Ayuh baca dan hayati bersama tazkirah  sentap ini.

 

Kepentingan Solat Fardhu

Dosa yang paling besar, yang paling banyak dan sering dilakukan manusia pada hari ini dan hampir ada dalam setiap rumah ialah dosa meninggalkan solat.

Nabi Muhammad SAW bersabda, ‘pemisah antara Islam dan kufur adalah meninggalkan solat’.

Sebab seorang manusia itu apabila tidak sembahyang, buatlah 1,000 kali umrah, membaca al-Quran sehari 30 juzuk, bersedekahlah sebulan RM50,000 pun, nescaya semua ibadat tersebut tidak diterima dan ditolak mentah-mentah oleh Allah SWT.

Tuan tuan, apa kunci Allah terima semua jenis ibadah?

“SOLAT.”

-Al Fadhil Ustaz Wadi Annuar Ayub

 

“Orang yang jaga solat 5 waktu (on time), automatik jadual kehidupan mereka tersusun.

Bukan dia yang susun jadual keseluruhannya untuk jadi begitu, tapi asbab penjagaan solatnya maka Allah membuka jalan kemudahan dalam melengkapkan kerja-kerja  seharian.

Nak jadual seharian tersusun cantik, jagalah kelima-lima waktu solat dengan baik.

Insya-Allah, ini tips mujarab bagi pengamalnya.”

-Ustaz Imran Hakimi

 

Cara Mengawal Amarah

“ Bagaimana untuk mengawal perasaan marah ?

Kalau rasa nak marah, cepat-cepatlah istighfar takut nanti syaitan akan menguasai diri.

Kalau rasa nak marah jugak? Teruslah beredar dari tempat tersebut.

Nabi Muhammad SAW, apabila tahap Baginda terlalu marah, Baginda terus meninggalkan tempat tersebut, tanda Baginda tersangatlah marah sehingga tak berkata apa-apa.

Duduk atau berbaring, namun sebahagian ulama pula menyatakan ambil wuduk untuk mengawal diri daripada tidak mencarut atau mengeluarkan kata-kata kesat.”

-Ustaz Mustafar Mohd Suki

 

Amalan Untuk Selesa di Kubur

Amalkan tiga perkara ni:

  1. Baca al-Quran sebelum subuh

Saat kita meninggalkan dunia yang fana ni, malaikat Munkar dan Nakir akan datang kepada kita. Lalu malaikat halau semua amalan yang kita pernah amalkan kecuali al-Quran yang dibaca sebelum subuh. Al-Quran akan jadi peguambela dan menjawab semua pertanyaan dari malaikat.

  1. Amalkan surah al-Mulk setiap malam

Lebih baik kalau dapat hafal. Kalau di dunia siapa yang baca surah al-Mulk, rezeki akan bertambah. Dalam kubur pula dikhabarkan sahabat, mereka terdengar orang baca surah al-Mulk di tanah lapang, rupanya itu suara al-Quran dalam kubur yang menemani si pembaca di dalamnya.

  1. Bangun solat tahajud walau dua rakaat

Keadaan kubur akan menghijau dan luas asbab kita amalkan solat sunat tahajud. Walaupun di dunia pun kalau kita amalkan solat tahajud, urusan kita dipermudahkan dan terasa lapang.

– Ustaz Ahmad Dusuki

15 Maksiat yang Menimpakan Bala

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

  1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
  2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
  3. Zakat dijadikan hutang.
  4. Suami memperturutkan kehendak isteri.
  5. Anak derhaka terhadap ibunya.
  6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.
  7. Suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
  8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
  9. Ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
  10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
  11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
  12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).
  13. Para artis disanjung.
  14. Muzik banyak dimainkan.
  15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan diubah menjadi makhluk lain.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

 

Empat Ketenangan Hidup

  1. Aku yakin bahawa rezekiku tidak tertukar, kerana itu hatiku tenang.
  2. Aku yakin amalanku tidak mungkin digantikan oleh yang lain, kerana itu aku semangat beribadah.
  3. Aku yakin bahawa Allah mengawasiku, kerana itu aku malu bermaksiat.
  4. Aku yakin bahawa mati selalu mendekatiku, kerana itu aku selalu bersedia.

-Hasan Al-Basri

Teka-teki Imam Al-Ghazali

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (teka-teki) :

Imam Al-Ghazali : Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?

Murid 1 : Orang tua

Murid 2 : Guru

Murid 3 :  Teman

Murid 4 : Kaum kerabat

Imam Ghazali : Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah mati. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Ali-Imran :185).

 

Imam Al-Ghazali : Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini?

Murid 1 : Negeri China

Murid 2 : Bulan

Murid 3 : Matahari

Murid 4 : Bintang-bintang

Iman Al-Ghazali : Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling benar adalah masa lalu. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

 

Iman Al-Ghazali : Apa yang paling besar di dunia ini ?

Murid 1 : Gunung

Murid 2 : Matahari

Murid 3 : Bumi

Imam Al-Ghazali : Semua jawapan itu benar, tapi yang besar sekali adalah hawa nafsu (al-A’raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.

 

Imam Al-Ghazali: Apakah yang paling berat di dunia?

Murid 1 : Baja

Murid 2 : Besi

Murid 3 : Gajah

Imam Al-Ghazali : Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah amanah (al-Azab : 72) Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

 

Imam Al-Ghazali : Apa yang paling ringan di dunia ini?

Murid 1 : Kapas

Murid 2 : Angin

Murid 3 : Debu

Murid 4 :Daun-daun

Imam Al-Ghazali : Semua jawapan kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat.

 

Imam Al-Ghazali : Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?

Murid-muridnya dengan serentak menjawab : Pedang

Imam Al-Ghazali : Itu benar, tapi yang paling tajam sekali di dunia ini adalah lidah manusia. kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

 

Jemput membaca artikel menarik lain. Anda mungkin menyukai Rezeki Allah dan Akhlak Rasulullah Sebagai Teladan

 

Rujukan:

Facebook Jentik Hati

 

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.