Anda belum pernah melancong ke Brunei? Kalau belum, mungkin tiba masanya untuk anda masukkan Brunei sebagai salah satu destinasi pelancongan idaman. Percayalah, di Brunei terdapat banyak tempat yang menarik. Jom kami kongsikan 11 tempat menarik di Brunei yang pasti buatkan anda teruja.

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Passporthealthusa

1. Kampung Ayer

Kampong Ayer merupakan kawasan penempatan awal di Brunei . Ia telah wujud sejak 1300  tahun yang lalu. Kampung ini juga dahulunya merupakan kawasan yang penting dalam aktiviti perdagangan di Kepulauan Borneo. Kini, Kampong Ayer adalah kawasan tradisional yang masih kekal di Brunei. Setibanya anda di sini , anda dapat melihat rumah-rumah yang dibina di atas air, satu pemandangan yang agak unik untuk disaksikan.

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Wikipedia

2. Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin

Anda pernah melawat masjid yang kubahnya diperbuat daripada emas tulen? Kalau belum, sila lawati Masjid Sultan Omar Ali Saifudin. Dengan ketinggian 171 kaki, masjid ini dapat dilihat dari mana-mana pelusuk Bandar Seri Begawan. Kubahnya yang kuning keemasan akan bersinar-sinar dipanah cahaya matahari.

Masjid ini dibina di tepi  Sungai Brunei dan dikelilingi oleh taman bunga yang indah. Rekaan dalaman masjid ini tak kurang hebatnya kerana hampir kesemua material yang digunakan dalam pembinaan masjid ini didatangkan daripada luar negara. Chandelier kristalnya datang dari England, lantai marmarnya diimport dari Itali dan karpetnya pula dari Arab Saudi. Teringin melihat semua ini di depan mata sendiri? Tunggu apa lagi? Melanconglah ke Brunei.

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Larnakaonline

3. Pasar malam Gadong

Anda suka jalan jalan cari makan? Inilah dia lokasi yang mesti anda lawati.  Pasar Malam Gadong  cukup meriah dengan pelbagai jenis gerai menjual bermacam-macam jenis makanan. Barbeku, grill, kuih-muih, takoyaki, buah-buahan, minuman, sampai tak tahu nak beli yang mana satu.

Kalau anda tak dapat nak buat pilihan, beli je semua yang menarik hati kerana harga makanan di sini tersangatlah murah,. Kebanyakannya sekitar B$1 – B$4 sahaja. Tempat makan juga disediakan kalau anda dah tak sabar nak merasa. Yang menariknya lagi, Pasar Malam Gadong ini boleh dikatakan antara pasar malam yang terbersih di Asia Tenggara. Lagilah berselera anda nak membeli-belah!

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Bizbrunei

4. Plaza Sutera Biru

Bagi warga kota yang merindukan aktiviti urban, bolehlah singgah ke Plaza Sutera Biru yang menempatkan  2 buah pawagam, permainan arked, tempat bermain bowling dan juga restoran. Tidaklah segempak pusat membeli-belah di kotaraya lain, tapi sekurang-kurangnya dapatlah juga merasa pengalaman memasuki shopping mall di negara Brunei.

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Agoda

5. Hutan Simpan Labi

Hutan Simpan Labi merupakan salah satu daripada tarikan alam semulajadi yang terdapat di Brunei. Anda boleh nikmati sungai yang mengalir tenang, kolam-kolam semulajadi untuk bermandi-manda dan juga pokok-pokok di sekitar yang menyejukkan pandangan mata. Sekiranya anda datang ke sini pada waktu malam, anda mungkin akan menjumpai cendawan yang bercahaya, flora yang cukup unik!

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Maisinggah

6. Jerudong Park

Shopping dah, makan pun sudah, nak buat apa lagi? Apa lagi kalau bukan berseronok sepuasnya di Jerudong Park! Barulah hebat percutian anda. Antara tarikan menarik yang terdapat di Jerudong Park adalah ferris wheel yang mana anda dapat melihat kawasan sekitar taman seluas pemandangan, roller coaster yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur, bot pedal yang membawa anda mengelilingi sekitar tasik di Jerudong Park, carousel, bumper car, waterpark dan banyak lagi! Ceriakanlah percutian anak-anak anda ke Brunei dengan membawa mereka ke sini.

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Mrioaldinogroup

7. Royal Regalia Building

Royal Regalia Building ataupun Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja yang terletak di tengah-tengah Bandar Seri Begawan ini menempatkan pelbagai replika diraja yang termasuklah mahkota-mahkota, pakaian dan banyak lagi. Di samping itu, terdapat juga pameran pemberian berharga yang telah diberikan kepada kerajaan Brunei. Terdapat barangan kristal, perak dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, anda tidak dibenarkan mengambil gambar di sini.

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Wikipedia

8. Malay Technology Museum

Malay Technology Museum ini terbahagi kepada 3 bahagian pameran iaitu Water Village Traditional House Gallery, Water Village Traditional Technology Gallery dan Inland Traditional Technology Gallery.

Di Water Village Traditional House Gallery, anda dapat melihat bagaimana struktur rumah di kawasan penempatan awal iaitu Kampung Ayer dibina. Sementara di Water Village Traditional Technology Gallery  pula anda akan dapat melihat pembuatan atap, bot dan banyak lagi oleh masyarakat setempat.

Akhir sekali di Inland Traditional Technology Gallery pula anda dapat melihat pameran pondok-pondok untuk suku kaum berbeza dan banyak lagi pameran lain yang menarik. Agak banyak yang dapat anda pelajari di muzium ini tentang sejarah awal Brunei sebelum menjadi antara negara yang terkaya di dunia.

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Ummirosma

9. Masjid Hassanal Bolkiah

Masjid Hassanal Bolkiah  merupakan salah satu daripada 2 buah masjid negara di Brunei. Masjid yang dibina pada tahun 1992 ini memiliki 29 buah kubah yang menyilau keemasan terutama apabila tiba waktu malam. Boleh memuatkan 5000 jemaah pada satu-satu masa, masjid ini merupakan yang terbesar di negara ini. Bukan sahaja memiliki rekabentuk luaran yang mengujakan, dalaman masjid ini juga agak mewah, lengkap dengan eskalator khas untuk kegunaan sultan.

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Scarysoul

10. Billionth Barrel monument

Dibina pada tahun 1991, Billionth Barrel Monument merupakan sebuah mercu tanda yang terletak di Seria. Untuk ke sini, memakan masa sekitar 1 jam perjalanan dari pusat bandar. Monumen ini dibina untuk melambangkan kejayaan Brunei sebagai antara negara pengeluar minyak yang terkaya di dunia. Dah sampai ke Brunei, kalau tidak singgah ke kawasan monumen penting, tak sempurna rasanya perjalanan.

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Wikipedia

11. Istana Nurul Iman

Sudah sampai ke Brunei, pastinya tempat pertama yang tak sabar untuk anda lihat adalah istana gah ini yang dinamakan Istana Nurul Iman. Bukanlah istana yang biasa, Istana Nurul Iman ini tersenarai di dalam Guinness Book of Records sebagai istana kediaman raja yang terbesar di dunia.

Terletak berdekatan dengan Sungai Brunei, istana yang berkubah emas ini dapat dilihat dengan jelas dari Taman Persiaran Damuan. Anda juga dapat melihat kemegahan istana ini dengan menaiki bot menyelusuri Sungai Brunei. Rekaan dalaman istana ini pula telah dihasilkan oleh Khuan Chew yang juga terlibat dalam pembinaan Burj Al Arab di Dubai.

tempat menarik di brunei

Sumber Gambar: Youtube

Itulah dia 11 tempat menarik di Brunei yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Menarik kan? Apa lagi, jom kita ke brunei.

Artikel Tempat Menarik Lain

Anda suka tempat menarik di Brunei yang dikongsikan? Ada tempat cadangan lain patut kami kongsikan? Selain tempat di atas, kami juga ada menulis tempat menarik yang lain. Jemput baca. Jangan lupa share dan like artikel ini ya.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.