Sudah 61 tahun Malaysia merdeka. Catatan sejarah negara kita tak kurang hebatnya. Sudahkah anda melawat semua tempat bersejarah di negara kita? Jom kami senaraikan 15 tempat bersejarah di Malaysia yang wajib masuk dalam wishlist percutian anda.

1. Bukit Kepong

Peristiwa Bukit Kepong adalah kejadian dimana pengganas komunis telah menyerang Balai Polis Bukit Kepong. Pertempuran yang berlaku sekitar jam 5:00 pagi ini telah mengorbankan 25 anggota polis dan orang awam. Semasa kejadian tersebut terdapat 15 anggota polis Melayu dan Konstable Polis marin yang diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd Shah.

Pasukan ini diperkuatkan dengan 3 konstabal khas dan 4 polis campuran. Seramai 13 isteri dan anak-anak anggota polis pula tinggal di berek kelamin di belakang balai.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Berteromber

2. Kompleks Sejarah Pasir Salak

Terletak kira-kira 70km dari Ipoh, Kompleks Sejarah Pasir Salak memberi penghormatan kepada pahlawan-pahlawan seperti Dato’ Sagor dan Dato’ Maharaja Lela. Terdapat memorial yang didirikan untuk menghargai pengorbanan mereka, dalam bentuk sundang (pedang), satu replika berbentuk pisau yang digunakan dalam pembunuhan Mr. Birch.

Kompleks ini memberi penghormatan kepada pahlawan seperti Dato’ Sagor dan Dato’ Maharaja Lela, yang mengetuai penduduk tempatan menentang kuasa pentadbiran penjajah British.

Ia merupakan tempat di mana api semangat kebangsaan Melayu mula bertiup. Setelah Residen British Perak, J.W.W. Birch dibunuh di tebing Sungai Perak, ketegangan antara pentadbiran penjajah British dan orang Melayu meningkat.

Ia menjadi bertambah buruk sehingga menjadi konflik terbuka yang akhirnya membawa kepada pengisytiharan kemerdekaan negara. Tarikan lain di kompleks itu adalah Monumen J.W.W. Birch, kubur Sipuntum (didakwa sebagai pembunuh), kubu Datuk Maharaja Lela, meriam Lela Rentaka yang digunakan dalam penentangan terhadap tentera penjajah British, dan dua Rumah Kutai (rumah tradisi Perak) dipenuhi dengan artifak sejarah dan budaya tempatan.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Penyair

3. Kota A Famosa

A Famosa merupakan kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar A Famosa.

Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.

Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.

Kota A Famosa yang disiapkan mempunyai empat menara, atau ketelom (bastion), dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Lima

4. Kellie’s Castle

Walaupun telah berusia 107 tahun, istana lama yang mula dibina pada tahun 1905  ini terus kukuh berdiri di puncak bukit, malah keadaan fizikalnya makin bertambah baik hasil aktiviti konservasi yang telah dilakukan keatasnya. Jika mahu disingkap sejarah pembinaanya, ramai yang menyatakan Istana Kellie itu ibarat Taj Mahal Malaysia.

Istana Kellie dikatakan dibina sebagai manifestasi cinta seorang suami kepada isterinya. Jika Taj Mahal dibina sebagai lambang cinta Shah Jehan kepada Mumtaz Mahal, Istana Kellie pula dibina atas rasa kasih dan sayang William Kellie Smith kepada isteri beliau, Agnes.

William Kellie Smith dikatakan bertemu jodoh dengan Agnes sewaktu berada diatas kapal dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang. Sebenarnya William Kellie Smith bukan sahaja telah membina sebuah istana buat isterinya, tetapi beliau turut memindahkan beberapa hartanah miliknya atas nama Agnes.

Kedudukan sosial keluarga William Kellie Smith pada ketika itu dikatakan sangat tinggi, malah mereka dikatakan dikalangan 10 keluarga elit di daerah Kinta yang menguasai perusahaan ladang getah dan pelombongan bijih timah.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Pimkysweatsyheart

5. Istana Seri Menanti

Istana ini penuh dengan keunikan dan keindahan yang juga digelar ikon keluarga Diraja Negeri Sembilan. Istana ini masih kukuh tersergam menyaksikan arus pembangunan dan memendam segala rahsia silam.

Walaupun pembangunan pusat berlaku, tetapi ianya tetap dengan keaslian bentuknya sebagai sebuah istana yang menjadi lambang kebudayaan Melayu yang indah dan mempesonakan.

Seri Menanti dikatakan mendapat nama daripada tiga batang padi yang tumbuh di kawasan itu yang dinamakan Padi Menanti atau ‘semangat padi yang menanti’. Dalam bahasa Jawa, padi bererti `Seri’, lalu ia diubah nama kepada Seri Menanti.  Di kawasan tiga batang padi ini juga dikatakan Istana Seri Menanti didirikan.

Istana setinggi empat tingkat ini pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato’ Panglima Sultan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Public Works Department  Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Ujangchengkau

6. Candi Lembah Bujang

Penemuan artifak bersejarah membuktikan Lembah Bujang merupakan pelabuhan antarabangsa dan pusat perdagangan terkenal menerima kedatangan pedagang China, Arab, India dan Kepulauan Melayu.

Antara yang diperdagangkan termasuklah rempah-ratus, seramik dan manik kaca sehingga menjadikan ia sebagai pusat perdagangan Asia Tenggara terkenal pada kurun kedua hingga kurun ke-14 Masihi.

Pengumpul sejarah lisan, Rosini Hashim berkata, artifak yang ada di Muzium Arkeologi Lembah Bujang hasil ekskavasi di kawasan seluas kira-kira 450 kilometer persegi bermula dari Kota Sarang Semut sehinggalah ke Kota Aur, Seberang Prai Utara merupakan sejarah bernilai yang perlu dihargai.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Says

7. Kompleks Arkeologi Sungai Batu

Kompleks Arkeologi Sungai Batu telah diisytiharkan sebagai tamadun terawal dan tertua di rantau Asia Tenggara. Tapak yang terletak di Lembah Bujang dekat mukim Merbok, Kuala Muda, Kedah ini dilaporkan berusia lebih 2,000 tahun.

Lima pakar arkeologi yang mewakili 5 tamadun utama dunia iaitu Mesopotamia, Indus, Mesoamerica, China dan Greek-Rom mengesahkan tapak arkeologi itu jauh lebih tua daripada Angkor Wat di Siem Reap di Kemboja yang dibina pada kurun ke-12, berusia 900 tahun dan Candi Borobudur di Yogyakarta, Indonesia kurun ke-9 iaitu 1,200 tahun.

Sejak penemuan tapak arkeologi itu lebih 10 tahun lalu, pelbagai pihak beranggapan khazanah negara itu mempunyai potensi pelancongan yang cukup besar.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Themalaysiantimes

8. Fort Cornwallis

Fort Cornwallis diberi nama sempena nama Gabenor- Jeneral Bengal dalam akhir kurun ke 1700, Charles Cornwallis. Ia menjadi salah satu mercu tanda bersejarah di Georgetown. Fort Cornwallis terletak berhampiran Esplanade, bersebelahan dengan Jam Memorial Victoria.

Dinding kubu setinggi lebih kurang 10 kaki ini dibina dalam bentuk bintang. Perjalanan mengelilingi kubu ini mengambil masa 10 minit.

Di dalam kubu ini, anda boleh melihat tinggalan struktur lama yang dibina berkurun lalu seperti sebuah gereja kecil, penjara, kawasan penyimpanan senjata, lampu rumah api yang pernah diguna untuk memberi amaran kepada kapal, tiang bendera asal dan beberapa meriam gangsa lama yang mana salah sebuah daripadanya meriam Belanda, dikenali sebagai Seri Rambai, bertarikh 1603.

Sesuatu yang menarik berkenaan meriam Seri Rambai, sesetengah penduduk tempatan percaya ia boleh memberi kesan positif terhadap kesuburan wanita.

Tapak bersejarah yang diuruskan secara persendirian ini popular di kalangan pengunjung. Ia dilengkapi dengan kiosk informasi pelancong, sebuah kafe, dewan terbuka, galeri sejarah, pusat cenderamata serta jurupandu yang boleh membawa anda melawati kawasan kubu sambil memberi penerangan tentang sejarahnya.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Holidaygogogo

9. Kota Belanda, Pulau Pangkor

Kota yang dikenali sebagai Kota Belanda ini asalnya dibina oleh Belanda pada tahun 1670 sebagai gedung untuk menyimpan bijih timah yang diperolehi dari Negeri Perak.  Kota ini terletak di sebuah teluk di Pulau Pangkor yang dikenali sebagai Kampung Teluk Gedung iaitu sebuah perkampungan nelayan pada masa itu.

Pembinaan Kota ini oleh Belanda mempunyai perkaitan rapat dengan tujuan kedatangan orang-orang Belanda ke Tanah Melayu pada permulaan abad Ke-17 Masihi.

Pihak Belanda yang membuat hubungan baik dengan Perak telah berjaya dalam urusan perdagangan bijih timah.  Syarikat Hindia Timur Belanda berjaya mendapat kuasa monopoli ke atas perdagangan bijih timah di Negeri Perak.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Tripodadvisor

10. The Stadthuys

Bangunan Stadhuys (“dewan perbandaran” dalam bahasa Belanda) ialah sebuah binaan bersejarah yang terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.

Bangunan Stadthuys adalah salah sebuah bangunan tertua yang telah dibina oleh Pemerintah Belanda di Melaka. Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang pendidikan.

Pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Melacca Free School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys. Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh Inggeris. Bagaimanapun kebanyakan pelajar di sekolah itu terdiri daripada anak-anak golongan Cina yang kaya.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Orangmelaka

11. Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan terletak di Bandar Melaka dan berhampiran dengan kesan-kesan sejarah yang lain seperti A Famosa dan replika Istana Kesultanan Melaka. Ianya merupakan sebuah bangunan lama yang telah diubahsuai, kini dengan megahnya berdiri menghadap Padang Pahlawan, yang pernah mencatat sejarah kemenangan sebuah perjuangan.

Bangunan ini dibina pada tahun 1911. Sebelum itu bangunan ini dikenali sebagai Kelab Melaka. Bangunan ini juga digunakan untuk kegiatan sosial oleh golongan atasan dan pegawai-pegawai kerajaan pada zaman penjajahan Inggeris. Bersempena dengan sambutan kemerdekaan ke 28, pada 31 Ogos 1985, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan Negara.

Penubuhan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan bersesuaian pada masa dan tempatnya sebagai memperingati detik-detik perjuangan ke arah mencapai kemerdekaan, tambahan pula kedudukannya yang dikelilingi oleh tinggalan dan kesan-kesan sejarah tanah air yang penting.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Kiwidutch

12. Rumah Kelahiran Tun Mahathir Mohamad

Di Rumah Kelahiran Tun Mahathir Mohamad, anda berpeluang melihat sejarah hidup Perdana Menteri Malaysia kita dari zaman persekolahan beliau sehingga berjaya menjadi menjadi seorang doktor. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan di Alor Setar pada 20 Disember, 1925 di No. 18 Lorong Kilang Ais, Jalan Pegawai.

Sebuah rumah papan biasa dengan bumbung yang dibuat daripada daun nipah, rumah satu bilik ini telah diisytiharkan sebagai bangunan bersejarah dan telah dipulihara oleh Arkib Negara pada tahun 1992. Masuk adalah percuma untuk semua pelawat.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Tripodzadvisor

13. Kubu Margherita

Kubu Margherita dibina pada 1878 dan siap pada tahun 1879 dengan kos 8,100 Dolar Spanish. Ia terletak di atas tebing Sungai Sarawak mengadap Pekan Kuching berhampiran kediaman Brooks. Tempat ini dikelilingi oleh Kampung Melayu.

Kubu ini dinamakan ‘Fort Margherita’ bersempena nama isteri Charles Brook, Rajah kedua Sarawak iaitu Ranee Margaret. Dengan kedudukan yang strategik di atas bukit mengadap lencongan Sungai Sarawak, kubu ini berperanan sebagai tempat pertahanan utama Rajah Brooke yang menghadapi tentangan berterusan dari penduduk pribumi.

Pada tahun 1932, kubu ini pernah dijadikan sebagai pusat Renjer Sarawak. Pada asalnya iaitu sebelum tahun 1934 hanya terdapat bilik tahanan tetapi telah ditambah menjadi kubu. Kubu ini juga pernah dijadikan sebagai pengkalan bagi tentera Jepun pada tahun 1941.

Oleh kerana bangunan ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi, pada tahun 1971 kubu ini telah disenaraikan sebagai Bangunan Bersejarah Sarawak di bawah Antiquities Ordinance (Ordinan Warisan Bandaraya Sarawak, 1993).

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Ilovekch

14. Agnes Keith House

Rumah yang turut dipanggil dengan nama Newlands itu pernah didiami oleh seorang penulis kelahiran Amerika Syarikat, Agnes Keith pada 1939 yang terkenal dengan buku Land Below The Wind atau Negeri Di bawah Bayu.

Karya mendiang itu telah memasyhurkan Sabah sehingga ke hari ini yang mana bukunya itu menceritakan secara jelas mengenai kehidupan masyarakat tempatan pribumi Sabah dan keindahan alam semulajadinya semasa pemerintahan British pada masa itu.

Selepas itu, Agnes menulis dua buku lagi yang bertajuk Three Came Home pada 1946 dan White Man Returns pada 1951.

Buku-buku itu ditulis di ruang bilik bacaan rumah tersebut yang terletak di atas bukit pusat bandar yang daripadanya boleh dilihat terus keindahan Teluk Sandakan dan Laut Sulu.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Malaysiaairlines

15. Muzium Perang Pulau Pinang

Muzium Perang Pulau Pinang terletak di atas Bukit Maung. Ia dibina untuk memperingati kompleks pertahanan asal yang dibina oleh British sebelum Perang Dunia II dimana ia menjadi kubu pertahanan semasa perang.

Hari ini, ia menjadi kompleks sejarah yang mempamerkan  kelengkapan  perang dan menunjukkan garis masa sejarah. Muzium perang ini ialah dedikasi kepada mereka yang pernah berkhidmat dan terkorban, mempertahankan negara.

Jika anda ke sini, kami cadangkan supaya berpakaian cerah dan selesa, pakaian tidak tebal, pakai kasut yang selesa, pakai topi berwarna malap, bawa teropong, semburan penghalau serangga, buku nota dan pen.

Tempat bersejarah di malaysia

Sumber: Malaysiatravel

Itulah dia 15 tempat bersejarah di Malaysia yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Menarik kan? Jom cuti-cuti Malaysia.

Artikel Tempat Menarik Lain

Kami harap anda sukakan senarai tempat bersejarah di Malaysia. Jemput baca dan jangan lupa share untuk panduan masa hadapan.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.