Orang kata, kecantikan sebenar seseorang wanita adalah ketika baru bangun daripada tidur. Sejurus saja bangkit daripada tidur, terus belek muka di depan cermin. Wajah polos tanpa sebarang solekan itu ialah makna kecantikan semula jadi. Nak tahu tips kecantikan sebelum tidur yang boleh anda buat?
Kecantikan wajah tidak dinilai dengan warna kulit yang putih melepak dan ditambah dengan solekan yang tebal. Kecantikan yang sebenar ialah kulit yang bersih tanpa sebarang masalah.
Jika anda mempunyai kulit wajah yang sihat, bersih tanpa cela dan halus, anda tak memerlukan sebarang solekan yang tebal lagi. Oleh itu, sebagai wanita yang sentiasa menjaga penampilan di rumah dan juga di luar, pastikan anda rajin menjaga kulit wajah.
Oleh itu, dalam artikel ini, penulis akan kongsikan beberapa tips kecantikan yang boleh dicuba sebelum tidur. Mana tahu, bangun paginya nanti anda dapat melihat keberkesanan tips yang dikongsikan ini.
Pastikan anda minum air sebelum tidur. Yang paling terbaik tentunya air kosong. Elakkan minuman yang manis seperti air berkarbonat, kopi atau teh. Anda juga boleh minum susu tanpa sebarang gula. Sebaik-baiknya minum segelas air sebelum tidur.
Cecair yang mencukupi di dalam badan akan membuatkan kulit mendapat hidrasi. Hasilnya kulit akan sentiasa lembap, kurang masalah jerawat dan bintik-bintik serta kelihatan awet muda.
Kita seharusnya jangan meninggalkan waktu makan malam. Sering saja kita dimomokkan dengan kenyataan bahawa apabila makan malam, kita akan mudah mengalami kenaikan berat badan.
Sebenarnya, bukan waktu makan yang menjadi isu utama tetapi apa yang dimakan. Tidak kiralah sarapan, makan tengah hari atau malam. Jika kita sering makan makanan yang kurang sihat, berat badan tetap juga akan naik.
Cara terbaik ialah makan makanan yang lebih ringan pada waktu malam seperti bubur nasi, sup sayur, minum jus buah-buahan tanpa gula, oats dan sebagainya. Selain meringankan proses pencernaan di dalam perut, kesihatan juga terjaga.
Hasilnya, kulit juga akan menjadi cantik kerana kita mengamalkan pemakanan yang sihat dan kaya dengan nutrien untuk kulit. Lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Setelah seharian bekerja atau sibuk di rumah, sudah tentu kita perlu membersihkan wajah dengan sebaik-baiknya. Bagi wanita yang kerap mengenakan solekan tebal dan juga memakai produk wajah, pastikan wajah sudah dibersihkan sebelum tidur.
Berikut merupakan beberapa tips penting yang anda tidak boleh abaikan, iaitu:
Jangan lupa cuci muka dengan menggunakan teknik double cleansing. Teknik ini dapat memastikan kulit muka anda akan benar-benar bersih berbanding cuci muka seperti biasa. Anda perlu menggunakan cleansing oil dan diikuti pencuci muka biasa.
Jika nak tahu dengan lebih lanjut, anda boleh membacanya di pautan ini.
Seminggu sekali atau 2 kali, pastikan anda skrub wajah anda. Anda boleh menggunakan skrub yang dijual di pasaran atau membuatnya sendiri. Fungsi skrub adalah untuk menghilangkan lebihan kotoran dan menanggalkan sel-sel kulit mati.
Serum wajah direka khas untuk memberikan rawatan khusus untuk wajah. Terdapat pelbagai jenis serum yang mempunyai fungsi berbeza di pasaran. Namun secara umumnya, serum digunakan untuk melembap dan menganjalkan kulit, menghilangkan kedutan dan sebagainya.
Terdapat sejenis mask iaitu overnight mask yang sangat baik untuk mencantikkan kulit. Berbeza dengan mask biasa, mask jenis ini boleh dibiarkan pada wajah dan digunakan dengan rutin lain tanpa perlu dibasuh. Ia sangat efektif untuk melembapkan kulit.
Sebenarnya kesemua produk wajah mempunyai fungsi yang berbeza namun tetap direka untuk kesihatan kulit. Begitu juga dengan krim malam, ia telah direka untuk digunakan pada waktu malam dan ketika tidur.
Fungsinya hampir sama dengan mask dan serum. Namun, krim siang tidak sesuai digunakan pada waktu malam kerana biasanya mempunyai fungsi penghalang sinaran matahari.
Apabila seharian membuat kerja rumah ataupun sibuk bekerja, badan pastinya menjadi lesu dan letih. Apabila badan lemah, kita akan menjadi malas. Lagi-lagi apabila berkaitan soal kecantikan diri.
Siap saja semua kerja di rumah, pertama sekali mesti anda terbayangkan tilam yang empuk. Ini akan membuatkan anda mengabaikan rutin penjagaan wajah dan juga aspek pemakanan.
Cara yang terbaik ialah buat urutan wajah dan badan 2 kali seminggu atau sebulan sekali. Selain dapat menghilangkan lesu-lesu, perjalanan darah juga menjadi lancar. Kesannya, kulit muka akan sentiasa sihat dan cantik.
Sebelum tidur, anda boleh menggunakan essential oil sama ada jenis semburan, yang perlu dibakar atau disapu. Bau wangian ini akan membangkitkan mood yang positif dan ceria. Anda juga akan mendapat tidur yang berkualiti.
Tidur yang berkualiti akan memberi impak yang baik bukan saja dalam kehidupan harian tetapi juga kesihatan tubuh. Selain itu, kulit wajah juga akan kekal sihat.
Itu saja perkongsian penulis tentang tips kecantikan sebelum tidur yang anda semua boleh cuba. Kesemua tips itu mudah saja dan yang penting anda perlu rajin mengamalkannya.
Sememangnya untuk kekal cantik tidak mudah tetapi tidak mustahil untuk dilakukan. Jika kita konsisten sejak awal lagi, pastinya semua orang akan kagum dengan kulit wajah anda yang sihat dan sentiasa awet muda.
Anda juga boleh baca tentang tips kecantikan orang-orang dulu di sini. Malahan, petua kecantikan menggunakan barang-barang yang ada di dapur saja boleh baca di sini. Jangan lupa kongsikan pengalaman anda mencuba mana-mana tips yang telah dikongsikan ini. Boleh juga menjadi panduan pembaca yang lain.
Semoga bermanfaat.