Hari ini saya ingin menulis sebuah pengalaman mengenai anak yang Hyper-Active. Beberapa tahun yang lalu saya telah menerima panggilan telefon daripada seorang ibu.


Baby Hyper Active

Tips tangani anak Hyper-Active [Soren]


 

Dia mengatakan bahawa dia mendapat nombor saya daripada halaman saya di dalam sebuah majalah wanita. Dia mula bercerita akan resah hatinya.

Katanya, dia ada mempunyai seorang anak yang berusia 7 tahun di dalam darjah satu dan mengikutnya anak ini tersangat aktif, malah mengikutnya anak ini Hyper-Active. Guru kelaspun mengatakan anaknya hyper-aktif. Oleh kerana risau akan anaknya itu dia telah membawa anaknya berjumpa doktor. Doktor pun mengatakan anaknya hyper-active dan memberi ubat untuk mengurangkan keaktifan anaknya itu.

Saya tertanya pula di dalam hati saya mengapa dia menghubungi saya jika dia telah berjumpa doktor dan disahkan oleh doktor sebagai Hyper-Active. Kata beliau, mengikut doktor, jika ubat itu diambil berterusan akan memberi kesan buruk kepada anaknya.

Lama juga saya bercakap di dalam telefon itu dengannya. Ceritanya berulang-ulang. Yalah, dia serba salah, hendak dibiar, anak itu terlalu aktif. Hendak diberi makan ubat, kata doktor ada kesan buruk pada jangka panjang. Kesian mendengarkan resah hatinya itu, saya menawarkan diri untuk berjumpa anaknya.

Tapi dengan syarat anaknya itu tidak diberi ubat itu untuk satu hari sebelum dibawa berjumpa saya. Saya ingin lihat sejauh mana Hyper-Activenya anak itu. Hendak dipendekkan cerita, hari saya berjumpa anak itu, saya suruh ibunya membiar anaknya bermain di sekitar tempat kami berbual.

Suami beliaupun ada bersama. Si ibu dengan penuh prihatin menceritakan perihal anaknya. Sambil mendengar luahan hati si ibu, saya mengikuti pergerakan si anak lelaki 7 tahun itu dengan ekor mata saya.

Setelah lebih kurang setengah jam bersembang, saya bertanya si ibu adakah dia memberi anaknya makan ubat dalam masa 24 jam sebelum berjumpa saya. Si ibu berkata tidak. Mengapa saya bertanya begitu.

Kerana apa yang ternyata di hadapan saya setelah menyaksikan si anak itu bermain selama setengah jam di hadapan mata saya, anak itu adalah seorang anak lelaki yang aktif dan bukan Hyper-Active seperti yang dikatakan.

Anak itu cuma AKTIF. Suka bergerak dan bermain lasak seperti mana-mana anak lelaki seumur itu. Saya juga melihat anak itu boleh fokus bermain sesuatu mainan. Anak matanya boleh fokus melihat sesuatu.

Lalu saya bertanya mengapa si ibu mengatakan dia seorang Hyper-Active? Mengikut beliau, anak perempuannya, iaitu anaknya yang kedua, mahu duduk diam dan tidak melompat ke sana ke mari.

Mendengar penjelasannya, saya lalu mengambil tangannya dan berkata,

“ Puan, anak lelaki sememangnya lebih aktif daripada anak perempuan. Lagi satu kemungkinan anak ini juga belajar dengan cara melakukan dan bergerak, iaitu seorang yang Kinesthetic ( untuk penerangan lanjut – ada tertulis di dalam buku saya – Membina Anak-anak Cemerlang). Apa yang saya lihat anak ini bukan hyper-active. Sila dapatkan pandangan kedua daripada doktor yang berbeza. Doktor pakar mengenai anak-anak yang hyper-active. Bagi saya anak puan tidak langsung menunjukkan simtom anak yang hyper-active. Dia cuma aktif dan banyak tenaga.”

Habis perlukan saya teruskan ubat itu? Tanyanya. Saya memberitahunya, pilihan itu di tangan puan dan suami. Jika benar anak ini hyper-active setelah disahkan oleh doktor yang pakar di dalam bidang itu, maka cari ubatan yang tidak meninggalkan kesan yang buruk. Jika tidak, janganlah diseksa anak itu dengan ubat yang tidak perlu dia ambil.

Ubat yang paling mujarab untuknya adalah memberi dia ruang bermain lasak dan aktif setiap hari. Jika keterlaluan aktifnya, kurangkan gula di dalam pemakanannya dan elakkan minuman bergas. Bacalah lebih mendalam mengenai kondisi hyper-active ini.

Mengapa saya membawa kisah ini ke tengah. Pertama, kerana perkata atau terminologi hyper-active ini terlalu mudah digunakan tanpa kefahaman yang jelas. Bila melihat anak tidak tahu duduk diam, cepat sahaja dia dikatakan hyper-active. Perkataan itu digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memahami kesannya kepada anak itu dari segi kesihatannya dan juga dari segi psaikologinya.

Perkataan Hyper-Active ini membawa essence yang negative, seolah-olah satu penyakit dan suatu yang tidak disukai. Bayangkan seorang anak yang aktif itu digelas hyper-active, bagaimana agaknya pandangannya kepada dirinya. Kita bercakap mengenai mahukan anak-anak yang confident. Bayangkan bagaimana confident anak itu diragut oleh gelaran ini yang merundumkan imej dirinya!

Anak yang suka bergerak dan bermain, melompat ke sana ke mari adalah anak yang sihat dan AKTIF. Keaktifannya menunjukkan dia bijak dan otaknya berfungsi dengan baik dan koordinasi badannya bagus. Lagipun kita mesti ingat, badannya kecil, jadi dia tidak cepat letih bebanding kita orang dewasa yang badan kita sudah besar.

Kita bergerak sikit, sudah letih, sebab kita perlu membawa badan yang lebih besar maka tenaga yang diambil juga lebih banyak.

Anak kecil itu, badannya ringan dan bila dia bergerak, dia tidak banyak memerlukan tenaga, oleh itu untuk memastikan tenaganya digunakan dengan baik, maka dia perlu bergerak. Bukankah kita dahulu pun begitu semasa kecil. Kita memanjat pokoklah, mandi sungailah dan banyak lagi.

Anak-anak sekarang ini terutamanya yang di bandar, kebanyakan mereka terperangkap di dalam rumah yang bergril. Ya, kita perlu melakukan sedemikian demi keselamatan mereka.

Dalam masa yang sama, jika mereka itu agak aktif lebih, faham-fahamlah dan berikanlah mereka aktiviti yang membolehkan mereka dapat menggunakan tenaga mereka. Jika selalu sangat disuruh duduk diam, lama-lama mereka menjadi malas dan apa yang mereka suka lakukan ialah makan dan main video game. Lama kelamaan kita lihat bila usia menjangkau 10 tahun kita lihat badan mereka pun mula mengembang!

Kembali kepada cerita ibu yang anaknya dikatakan hyper-active tadi, bila perbualan saya dengannya berakhir, suaminya yang dari tadi tidak berkata apa-apa bertanya kepada saya;

“ Dr. bagaimana kalau anak bermain di luar dan bajunya kotor, patut tak dimarahi?” Tanyanya sambil memandang isterinya.

Dengan tersenyum saya menjawab, “ jika anak takut bajunya kotor bila bermain di luar, bagaimana dia boleh bermain dengan seronoknya – khaskan baju yang boleh dia pakai untuk bermain di luar.

Beri anak-anak kebebasan yang sewajarnya untuk bermain kerana pada usia sebegini, inilah foundation untuk mereka mengekspresikan kemampuan mereka. Jangan takut mak atau ayah marah sebab baju kotor merantai keupayaan mereka. Berikah kebebasan yang sewajarnya”

Jawab saya dengan tersenyum.

Penulis: Dr Rozieta Shaary

Prof. Dr. Rozieta Shaary atau juga dikenali sebagai Ibu Rose adalah Family & Love Guru yang telah berkecimpung dalam bidang Pembangunan Modan Insan dan pendidikan melebihi 25 tahun. Beliau boleh dihubungi di Facebooknya

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.