zuhudnya dengan tidak pernah tidur di malam hari. Beliau tidak pernah meninggalkan tahajud dan pada siangnya beliau berpuasa. Sayyidah Nafisah juga sangat taat kepada suaminya.

Dengan izin Allah dan tahap keimannya itulah, beliau dikurniakan Allah dengan pelbagai karamah. Antaranya air dari bekas wuduknya pernah menyembuhkan seseorang yang lumpuh sehinggakan orang itu boleh berjalan seperti tidak pernah sakit.

Begitu juga sewaktu pembantunya yang bernama Jauharah keluar untuk membawakan air wuduk kepadanya dalam hujan lebat, namun tapak kaki Jauharah tidak basah dengan air hujan.

Malah, semasa Sungai Nil kering, penduduk menemuinya dan memohon beliau berdoa. Lalu beliau memberikan cadarnya  dan penduduk melemparkan cadar tersebut ke dalam Sungai Nil. Setelah itu mengalirlah air Sungai Nil seperti sedia kala.

Sayyidah Nafisah Menggali Sendiri Kuburnya

Al-Sakhawi bercerita;

Ketika Sayyidah Nafisah merasakan ajalnya sudah dekat, beliau menulis surat wasiat untuk suaminya, dan menggali kubur beliau sendiri di rumahnya. Kubur yang digalinya itu ialah untuk beliau sentiasa mengingatkan akan kematian. Kemudian beliau turun ke liang kubur itu, memperbanyak solat dan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 109 kali. Kalau tidak mampu berdiri, beliau solat dengan duduk, memperbanyak tasbih dan menangis. Ketika sudah sampai ajalnya dan beliau sampai pada ayat: “Bagi mereka (disediakan) tempat kedamaian (syurga) di sisi Tuhannya dan Dialah Pelindung mereka disebabkan amal-amal soleh yang selalu mereka kerjakan.” (Al-An’am: 127)”

Sayyidah Nafisah menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat, bulan Ramadan 208H/824M. Iaitu empat tahun setelah Imam Syafie meninggal dunia. Ramai yang menyembahyangkan jenazahnya bahkan makamnya diziarahi oleh pengunjung dari seluruh dunia.

Semoga kehidupan dan amalan baik Sayyidah Nafisah yang warak kepada Allah SWT menjadi contoh ikutan generasi wanita akhir zaman kini.


Bacaan lain:

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.