Bila disengat apa perlu dibuat? Jom jemput baca artikel tips disengat tebuan ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Negara pernah dikejutkan dengan berita yang sangat menyayat hati, apabila seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia disengat tebuan tanah. Mangsa yang bernama Nur Nazihah Mohd Sabri, 8, telah terkena lebih 60 sengatan tebuan di Felda Kerteh 4, Dungun, Terengganu, sehari sebelumnya. Kanak-kanak malang itu meninggal akibat kegagalan organ dalaman akibat toksin yang banyak akibat sengatan itu.

Ini merupakan salah satu kes tentang berita kematian akibat sengatan serangga berbisa. Berita kematian akibat disengat tebuan bukan pertama kali berlaku di negara kita. Ada orang yang menganggap bahawa sengatan tebuan hanyalah perkara remeh sehingga mereka tidak mendapatkan rawatan.

Yang lebih menyedihkan mereka hanya sapu ubat gigi, garam, abu daun kayu, tanah dan sebagainya pada bahagian sengatan. Ia merupakan kepercayaan tradisi bahawa cara ini lebih afdal untuk menyembuhkan sengatan. Mentaliti sebegini perlu diubah.

Bahaya Sengatan Tebuan

Tebuan terdiri daripada salah satu serangga daripada spesies himenoptera. Sengatannya boleh menyebabkan tindak balas keracunan secara tiba-tiba dan boleh mengakibatkan alahan. Semasa tebuan menyengat, ia akan meninggalkan kantung racunnya di kawasan sengatan. Kemudian, racun tersebut akan mengalir ke seluruh tubuh mangsa melalui darah.

Tahukah anda sengatan tebuan boleh membawa maut jika anda disengat dengan banyak? Malahan, ada juga orang mendapat kesan yang serius walaupun dengan hanya 1 sengatan. Begitulah bahayanya sengatan serangga berbisa seperti tebuan.

Secara umumnya, sengatan tebuan hanya menyebabkan kesakitan, bengkak dan kemerahan pada kawasan yang disengat. Namun begitu, ia juga boleh menyebabkan tindak balas yang lebih kronik kepada badan.

Malahan, fungsi organ juga boleh terganggu akibat kejutan anafilaksis. Kesan tindak balas anafilaksis menyebabkan tangan, kaki atau bahagian yang disengat membengkak. Ia dikategorikan sebagai renjatan kecemasan kesan reaksi alahan paling serius. Mangsa sengatan tebuan akan mengalami kesan tindak balas yang menyebabkan aliran darah yang sepatutnya terus ke jantung, mengalir ke kawasan sengatan dan bahagian tubuh.

Akibatnya, aliran darah ke jantung menjadi kurang, seterusnya menyebabkan tekanan darah turun secara mendadak. Situasi ini akan menyebabkan tekanan darah mangsa menjadi rendah, sesak nafas dan lambat dirawat boleh membawa maut. Tindak balas ini boleh menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan dengan segera. Oleh itu, jika anda mendapat sengatan tebuan, segera ke klinik atau hospital.

Komplikasi Sengatan Tebuan

Terdapat beberapa kesan kronik pada mangsa selepas disengat, iaitu:

  • Bengkak yang serius
  • Kegagalan sistem pernafasan
  • Kegagalan fungsi jantung
  • Gangrene
  • Kematian

Pencegahan Awal untuk Elak Disengat Tebuan

Terdapat beberapa perkara yang boleh kita jadikan panduan sebagai langkah keselamatan untuk elak disengat tebuan. Antaranya ialah:

  • Elakkan berada di kawasan yang berisiko menjadi sarang dan habitat tebuan:

a. Kawasan hutan dan semak-samun yang menjadi sarang tebuan.

b. Kawasan tanah lembap.

  • Pakai pakaian yang menutup tubuh seperti seluar panjang, baju berlengan panjang dan sentiasa memakai kasut ketika berada di kawasan hutan atau semak.
  • Pastikan anak-anak kecil tidak minum air berperisa yang manis ketika bermain di luar rumah. Ini akan menarik perhatian tebuan.
  • Jangan mengganggu habitat tebuan kerana biasanya ia akan menyerang apabila berasa terancam.
  • Tutup tong sampah di luar rumah dengan rapat. Bau sampah juga boleh menarik perhatian tebuan.
  • Elakkan memakai minyak wangi apabila ke kawasan hutan atau semak. Bau yang wangi menarik perhatian serangga berbisa ini.
  • Hapuskan sarang tebuan jika berada berhampiran kawasan kediaman dengan meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam atau pengendali kawalan makhluk perosak. Ingat ya! Jangan sesekali anda menghapuskannya tanpa bantuan pakar.

Langkah Kecemasan Apabila Diserang Tebuan

Terdapat beberapa langkah kecemasan yang boleh dibuat apabila anda diserang tebuan. Antaranya ialah:

  1. Jika diserang, lari dengan cepat ke tempat yang boleh memberi perlindungan seperti rumah, kenderaan dan bangunan. Tutup rapat-rapat semua tingkap.
  2. Jangan mengibas baju atau kain untuk menghalang serangan tebuan. Tindakan anda ini akan menarik tebuan untuk datang menyerang.
  3. Jika disengat, buangkan sengatan menggunakan penyepit (tweezer). Jangan mencabut sengatan dengan jari.
  4. Jangan tekan kawasan sengatan kerana racun tebuan masih ada di situ.
  5. Cuci bahagian sengatan dengan air bersih atau antiseptik selepas membuang sengatan.
  6. Boleh juga sapukan cuka di kawasan yang disengat keran tebuan bersifat alkali.
  7. Letakkan ais atau tuala yang berisi ais untuk meredakan kesakitan. Bahagian yang dituam akan membekukan tempat sengatan dan menghalang racun daripada terus merebak.
  8. Hadkan pergerakan anggota yang terkena sengatan.
  9. Jika mangsa mengalami masalah kesukaran untuk bernafas, letakkan mangsa dalam kedudukan menyandar.
  10. Jika mangsa tidak sedarkan diri pula, letakkan mangsa dalam keadaan mengiring.
  11. Jika ada simptom kesejukan, selimutkan mangsa.
  12. Hantar mangsa dengan segera ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk rawatan lanjut. Jika mangsa merupakan pesakit kronik sama ada diabetes, hipertensi atau pesakit jantung, perlu rawatan dengan pantas. Begitu juga dengan kanak-kanak.

Justeru, mangsa yang disengat tebah tidak kira kanak-kanak atau dewasa perlu mendapatkan rawatan doktor. Lazimnya, sengatan tebuan boleh memberi tindak balas pada tubuh seseorang individu dalam tempoh 72 jam.

Orang dewasa yang mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap sengatan, mungkin boleh selamat walau disengat banyak kali. Berbeza dengan kanak-kanak yang lebih rendah ketahanan badan mereka.

Oleh itu, kita perlu berhati-hati apabila berada di kawasan yang berisiko. Pada masa yang sama, pantaulah anak-anak ketika berada di luar rumah. Jangan membiarkan mereka bermain di kawasan semak dan hutan untuk mengelakkan menjadi mangsa sengatan lebah.

Semoga anda menyukai artikel tips disengat tebuan ini. Jemput juga baca bahaya kasut tumit tinggi dan bahaya bekas plastik

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.