Apabila anak kecil menangis tanpa henti, ibu bapa pasti gelisah dan tak boleh tidur malam dibuatnya. Jika demam atau selesema, kita mungkin senang nak tahu dengan memeriksa suhu badan dan fizikal mereka.

Namun, yang jadi masalah jika bayi anda menangis disebabkan kesakitan dalaman yang kita tak nampak. Mereka belum mampu berkata-kata untuk meluahkan kesakitan yang ditanggung. Oleh itu, sebagai ibu bapa kita perlu peka dengan keadaan dan perubahan anak-anak kecil.

Salah satu masalah yang sering mengganggu bayi ialah berkaitan usus bengkak disebabkan oleh masalah sembelit. Oleh itu, dalam artikel kali ni, penulis akan berkongsi tentang simptom, punca dan rawatan bagi masalah usus bayi bengkak.

Untuk mengetahui bahawa sistem pencernaan bayi anda sihat ialah kemampuannya membuang air besar dengan teratur. Jika sebaliknya, kemungkinan besar disebabkan oleh masalah sembelit. Jika dibiarkan, akan berlaku keradangan usus dan menyebabkannya menjadi bengkak.

Simptom Usus Bayi Bengkak

Ada beberapa simptom yang boleh diperhatikan oleh ibu bapa sama ada bayi mereka mempunyai masalah sembelit. Antaranya ialah:

1. Tak membuang air besar dalam jangka waktu yang lama

Jika bayi anda tak membuang air besar (najis berwarna kuning terang) sehingga hari ke-5, maka bawalah bayi anda berjumpa doktor. Kekerapan pembuangan najis untuk pelbagai umur adalah seperti berikut:

  • Bayi yang minum susu ibu – buang air besar selepas setiap penyusuan atau sekali dalam tempoh 7 hari
  • Bayi yang minum susu formula – buang najis sekali setiap 2 hingga 3 hari

Masalah sembelit jarang berlaku kepada bayi yang masih kecil dan menyusu badan. Ia kerap terjadi kepada bayi yang lebih berusia apabila mereka sudah mula makan makanan pejal.

2. Najis keras dan sukar membuang air besar

Najis yang keras dan berketul-ketul menyebabkan dinding anus (dubur) menjadi tegang dan kembang ketika najis hendak dikeluarkan. Ini akan menyebabkan berlakunya pendarahan pada dinding anus. Biasanya boleh nampak kesan darah pada najis bayi anda.

3. Bayi asyik meneran

Jika bayi anda kerap meneran dengan wajah menahan kesakitan, perutnya sedikit keras dan sakit ketika disentuh, ini disebabkan masalah pada ususnya.

4. Hilang selera makan

Disebabkan perut terasa kembung dan sakit, bayi anda akan hilang selera makan. Ketika hendak menyusu, mereka akan menolak.

5. Sakit perut (abdominal cramps)

Selain berasa tak selesa pada bahagian perut, ketulan najis yang keras boleh dirasa di bahagian perut.

Punca Usus Bayi Bengkak

Terdapat beberapa sebab yang menyebabkan terjadinya masalah ni, iaitu:

a. Akibat berasa sakit ketika membuang air besar, bayi anda cenderung untuk menahan pembuangan najis. Ini akan memburukkan lagi masalah yang dihadapi.

b. Disebabkan oleh faktor semula jadi kerana sesetengah bayi mengalami keadaan di mana usus besar mereka kurang aktif daripada biasa. Masalah ini dikenali sebagai slow colonic transit.

c. Pemberian susu formula lebih mudah menyebabkan masalah ni berbanding susu ibu. Alahan pada susu formula seperti susu lembu yang tak sesuai dengan sistem pencernaan bayi.

d. Mungkin disebabkan oleh penyakit yang jarang-jarang berlaku seperti penyakit Hirschprung’s disease disebabkan ketiadaan saraf di usus besar. Selain itu, penyakit lain seperti masalah saraf tunjang, masalah kurang hormon tiroid dan masalah metabolik.

e. Bayi tak mendapat cecair yang secukupnya.

Cara Rawatan Usus Bayi Bengkak

Walaupun masalah ni merupakan perkara yang normal dalam kalangan bayi, namun anda tetap perlu membawa bayi anda bertemu pakar pediatrik terlebih dahulu. Ini bagi memastikan tiada masalah kesihatan lain yang lebih serius. Pemeriksaan rapi perlu dilakukan.

Di bawah ini terdapat beberapa tips dan cara rawatan untuk mengatasi masalah ni, iaitu:

a. Berikan air kosong sebagai minuman harian dengan kuantiti yang sedikit tetapi kerap.

b. Anda boleh menambah 1 sudu teh bijian bran ke dalam bijirin bayi anda untuk menambahkan serat.

c. Berikan sedikit sayur-sayuran dan buahan-buahan. Anda juga boleh mengisarnya untuk dijadikan jus atau dicampurkan dalam bijirin.

d. Mengehadkan pengambilan susu lembu kepada 500 ml sehari bagi bayi berusia lebih 18 bulan.

e. Penggunaan ubatan-ubatan iaitu laxatives boleh membantu tetapi perlulah dapatkan nasihat doktor terlebih dulu.

f. Jika bayi anda minum susu formula, anda boleh tukar jenama susu yang mungkin lebih sesuai untuk mereka. Anda perlu tukar beberapa kali sehingga masalah ni dapat diatasi.

g. Jangan kerap berikan makanan yang menyebabkan masalah sembelit seperti nasi, lobak merah, pisang, kentang dan sebagainya. Seimbangkan pemberian makanan pejal dan cecair.

h. Bayi juga perlu melakukan aktiviti fizikal dengan lebihkan masa untuk berbaring secara meniarap. Ibu bapa juga boleh melakukan urutan lembut pada perut mereka. Ia dapat membantu pergerakan usus.

i. Jika bayi ada mula meragam disebabkan oleh masalah sembelit, cuba gerakkan kedua-dua kaki bayi anda. Ini dapat membantu menggerakkan najis di dalam ususnya.

j. Bawalah bayi anda bertemu pakar pediatrik jika masalah ni berterusan. Mereka akan menyarankan ubat yang bersesuaian seperti pelawas, perangsang dan pelincir najis.

Diharapkan artikel ni dapat membantu ibu bapa dalam menangani masalah usus bayi, lebih-lebih lagi yang baru mendapat bayi sulung. Tentunya anda akan menjadi panik, trauma dan sedih melihat kesakitan yang ditanggung oleh bayi anda.

Disebabkan bayi anda tak dapat meluahkan kesakitan yang dirasakan oleh mereka, kita sebagai ibu bapa perlulah sentiasa mengawasi mereka. Perhatikan frekuensi pembuangan najis, warna dan bentuk najis serta simptom-simptom yang lain.

Sebelum melakukan sebarang rawatan sendiri di rumah, bawalah bayi anda ke klinik dahulu. Dapatkan nasihat dan rawatan yang bersesuaian. Ini dapat mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk. Semoga bermanfaat.

Jemput juga baca artikel lain seperti lampin bayi dan cara menyediakan tempat tidur bayi

Rujukan

  • Sembelit Di Kalangan Bayi.http://www.myhealth.gov.my/sembelit-di-kalangan-bayi/ (link)
  • Susah Hati Bila Bayi Sembelit Amal Tips Untuk Mengatasinya Macam Dikongsi Ibu Ini. https://www.majalahpama.my/susah-hati-bila-bayi-sembelit-amal-tip-untuk-mengatasinya-macam-dikongsi-ibu-ini/(link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.