Anda nak tips kulit karipap yang rangup dan sedap dimakan? Selalu frust sebab karipap mudah lemau, lembik dan berminyak? Masa baru digoreng bunyinya krap krup krap krup. Sejam kemudian, terasa lemau dan liat. Ah, artikel ini berbaloi untuk dibaca.

Karipap merupakan sejenis snek ringan yang sangat digemari oleh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Malahan, karipap juga cukup popular di Indonesia, Thailand dan Singapura.

Karipap sering dijadikan menu untuk bersarapan dan minum petang. Rasanya yang enak pasti buat kita makan tanpa henti. Terdapat pelbagai jenis inti bagi karipap. Namun, bahan utamanya mestilah kentang atau keledek.

karipap
Imej Via Free Malaysia Today

Ada yang mencampurkan inti tersebut dengan ayam, daging, sardin, sayur-sayuran dan sebagainya. Ini bergantung kepada citarasa pembuatnya. Rasanya yang berempah membuatkan karipap menjadi kegemaran ramai orang.

Jika anda suka makan karipap tetapi kurang pandai membuatnya, jom baca tips yang akan dikongsikan ini. Untuk mendapatkan karipap yang lazat, ada 2 perkara penting yang perlu pembaca tahu.

Yang pertama tentunya adunan inti yang secukup rasa. Yang kedua, kulit karipap mestilah rangup dan tidak mudah lemau. Oleh itu, dalam artikel ini penulis akan kongsikan tips kedua iaitu cara untuk mendapatkan karipap yang rangup dan sedap dimakan.

Tips Kulit Karipap Rangup

karipap
Imej Via Bidadari

Di bawah ini, penulis akan kongsikan beberapa tips untuk mendapatkan kulit karipap yang rangup.

  1. Pastikan kulit karipap tidak terlalu tebal kerana akan menjadikannya mudah lemau dan liat selepas digoreng.
  2. Kulit karipap juga janganlah terlalu nipis kerana inti akan mudah terkeluar dan pecah.
  3. Selain tepung gandum, anda juga boleh menambah sedikit tepung ubi dan tepung beras.
  4. Sukatan air jangan terlalu banyak.
  5. Penggunaan minyak masak dan marjerin yang dipanaskan dapat menghasilkan karipap yang rangup.
  6. Apabila menggoreng karipap, gunakan minyak yang banyak supaya setiap permukaan karipap akan masak sekata.
  7. Gunakan api yang sederhana dan jangan terlalu panas. Apabila api terlalu panas, hanya kulit karipap luar sahaja yang masak, manakala bahagian dalam masih mentah.
  8. Penggunaan tepung gandum yang berkualiti juga mempengaruhi tekstur kulit karipap. Yang terbaik ialah jenama Blue Key dan Faiza.
  9. Air kapur juga membantu dalam mendapatkan karipap yang enak. Caranya ialah masukkan sedikit kapur ke dalam air dan biarkan selama 20 hingga 30 minit. Ambil bahagian yang jernih sahaja. Mendapan kapur perlu dibuang.
  10. Adunan tepung perlu diuli dengan betul dan sebati.
  11. Adunan yang sudah siap perlu ditutup dan direhatkan selama beberapa jam. Tujuannya supaya doh menjadi lebih lembut dan berminyak.
  12. Kulit karipap yang rangup mestilah mempunyai permukaan yang berbiji-biji dan menggerutu.
  13. Cuba dan terus cuba. Jangan cepat berputus asa.

Resepi Kulit Karipap Rangup

Anda boleh mencuba beberapa resipi kulit karipap yang pastinya rangup dan enak. Jom cuba mana-mana resepi di bawah ini.

Resepi 1

Bahan-bahan:

  • 1 kg tepung gandum
  • 1 cawan kecil minyak masak
  • 2 sudu besar marjerin
  • Sedikit air yang dibancuh dengan garam

Cara-cara:

Panaskan minyak masak dan marjerin sehingga berbuih. Tuangkan ke dalam tepung gandum. Dengan berhati-hati, kacau menggunakan sudu. Apabila sudah suam, gaul sebati sehingga menjadi serbuk roti.

Tuangkan air bancuhan garam sedikit demi sedikit. Agak-agak sahaja kuantiti airnya. Jangan sampai adunan terlalu lembik atau terlalu keras. Tutup adunan dengan plastik supaya tidak terkena angin. Rehatkan doh selama setengah jam sehingga sejam.

Resepi 2

Bahan-bahan:

500 g tepung gandum

Setengah cawan minyak masak atau marjerin yang dicairkan dahulu

1 mug sederhana besar air yang dicampurkan garam

*50 g tepung beras

*50 g tepung ubi

Cara-cara:

Masukkan minyak atau marjerin yang telah dipanaskan ke dalam tepung gandum (anda juga boleh menambah bahan yang bertanda * jika suka). Gunakan sudu untuk menggaul minyak dan tepung.

Apabila sudah tidak panas lagi, gunakan tangan untuk menguli. Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit dan uli sehingga tepung tidak lagi melekat pada tangan. Biarkan doh selama 10 hingga 15 minit sebelum mencanainya.

Resepi 3

Bahan-bahan:

1 kg tepung gandum

1 cawan minyak masak

2 sudu besar marjerin

350 ml air

2 sudu besar air kapur

Cara-cara:

Panaskan minyak dan merjerin dan tuangkan ke atas tepung gandum. Berhati-hati apabila menggaulnya. Gunakan sudu terlebih dahulu dan barulah uli dengan tangan. Kemudian, tuangkan air dan air kapur ke dalam adunan.

Uli kesemuanya sehingga sebati. Adunan kulit karipap perlu ditutup supaya tidak menjadi kering. Biarkan selama 4 jam sebelum dicanai.

Resepi 4

Bahan-bahan:

1 kg tepung gandum

1 cawan minyak masak

2 sudu besar marjerin

2 sudu besar air kapur

1 setengah sudu kecil garam

1 setengah sudu kecil gula

350 ml air sejuk (letak seketul ais)

Cara-cara:

Campurkan tepung gandum, gula dan garam. Kemudian masukkan minyak dan marjerin yang telah dipanaskan serta air kapur. Gaulkan kesemuanya menggunakan sudu. Selepas suam, ramas adunan sehingga menjadi seperti serbuk roti.

Masukkan air sejuk dan uli sehingga sebati. Masukkan ke dalam plastik dan biarkan di dalam peti sejuk selama 3 hingga 4 jam.

Itu sahaja perkongsian penulis tentang 13 tips untuk mendapatkan kulit karipap yang rangup dan sedap dimakan. Anda juga boleh mencuba mana-mana resepi yang disertakan sekali. Mana tahu kali ini, keenakan karipap anda menjadi sebutan seluruh ahli keluarga.

Jika sudah cuba, jangan lupa kongsikan hasilnya dengan kami. Jika masih tidak berjaya, jangan putus asa. Praktis banyak kali sehingga anda mendapat hasil yang diingini.

Jika hendak cuba resepi yang lain, boleh lihat resepi karipap:

Rujukan

  • Wanita Ini Tunjuk Ajar Satu-Persatu Cara Buat Kulit Karipap Rangup (link)
  • Petua Mudah Buat Karipap Rangup (link)
  • Karipap Kampung…Kulit yang sangat Rangup Tahan Sampai Petang (Link)
  • Nak Resepi Kulit Karipap yang Sedap dan Kekal Rangup Hingga Malam (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.