Jom baca artikel tanda-tanda kencing manis ini.Perlu tahu sebelum ianya menjadi bubur.

“Sedapnya kek Nutella ni. Coklat Ritter Sport ni pun sedap juga. Aiskrim pun ada banyak pilihan yang sedap-sedap. Wah, macam-macam pilihan! Rambang mata dibuatnya.”

Tanyalah sesiapapun, makanan yang manis-manis pasti menjadi pilihan. Jika makan di luar, seakan-akan tidak lengkap tanpa mengambil vanilla latte, sepotong kek coklat dan kuih-muih. Lebih seronok, sebelum makan ambil gambar dulu dan paparkan di Facebook atau Instagram.

Ini merupakan gaya hidup kebanyakan masyarakat di dunia. Dengan kewujudan pelbagai minuman dan pencuci mulut yang viral dalam masa yang singkat, semua berlumba-lumba ingin mencubanya. Namun, tahukah anda jumlah gula di dalamnya? Adakah anda berasa ia selamat dimakan? Sebenarnya anda bukan berlumba-lumba untuk tunjuk anda mengikut peredaran zaman, tetapi ‘memanggil’ penyakit untuk mendekati.

Lazimnya, pencuci mulut dibuat menggunakan kandungan bahan lemak, karbohidrat dan gula yang tinggi. Itulah sebabnya anda terus mencubanya tanpa rasa bersalah. Ini kerana anda sudah ketagihan gula. Ketagihan ini akan menyebabkan anda mendapat penyakit kencing manis.

Mungkin anda pun tidak sedar yang anda ialah seorang pesakit kencing manis. Statistik menunjukkan negara kita antara yang tertinggi merekodkan jumlah pesakit kencing manis di Asia Tenggara. Malaysia kini menduduki tempat ke-10 di dunia.

Apa Itu Kencing Manis?

Ia juga dikenali sebagai diebetes mellitus iaitu sejenis penyakit kronik berkaitan metabolik yang akan menyebabkan paras gula menjadi tinggi dalam darah. Walaupun gula penting bagi kesihatan kerana berfungsi membangunkan otot dan tisu serta penting untuk otak.

Dengan bantuan hormon insulin, gula dalam darah akan bergerak ke dalam sel-sel untuk disimpan. Ia juga digunakan dan ditukarkan sebagai tenaga. Bagi pesakit kencing manis, badan mereka tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup atau tidak dapat menggunakannya secara total.

Jika tidak mendapatkan rawatan dengan segera, kadar gula yang tinggi boleh merosakkan sistem saraf, buah pinggang, mata dan organ-organ yang lain.

Oleh itu, khas bagi pembaca bidadari.my, artikel ini akan berkongsi tentang tanda-tanda kencing manis. Orang kata, lebih baik beringat sebelum terkena. Kita perlu mengambil langkah mencegah sejak awal lagi. Jika sudah terkena penyakit ini, tiada ubat untuk menyembuhkannya.

Tanda-Tanda Umum Kencing Manis (Peringkat Awal)

Sebenarnya, tanda-tanda kencing manis bergantung pada kadar gula dalam darah. Ada sesetengah individu yang mendapat pradiabetes (diabetes jenis 2), kemungkinan tidak akan menunjukkan simptom-simptom yang ketara.

Diabetes jenis 2 berlaku apabila tubuh badan tidak mampu bertindak balas dengan insulin. Akibatnya gula akan terkumpul di dalam darah. Manakala, bagi pesakit diabetes jenis 1, tanda-tanda dapat dilihat dengan lebih cepat dan menjadi lebih teruk.

Berikut ialah tanda-tanda kencing manis umum bagi pesakit diabetes jenis 1 dan jenis 2, iaitu:

  • Luka lambat sembuh
  • Sering berasa dahaga
  • Sering berasa lapar
  • Penglihatan mula menjadi kabur
  • Kerap membuang air kecil
  • Nafsu seks menjadi lemah
  • Badan susut secara tiba-tiba
  • Mudah letih
  • Fungsi ereksi yang lemah
  • Kerap mendapat jangkitan pada bahagian gusi, kemaluan dan kulit.
  • Kewujudan keton dalam air kencing (keton ialah sisa produk daripada otot dan lemak yang terkumpul akibat kekurangan insulin)
  • Kekuatan otot semakin berkurangan

Jangan ingat apabila kita tiada apa-apa simptom yang ketara menunjukkan kita benar-benar sihat. Kandungan gula dalam darah boleh meningkat tanpa menunjukkan sebarang simptom yang ketara.

Walaupun kadar peningkatan gula darah tidak terlalu tinggi, namun ia masih boleh merosakkan sistem saraf, mata dan buah pinggang. Namun begitu, semakin tinggi kadar gula kadar kerosakan yang lebih teruk boleh berlaku jika tidak menerima rawatan dengan segera.

Oleh itu, berhati-hati apabila anda mendapati tanda-tanda ini berlaku kepada diri anda. Antaranya ialah:

Kerap membuang air kecil

Terlalu kerap ke tandas pada waktu malam merupakan tanda bahawa kandungan gula dalam darah adalah terlalu tinggi.

Kerap dijangkiti infeksi air kencing

Apabila kandungan gula semakin tinggi, buah pinggang tidak dapat memproses dengan betul. Ini menyebabkan terhasilnya glukosa dalam air kencing.

Gula yang berada di bahagian lembap di sekitar kemaluan menyebabkan bakteria membiak dan menyebabkan infeksi. Masalah ini mudah berlaku bagi golongan wanita.

Badan susut dengan ketara

Tanpa menjaga pemakanan dan mengamalkan senaman yang konsisten, tiba-tiba badan anda menjadi susut. Ini adalah tanda-tanda yang perlu anda waspada. Pesakit kencing manis tidak dapat menggunakan gula dengan berkesan sebagai tenaga.

Akibatnya, tubuh akan mula membakar lemak yang tersimpan. Ini menyebabkan penurunan berat badan yang amat ketara.

Mengalami perubahan warna kulit

Perubahan pada warna kulit merupakan tanda awal adanya kencing manis. Perubahan ini sangat ketara kerana kulit akan menjadi agak gelap kehitaman terutamnya di bahagian ketiak dan leher.

Penglihatan kabur

Kandungan gula yang tinggi di dalam darah akan mengganggu retina di dalam mata. Lama-kelamaan, ia akan merosakkan penglihatan anda.

Mudah berasa letih dan lemah

Keletihan yang melampau kemungkinan disebabkan oleh penyakit kencing manis. Akibat terlalu kerap kencing, pesakit akan mengalami kekurangan air dalam badan atau dehidrasi. Ia akan menyebabkan gangguan waktu tidur dan merosakkan ginjal.

Kesimpulannya, jika anda mempunyai tanda-tanda yang dinyatakan di atas, segeralah dapatkan rawatan di klinik atau hospital. Jangan memandang remeh perkara ini kerana ia adalah penyakit senyap (silent disease).

Jika anda mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai kencing manis, anda perlu sentiasa berwaspada. Begitu juga dengan orang yang mempunyai masalah berat badan, kolestrol yang tinggi dan mempunyai penyakit hipertensi.

Amalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan kerap bersenam. Amalkan pemakanan seimbang dan berkhasiat. Elakkan makanan yang bergula, banyak garam, berminyak dan berkanji. Semoga bermanfaat. Jemput juga baca artikel:

Rujukan

https://hellodoktor.com/ms/gaya-hidup-sihat/tips-kesihatan/tanda-kencing-manis/

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.