Puasa bermaksud menahan lapar dan dahaga di siang hari. Mulut kita tidak akan melakukan kerja seperti mengunyah kecuali bercakap untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling. Namun, disebabkan mulut kita jarang terbuka kecuali untuk berkomunikasi, ia akan menyebabkan bau yang tidak menyenangkan.
Memang benar bau mulut orang yang berpuasa itu adalah tanda kita berpuasa dengan betul tetapi ia boleh menjadi masalah kepada kita. Kita akan berasa malu untuk bercakap kerana takut mulut berbau. Apa yang perlu kita lakukan untuk elak mulut berbau terlalu kuat?
Mari kami kongsikan kepada anda tips untuk elakkan mulut berbau ketika berpuasa. Tips ini dikongsikan oleh Dr. Kamarul Ariffin. Beliau adalah seorang pegawai perubatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau juga merupakan antara barisan doktor di sebalik Medikal Mythbusters Malaysia.
Antara salah satu sebab mulut berbau adalah kerana kekeringan pada mukosa dalam mulut akibat kekurangan air semasa berpuasa. Maka semasa sahur hendaklah minum air kosong secukupnya, agar badan sentiasa terhidrat dan mulut tidak kering.
Kopi dan teh adalah sejenis diuretik, iaitu bahan yang menggalakkan penghasilan air kencing. Jika kita minum teh dan kopi, makan kita akan hilang banyak air melalui air kencing. Ia boleh menyebabkan dehidrasi, dan secara tidak langsung menyumbang kepada mulut berbau.
Kurangkan makan bawang dan membawang. Bawang putih dan merah adalah antara makanan yang boleh buat nafas berbau. Manakala, terlalu banyak bercakap(membawang) pula boleh menyebabkan kelembapan mulut mudah tersejat, lalu menyebabkan mulut menjadi kering dan berbau.
Ada sesetengah orang cuba untuk mengurangkan berat badan secara intensif semasa bulan Ramadan. Mereka berpuasa dan tidak mengambil karbohidrat dan gula, dan ini memaksa tubuh mendapatkan tenaga secara ketosis. Keadaan ini menghasilkan ketones yang menyebabkan nafas berbau. Jadi, makanlah juga karbohidrat sikit ya!.
Antara penyumbang mulut berbau adalah kehadiran bakteria dalam mulut. Oleh itu, jangan lupa gosok gigi sebelum tidur dan selepas sahur. Gunakan juga floss untuk bersihkan sisa makanan di celahan gigi dan bersihkan lidah dengan memberusnya. Boleh juga guna larutan pembersih mulut.
Jika semua cara di atas telah diikhtiar tetapi mulut masih berbau, anda hendaklah berjumpa dengan doktor. Masalah pada hidung, sinus, gigi, gusi atau tonsil juga boleh menyebabkan mulut berbau. Biar doktor periksa ya!
*Mudahkan tips yang diberi oleh doktor. Ikuti tips ini dan anda tidak perlu bimbang lagi tentang mulut berbau ketika berpuasa. Selepas ini, anda boleh bercakap dengan senang dan lancar tanpa perlu bimbang apa-apa lagi. Apa yang penting, anda perlu konsisten dan rajin untuk melakukannya. Semoga tips ini memberi manfaat kepada dan orang-orang tersayang.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel penuh di sini.