Jom ketahui petua kecantikan alami ini.

Cuba anda berdiri di depan Watson, Guardian, Sephora dan sebagainya, siapa yang paling ramai di situ? Golongan lelaki, boleh dibilang dengan jari saja. Yang sanggup bersesak-sesak, cuba produk berjam-jam lamanya tentunya golongan wanita. Hanya mereka saja yang ada kesabaran setinggi tu.

Disebabkan permintaan yang tinggi terhadap produk kecantikan, maka keluarlah macam-macam jenama di pasaran. Katakan apa saja, nak produk Korea ada. Nak tiru  selebriti barat pun ada. Nak jadi macam Aishwarya Rai? Ayurveda ada.

Soalnya semua ada, tinggal nak hulurkan duit saja. Ini kerana kecantikan dan wanita umpama isi dan kuku.

Kecantikan menjadi keutamaan supaya nampak lebih berkeyakinan di hadapan orang lain. Malahan, agama Islam sendiri menggalakkan para isteri sentiasa nampak cantik di hadapan suami.

Namun, tak dapat dinafikan, produk-produk kecantikan ni bukannya murah. Jika berkemampuan dari segi kewangan, tak menjadi masalah. Namun, jika sebaliknya, ada juga kaum wanita yang sanggup ikat perut setiap bulan demi membeli produk-produk kecantikan.

Jangan risau. Dalam artikel ini, penulis akan kongsikan petua kecantikan dengan kos yang sangat minima. Mungkin anda boleh gunakan saja bahan-bahan yang terdapat di dapur atau sekeliling rumah.

Tak susah pun nak cantik, yang paling penting kena rajin dan konsisten. Cubalah amalkan petua kecantikan yang dikongsikan ini. Pasti tak lama lagi anda akan nampak perubahan pada diri.

Dah bersedia nak berubah menjadi lebih cantik? Jom baca!

Minum Air Secukupnya

Perkara paling penting yang anda perlu lakukan sejurus bangun tidur ialah minum segelas air suam. Kajian mendapati minum air setiap pagi memberi banyak manfaat kepada tubuh badan. Amat digalakkan untuk minum air sebelum menggosok gigi.

Malahan, Nabi Muhammad S.A.W suka mencampurkan madu di dalam air sejuk. Khasiatnya terbukti dari aspek kesihatan misalnya mengurangkan batuk dan kahak. Selain itu, kita juga boleh mencampurkan jus lemon yang kaya dengan vitamin C.

Pastikan anda minum sekurang-kurangnya 8 gelas air setiap hari bergantung pada berat badan. Untuk lebih mudah mengira, untuk setiap 25kg, kita perlu minum sebanyak 1 liter air.

Utamakan Pemakanan Seimbang

Kalau nak nampak cantik, jangan tumpukan pada kecantikan kulit wajah saja. Kekurangan pada wajah masih boleh disembunyikan dengan solekan. Aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah pemakanan.

Aspek inilah yang sering diabaikan oleh kebanyakan wanita. Pasti anda pernah dengar “You Are What You Eat” (Anda ialah cerminan apa yang anda makan).

Untuk nampak bertenaga dan sihat juga merupakan sebahagian daripada kecantikan mental dan fizikal. Oleh itu, amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang. Paling mudah, amalkan konsep “Suku-Suku Separuh” yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kurangkan pengambilan makanan segera, makanan diproses, air berkarbonat dan sebagainya. Sebaliknya, ikut piramid makanan untuk mendapatkan nutrien lengkap dalam pemakanan harian.

Selain menjaga kesihatan dan dijauhi penyakit, kita pun akan nampak bertenaga dan berseri-seri. Tak guna kalau cantik, kalau asyik sakit saja kan?

Gaya Hidup Aktif

Selain minum air secukupnya dan menjaga pemakanan, wanita juga perlu mengamalkan gaya hidup yang aktif. Bunyinya klise, tapi itulah hakikatnya.

Tak perlu menjadi pengunjung setia gim, boleh saja bersenam di rumah. Setiap hari, cukuplah bersenam selama 30 minit. Jika berasa malas sekalipun, lakukan saja aktiviti di rumah seperti mengemop, menyapu dan sebagainya.

Dapatkan Tidur yang Cukup

Setelah seharian tubuh badan bekerja keras, kita perlu merehatkan diri. Caranya ialah mendapatkan tidur yang cukup antara 7 hingga 8 jam. Bayangkan jika tak cukup tidur, esoknya macam mana keadaan rupa kita?

Dengan wajah yang sembap, mood yang melayang dan yang paling teruk, orang nak tegur kita pun takut. Jika dibiarkan lama-lama, bukan wajah saja nampak tak bermaya, kesihatan pun akan terjejas.

Seimbangkan Kesihatan Mental dan Fizikal

Kita jangan hanya fokus pada kecantikan luaran sahaja, aspek rohani juga penting. Macam mana kita jaga kecantikan wajah dan tubuh badan, begitulah caranya kita menjaga dalaman juga.

Bersihkan jiwa dan hati. Jaga hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia. Patuhi suruhan dan jauhi larangan yang ditetapkan oleh agama. Jika dalaman kita bersih, keindahan hati akan terserlah di wajah.

Jika anda rasa boleh amalkan kelima-lima petua kecantikan yang paling asas di atas, sambung baca petua kecantikan seterusnya.

Gunakan Produk Wajah yang Sesuai

Setiap manusia mempunyai jenis kulit yang berbeza. Ada yang mempunyai kulit kering, berminyak, normal dan kombinasi.

Oleh itu, pastikan kita menggunakan produk yang betul dan sesuai dengan jenis kulit. Jangan hanya baca testimoni produk dalam Internet tanpa mendapatkan nasihat daripada pakar. Tak semua produk sesuai dengan kita.

Lambakan produk timbang kilo di pasaran juga perlu diberi perhatian. Jangan tersalah pilih produk yang mempunyai bahan kimia yang tinggi seperti merkuri dan hidrokuinon. Masalah lain pula yang muncul nanti.

Hilangkan Tompok Hitam

Jika terdapat tompok hitam di wajah disebabkan oleh sunburn, boleh cuba petua ini. Caranya hanya gunakan hirisan buah lemon dan letakkan di kawasan yang bermasalah. Namun, petua ini tak sesuai untuk kulit kering dan sensitif ya!

Lembapkan Wajah

Bagi orang yang mempunyai masalah kulit kering boleh cuba tips ini. Campurkan 1 sudu kecil gula pasir, sedikit air, sedikit susu segar (dipanaskan dan dibiarkan suam).

Sapukan campuran tadi di wajah, kemudian diurut lembut. Biarkan selama dua minit dan kemudian dicuci bersih. Jika terdapat kulit kering sehingga kelihatan bersisik di bahagian lengan dan kaki, boleh juga cuba petua ini.

Kurangkan Kedutan dan Garis-Garis Halus

Jika usia sudah mula mencapai 30 tahun, garis-garis halus mula menampakkan diri. Perkara ni paling ditakuti wanita. Masalah ni sering tertumpu di bahagian tepi bibir, sekitar mata dan dahi. Jika dibiarkan, senang nampak berusia.

Jika ada tanam pokok bunga geranium, ambil beberapa helai daunnya. Kemudian, rendam di dalam air suam selama beberapa jam. Sapukan di wajah air rendaman tersebut. Untuk hasil yang baik, pastikan anda berbaring selama 15-30 minit.

Kulit Terlalu Kering dan Berminyak

Petua ni boleh diamalkan oleh orang yang mempunyai kulit kering mahupun berminyak. Ambil sebiji buah avocado yang dihancurkan, 1 sudu teh jus lemon dan putih telur. Sapukan di tempat yang bermasalah selama beberapa minit.

Bengkak di Wajah

Kadangkala wajah kita boleh membengkak disebabkan bisul, jerawat dan sebagainya. Jangan risau, ada cara untuk selesaikan masalah ni.

Ambil sebiji epal yang dikupas kulit, kemudian kisar. Campurkan dengan 1 sudu besar madu, kuning telur, 1 sudu besar cuka epal dan 3 sudu besar minyak badam. Kemudian, sapu di tempat yang bengkak tu. Cuba beberapa kali sehinggalah bengkak menjadi surut.

Cerahkan Kulit Kusam

Jika kita tak rajin scrub muka, maka sel kulit mati yang terkumpul akan menyebabkan wajah nampak kusam. Untuk menghindari masalah kulit kusam, apa kata cuba petua ni.

Kisar separuh kentang dan ambil jusnya dalam 1 sudu besar. Campurkan dengan serbuk multani mitti (boleh didapati di kedai India). Campurkan kedua-duanya menjadi pes pekat dan sapukan di seluruh muka. Tunggu sehingga kering.

Wajah Nampak Muda

Siapa yang tak suka wajahnya sentiasa awet muda kan? Nak nampak muda remaja, kenalah rajin buat petua kecantikan ni.

Amalkan minum jus pegaga atau peria setiap pagi. Pahit tu biasanya ubat yang paling mujarab tau.

Kalau suka wap muka boleh cuba petua ni. Ambil setengah biji lemon yang dihiris nipis, sedikit kulit oren, serbuk cendana dan kelopak bunga ros. Masukkan kesemuanya dalam 5 hingga 6 cawan air panas. Wapkan ke arah muka, ikut keselesaan tau.

Kulit Muka Tegang

Atas faktor usia, biasanya kulit wajah kita akan mula kendur. Jangan risau, kita boleh melengahkan proses penuaan dengan cara urutan.

Setiap pagi dan sebelum tidur, urut wajah sambil berselawat. Caranya, mulakan urutan dari arah dagu menggunakan kedua-dua belah tapak tangan dan tolak ke atas. Buat secara lembut saja.          

Buang Bulu Roma

Ini juga masalah yang dihadapi oleh segelintir wanita disebabkan faktor genetik dan penyakit seperti Pcos. Cara mudah yang biasanya dibuat untuk hilangkan bulu di kaki dan tangan ialah dengan cara mencukur.

Kesannya berlaku keradangan kulit dan bulu roma tumbuh semakin kasar. Petua mudah ialah ambil sedikit serbuk kunyit untuk kecantikan dan sedikit serbuk dhal hitam. Campurkan kedua-duanya dengan sedikit air mawar untuk menjadikan pes pekat.

Sapukan di tempat yang bermasalah dan biarkan hingga kering. Buat dengan kerap untuk hasil yang pantas.  

Lembutkan Tapak Tangan

Pastinya kita malu nak bersalam tangan dengan orang lain, jika tapak tangan kasar dan kesat. Untuk atasi masalah ni, gosokkan hirisan limau nipis di kedua-dua belah tapak tangan.

Atasi Badan Berbau

Kadangkala bila menggunakan pengangkutan awam, perkara yang tak sanggup kita hadapi ialah bersesak-sesak dengan penumpang lain. Macam-macam bau pun ada.

Namun yang lebih malang, tanpa disedari kita juga salah seorang penyumbang bau-bauan yang tak menyenangkan tu. Jadi, apa petua terbaik untuk atasi masalah ni?

Ramas beberapa helai daun sirih, campurkan dengan bunga-bungaan yang wangi dan sebiji lemon yang dihiris nipis. Campurkan kesemuanya dalam tadahan air untuk mandi. Biarkan seketika. Kemudian, mandi seperti biasa.

Hentikan Masalah Jerawat

Menurut laman web Healthine, serbuk teh hijau merupakan medium terbaik untuk atasi masalah jerawat. Jika tiada serbuk teh hijau, bentuk uncang juga boleh digunakan. Caranya mudah. Sapu di bahagian berjerawat.

Bunuh Akar Jeragat

Ni satu lagi masalah wanita jika sudah mula berumur dan kurang menjaga aspek kecantikan kulit.

Gunakan daun sirih yang ditumbuk halus, sapukan di tempat bermasalah. Selain itu, boleh juga gunakan getah bawang merah untuk atasi masalah ni. Pastikan rajin mencubanya sehingga jeragat semakin pudar. Paling penting, rajinkan diri pakai krim sunblock.   

Macam mana? Puas hati tak dengan petua kecantikan yang diberikan? Diharapkan pembaca semua konsisten dalam mencuba petua-petua ni.

Perlu diingatkan, tak semua tips ni mujarab bagi kita. Jika masalah masih berlarutan, dapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar.

Anda boleh kongsikan artikel ni kepada ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga. Sharing is caring! Jika ada yang dah cuba petua kecantikan yang disenaraikan ni, bolehlah berkongsi dengan kami dan pembaca yang lain.  

Jemput juga baca artikel tentang tips kulit cantik petua kempiskan perut dan scrub muka terbaik  

Rujukan

  1. Ayurveda For Beauty and Health (Janet Wright, 2005)
  2. Healthline         

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.