“Sambal ni tak cukup masaklah. Rasa mentah lagi ni. Belum pecah minyak betul-betul lagi ni.” Jom belajar cara tumis pecah minyak sampai pandai.

Anda pernah dapat teguran seperti ini daripada emak? Lebih haru-biru kalau yang tegur itu emak mertua atau suami sendiri. Alamak, mana nak letak muka! Jangan risau, nak memasak juga memerlukan ilmu dan kemahiran.

Dalam artikel ini, penulis akan berkongsi tips dan cara tumis pecah minyak. Macam biasa dengar ayat ‘pecah minyak’ tapi tetap ramai masih keliru. Nampak tumisan macam dah pecah minyak, rupanya masih mentah lagi.

Apa Itu Pecah Minyak?

Masyarakat Malaysia menggunakan rempah dan bahan-bahan lain yang banyak seperti cili, bawang, halia, serai dan sebagainya ketika memasak. Yang paling banyak gunakan rempah-ratus ini tentulah kaum Melayu dan India.

Masakan yang menggunakan bahan yang banyak antaranya ialah sambal, kurma, kari, sup dan sebagainya. Cara paling asas ialah memasukkan bahan kisaran dan ditumis hingga naik bau dan nampak garing.

Misalnya ketika membuat sambal tumis, kita akan mengisar cili kering, bawang putih dan merah, halia, serai dan sebagainya. Sebelum memasukkan ikan bilis (digoreng atau mentah), bahan-bahan yang ditumis perlu dipastikan masak secukupnya.

Kaedah ‘masak secukupnya’ inilah yang merujuk tumis hingga pecah minyak. Jika anda biarkan tumisan tidak pecah minyak, akan menyebabkan:

  • Bahan-bahan tumisan masih mentah
  • Masakan terasa mentah, pahit dan tidak enak
  • Mengakibatkan sakit perut dan perut tidak selesa
  • Lauk senang basi

Jadi, untuk mengatasi masalah ini, jom baca tips tumis hingga pecah minyak. Anda tak perlu menjadi seorang chef untuk menjadi pakar masakan. Yang paling penting berusaha untuk belajar mengatasi kelemahan.

Tips Tumis Pecah Minyak

sambal
Imej Via Keluarga

Bagi memudahkan anda untuk memahami apa itu menumis hingga pecah minyak, penulis akan senaraikan langkah-langkahnya.

  • Sediakan bahan kisaran

Jika anda bercadang untuk memasak sambal tumis ikan bilis. Sediakan bahan-bahan untuk memasak. Antaranya ialah cili kering, bawang kecil dan besar, gula pasir atau gula merah dan ikan bilis. Jangan lupa halia dan air asam jawa.

Untuk mengisar, bawang kecil lebih enak berbanding bawang besar. Bawang besar biasanya dihiris untuk menumis sahaja. Sambal anda akan manis secara semulajadi.

Bahan utamanya iaitu cili kering perlu direndam untuk melembutkan cili dan membersihkan kotoran. Apabila sudah lembut, ia akan lebih mudah hancur apabila dikisar. Jika terus dikisar tanpa direndam, dikhuatiri cilinya akan kasar-kasar.

sambal
Imej Via Bella Jamal

Gunakan cili kering dan bukannya cili boh yang sedia dibungkus. Berbanding cili kering, cili boh lebih memudahkan kerja kerana telah sedia dipeskan. Namun, rasanya kurang enak dan telah ditambah bahan pengawet.

Cili kering juga boleh direndam dengan air panas untuk mengurangkan rasa pedas. Ini juga akan memudahkan anda mengeluarkan biji-bijinya. Apabila sudah sedikit masak dengan air panas, nak kisar jadi lebih mudah.

*Tips penting: Kalau suka sambal yang pedas, gunakan cili kering yang licin dan kilat. Bagi yang tak suka pedas, beli cili kering yang kerinting dan berkedut.

  • Gunakan minyak yang banyak

Untuk menghasilkan sambal yang sedap dan sempurna, anda perlu menggunakan minyak yang banyak. Cara hendak tahu minyak mencukupi atau tidak, bahan kisaran akan kelihatan sedikit tenggelam.

Apabila minyak dimasukkan dengan kadar yang cukup, proses menumis juga akan menjadi cepat dan mudah. Anda tak perlu mengacaunya terlalu lama. Jangan risau, apabila sambal sudah masak, anda boleh kaup buang lebihan minyak yang bertakung.

  • Pastikan minyak panas terlebih dahulu

Sebelum bahan kisaran dimasukkan, pastikan minyak dah panas dulu ye! Api jangan terlalu kuat, biarkan sederhana sahaja. Apabila kita menuang bahan kisaran, akan menghasilkan bunyi desiran, itu menunjukkan minyak sudah panas.

  • Sering mengacau tumisan

Setelah itu, biarkan bahan kisar masak dengan sekata. Anda perlu sering mengacau tumisan agar bahagian bawahnya tidak hangit. Jangan sesekali biarkan kuali anda terlalu lama di atas dapur.

Gabungan cili kering dan gula akan membentuk karamel yang mudah terhangus. Oleh itu, jika anda rasa sambal anda terlalu kering, bolehlah ditambahkan sedikit air ketika ini.

  • Pastikan warna tumisan berubah

Proses terakhir sebelum pecah minyak, anda akan dapati bahan kisaran mendap ke bawah. Minyak dan sambal akan mula terpisah. Malahan, warna sambal juga akan menjadi sedikit pekat dan mula mengering.

Ketika ini, anda boleh membuang lebihan minyak yang bertakung. Anda sudah boleh masukkan ikan bilis yang digoreng terlebih dahulu. Gaul semuanya sehingga sebati. Sambal tumis ikan bilis sudah siap untuk dihidang!

Kesilapan Ketika Menumis

sambal
Imej Via Rasa

Ada beberapa kesilapan yang sering dilakukan ketika menumis. Ini menyebabkan kaedah pecah minyak menjadi gagal. Antaranya ialah:

  1. Bahan kisaran yang tidak halus secara sekata
  2. Menggunakan api yang terlalu kecil
  3. Minyak terlalu kurang
  4. Tidak mengacau bahan kisar dengan betul
  5. Memasukkan air ketika sambal belum masak
  6. Tergopoh-gopoh menutup api ketika sambal masih belum masak

Bagaimana dengan tips-tips yang dikongsikan ini? Mudah bukan? Rasanya tidaklah susah untuk buat masakan hingga pecah minyak. Mungkin selama ini anda kurang mengambil tahu dan berasa ia tak penting.

Namun, apabila masakan anda sering dikritik, mestilah ada yang tak kena kan? Rupa-rupanya disebabkan cara menumis yang salah. Lepas ini, anda tak akan ditegur lagi. Percayalah!

Sayang seribu kali sayang, banyak macam mana pun bahan. Mewah macam mana pun isinya, jika salah kaedah paling asas, habislah masakan tersebut. Bukan sahaja tak enak, sakit perut pula nanti.

Diharapkan pembaca sekalian dapat memanfaatkan tips tumis pecah minyak yang dikongsikan ini. Jangan lupa baca tentang jenis kacang , 5 trick masakan dan cara potong daging.

Rujukan

Tips untuk Menyediakan Sambal Tumis yang Sedap (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.