Tasik Pedu merupakan sebuah tempat rekreasi yang kaya dengan khazanah alam. Pasti ramai yang tidak mengetahui salah satu tempat menarik yang terletak di Kedah ini.

Boleh dikatakan sebagai hidden gem atau permata tersembunyi di Kedah, disebalik tempat tersembunyi ini terdapat sejarah dan fakta menarik berkaitan Tasik Pedu. Banyak juga aktiviti menarik di Tasik Pedu untuk membangunkan kembali tempat ini sebagai lokasi percutian menarik di Kedah.

Nak tahu sejarah, fakta dan aktiviti menarik di sini? Jom kita teroka Tasik Pedu sebelum merancang untuk datang ke sini agar tidak menghampakan ekspetasi anda!

Fakta

Tasik Pedu sebenarnya adalah sebuah tasik buatan manusia yang terletak di Padang Terap, Kedah yang telah mula dibina pada tahun 1966. Merupakan tasik buatan terbesar di Kedah, pembuatan tasik ini siap sepenuhnya pada tahun 1969 iaitu mengambil masa hampir tiga tahun.

Untuk pengetahuan anda, pembinaan tasik ini merupakan sebahagian projek Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970). Terletak 50km dari Kuala Nerang, William Halcrow merupakan firma perunding dari England yang membuat rekabentuk dan membina empangan di tasik ini.

Pada mulanya, Tasik Pedu  digunakan sebagai empangan untuk penanaman padi bagi negeri Kedah dan Perlis. Setelah itu, ia dijadikan tasik yang merupakan salah satu perancangan untuk memajukan ekonomi Kedah dan pusat pelancongan tersohor di negeri ini. Namun projek ini mampu bertahan kurang daripada 15 tahun sahaja sejak ia dibina.

Keluasan tasik ini mencecah 52 km persegi. Kedalaman tasik pula mencecah 60 meter. Pembinaan tasik dan empangan ini telah dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang merupakan perdana menteri Malaysia pertama pada ketika itu.

Berada 5 KM dari sempadan Malaysia dan Thailand, sayang seribu kali sayang kerana hotel dan resort berdekatan tasik ini yang bertaraf antarabangsa dengan keluasan dan kemudahan yang banyak telah ditutup. Apa yang menyedihkan lagi adalah bangunan-bangunan tersebut dibiarkan hingga dipenuhi semak-samun.

Aktiviti Menarik

Walaupun Tasik Pedu mengalami kegagalan sebagai pusat pelancongan terunggul di Kedah, namun masih ada tempat dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini. Secara tidak langsung, aktiviti-aktiviti dapat memajukan ekonomi penduduk setempat dan terus memeriahkan lagi Tasik Pedu agar tidak terus di biar sepi begitu saja.

Tasik Pedu kaya dengan flora dan fauna. Oleh itu, aktiviti yang terdapat di sekitar tasik semestinya aktiviti berkaitan alam. Buat pecinta alam, ini adalah aktiviti menarik yang boleh anda lakukan di Tasik Pedu:

Menikmati alam semula jadi

Imej via [ Seri Mahawangsa Boat House ]

Aktivit utama semestinya menikmati keindahan alam semula jadi. Sambil melihat pelbagai khazanah alam, pasti hati rasa tenang dan nyaman. Melihat bukit-bukau kehijauan dan  tasik luas terbentang yang kehijauan pasti memberikan satu pengalaman unik. Jangan lupa ootd untuk dijadikan kenangan.

Pengunjung boleh berehat di pondok atau bawa tikar dari rumah dan hamparkan di persisiran tasik. Jangan lupa bawa makanan dan berkelah sambil melihat keindahan Tasik Pedu. Pasti berselera apabila makan di tempat yang tenang.

Di sini, anda juga boleh menikmati persekitaran Tasik Pedu di rumah pokok. Bukan senang nak jumpa rumah pokok di Malaysia. Alang-alang ke Tasik Pedu, bawa keluarga berehat di rumah pokok sambil menikmati persekitaran dengan jarak yang tinggi.

Kawasan yang terletak jauh dari kesibukan kota sememangnya memberikan ketenangan lebih-lebih lagi hanya suara alam yang kedengaran. Sesuai untuk mereka yang mencari ketenangan.

Menaiki bot ke Pulau Pedu

Tak sah jika ke Tasik Pedu tetapi tidak meneroka khazanah alam dengan menaiki bot unik di sini. Bukan seperti bot biasa, bot ini lebih luas dan selesa.

Jika anda menaiki bot yang membawa anda meneroka sekitar tasik, anda dapat melihat pelbagai jenis haiwan liar seperti gajah, kijang, rusa dan lain-lain dengan jarak yang lebih dekat tetapi selamat.  Kawanan pelbagai jenis burung yang berterbangan sambil berkicauan juga mengindahkan lagi suasana sekeliling.

Bukan itu sahaja, pengunjung dapat melihat pelbagai jenis tumbuhan dan ada beberapa tumbuhan yang tidak boleh dijumpai di tempat lain seperti pokok tualang. Jika ada yang tak tahu, pokok tualang merupakan tempat persinggahan lebah. Tak hairanlah, madu tualang sangat terkenal dengan kualitinya yang terbaik.

Memancing

Tahukah anda, Tasik Pedu adalah salah satu lokasi memancing paling digemari oleh kaki pancing dari pelbagai latar negeri. Nak memancing ikan air tawar? Ini tempat yang sesuai buat anda!

Lebih menarik, banyak bot yang boleh kaki pancing sewakan dengan harga yang berbaloi. Dengar cerita, tasik ini kaya dengan pelbagai jenis ikan air tawar yang besar termasuklah sebarau, tioman, baung dan sebagainya.

Tak cukup dengan itu, ramai pemancing yang melakukan aktiviti barbeku setelah naik ke darat dengan ikan segar yang diperolehnya. Hilang segala penat dapat makan hasil tangkapan dengan beramai-ramai.

Menginap di rumah bot

Imej via [ Seri Mahawangsa Boat House ]

Sebut saja tentang rumah bot pasti ramai yang terbayang Tasik Kenyir atau Tasik Banding. Ramai yang masih belum mengetahui bahawa Tasik Pedu juga mempunyai penginapan atas air yang menyeronokkan iaitu Seri Mahawangsa Boat House.

Penginapan di dalam rumah bot terapung ini boleh memuatkan hingga 70 pax. Nak menginap dengan kelompok yang kecil juga boleh iaitu serendah 10 orang. Pakej termasuk penginapan, alatan memasak, aktiviti, alatan audio dan barbeku mini.

Bukan itu sahaja, Seri Mahawangsa Boat House juga menawarkan perkhidmatan lain di Tasik Pedu seperti berkhemah, meneroka tasik, berkelah, team building, memancing, makan tengah hari dan lain-lain dengan kadar tertentu.

Jika menginap di sini, pengunjung boleh bermandi-manda, berkayak dan menyertai aktiviti air yang lain. Namun segala peralatan haruslah dibawa sendiri.

Pecinta alam pasti suka berada di persekitaran Tasik Pedu. Penuh privasi, nyaman dan tenang kerana jauh dari kesibukan kota. Selain itu, ianya sesuai untuk percutian keluarga sekali gus dapat mendedahkan anak-anak terhadap alam semula jadi.

Jika anda ke Kedah, jangan lupa singgah ke Tasik Pedu! Pasti nak datang lagi. Back to nature!

Mencari tempat menarik di Kedah? Ini antara tempat yang perlu anda pergi jika ke negeri jelapang padi:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.