Kitaran haid atau menstruasi yang lambat adalah apabila seseorang itu hamil atau disebabkan beberapa punca lain. Ayuh ketahui punca haid lambat untuk pengetahuan bersama tak kiralah anda pembaca wanita mahupun lelaki.

Pengenalan

Sebuah kitaran haid yang normal ialah sekali dengan tempoh 3 – 7 hari pada setiap 28 hingga 35 hari. Seseorang itu dianggap mengalami haid lambat jika tidak berlaku kitaran haid 5 hari selepas tempoh waktu yang sepatutnya.

Kedatangan haid yang lambat ini boleh merunsingkan terutamanya bagi mereka yang sedang melakukan perancangan keluarga daripada menambah bilangan anak. Selain itu, jika sebelum ini kitaran haid mereka normal, kelewatan kitaran haid boleh menyebabkan mereka runsing memikirkan punca haid lambat.

Di samping itu, bagi mereka yang sedang cuba mendapatkan anak, TTC (try to conceive), haid lambat seolah memberi harapan 50:50 bagi mereka.

Oleh itu, punca haid lambat perlulah diketahui dan diambil tahu oleh semua pihak.

Imej via Bidadari

Punca Haid Lambat

Berikut merupakan antara punca haid lambat yang dikongsikan oleh doktor perubatan, Dr. Wendy Goodall McDonald dalam artikel keibubapaan Parent.com

1. Penggunaan Pil Perancang Keluarga

Ramai yang beranggapan bahawa dengan pengambilan pil perancang, maka kitaran haid akan jadi normal kerana tiada persenyawaan telur ovum yang berlaku.

Namun, hakikatnya pil perancang mempunyai kesan sampingan melambatkan masa antara kitar menstruasi lebih lambat daripada kebiasaan 28 hari.

Sebilangan besar pengguna pil perancang dengan nama generik seperti Seasonique, Quartette dan Seasonale kerap berhadapan dengan masalah haid lambat.

Penggunaan ubatan ini menyebabkan dinding rahim menjadi stabil. Jadi, pengeluaran darah haid daripada endometrium akan menjadi lambat.

Pengambilan secara rutin melebihi 21 hari akan menstabilkan lagi dinding rahim, seterusnya melambatkan proses kitaran haid yang seterusnya.

2. Penggunaan Alat Pencegahan Kehamilan Wanita

Walaupun tidak mengandungi hormon atau bahan kimia tambahan yang boleh mengganggu keseimbangan hormon peranakan, alat pencegahan kehamilan yang dipasang pada sistem peranakan wanita boleh menjadi punca haid lambat.

Antara contoh alatan tersebut ialah intrauterine devices (IUDs) dan suntikan Depo-Provera.

Selain lambat datang haid, alatan ini boleh menyebabkan kitaran haid yang tidak teratur juga.

3. Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)

Pada setiap kitaran haid yang normal, setiap ovari akan menghasilkan lebih kurang 5 folikel. Setiap folikel tersebut akan berkembang dan hanya satu yang akan menjadi dominan lalu menghasilkan telur ovum untuk disenyawakan melalui proses ovulasi.

Namun, dalam masalah kesihatan PCOS, wanita yang mengalami masalah ini akan mempunyai lebihan bilangan folikel.

Hal ini akan menyebabkan proses perkembangan dan pematangan telur ovum yang lebih memakan masa dan lama.

Apabila lambat proses ovulasi berlaku, maka lambatlah menstruasi berlaku.

3. Tekanan Perasaan Stres

Imej via Bidadari

Masalah tekanan perasaan berpunca daripada kehidupan sosial dan perhubungan seperti keluarga, kawan-kawan, masyarakat, tempat kerja, hal-hal akademik dan sebagainya.

Tahap tekanan seseorang juga berbeza-beza bergantung kepada persepsi tekanan tersebut.

Hormon kortisol akan dirembeskan oleh otak sebagai petanda badan kita sedang mengalami tekanan atau stres. Kortisol mengganggu penghasilan estrogen untuk mengawal atur kitaran haid.

Selain itu, keadaan emosi yang tertekan akan mempengaruhi kalenjar pituitari yang merupakan “kilang” penghasilan hormon penting.

4. Kehilangan Berat Badan Secara Mendadak

Ironinya, penurunan berat badan yang mendadak akan memberikan kesan punca lambat haid yang lebih tinggi berbanding penambahan berat badan.

Walau bagaimanapun, kenaikan berat badan tidak boleh dipandang ringan sebagai punca haid lambat. Hal ini demikian kerana keadaan BMI yang berlebihan boleh mengundang masalah kesihatan lain seperti PCOS.

Keadaan kehilangan berat badan yang ekstrim atau masalah anoreksia banyak dilaporkan sebagai punca haid lambat.

Nilai BMI bawah 20 yang menggambarkan keadaan berat badan yang sangat menurun, telah mencipta perasaan kebuluran dalam otak. Respon utama tubuh ialah dengan mengurangkan penghasilan hormon lalu menjejaskan sistem, khasnya kitaran haid.

Di samping itu, keadaan ini menyebabkan penghasilan hormon rangsangan folikel (FSH) dan hormon luteinizing (LH)  yang mengawal atur sistem ovari oleh hipothalamus dalam otak menjadi terganggu.

5. Simptom Awal Menopaus

Purata usia seorang wanita mengalami menopaus atau putus haid ialah 51 tahun.

Kitaran haid lambat merupakan antara sindrom awal menopaus yang berlaku dalam kalangan wanita berusia lewat 40 an.

Menurut pakar perubatan, sekiranya anda berusia 45 tahun dan ke bawah, tetapi kitaran haid anda sudah terhenti, anda sebenarnya sedang mengalami pra menopaus atau boleh jadi kegagalan ovari pramatang.

Anda disarankan berjumpa dengan doktor perubatan dengan kadar yang segera.

6. Kanser Pituitari

Kanser atau tumor pada kalenjar pituitari otak boleh menjadi punca haid lambat. Tumor ini akan merembeskan lebihan amaun prolaktin, iaitu sejenis hormon yang sepatutnya dikeluarkan untuk penghasilan susu ibu.

Prolaktin ini akan mempengaruhi kitaran haid dan menyebabkan punca haid lambat.

Antara gejala yang berkaitan dengan kesan tumor ini ialah:

  • Pening kepala
  • Pandangan kabur
  • Kitaran haid tidak teratur
  • Penghasilan susu ibu walaupun tidak menyusukan anak

7. Penyakit Kencing Manis dan Tiroid

Penyakit kencing manis dan thyroid, masing-masing merupakan gangguan keseimbangan dalam kandungan hormon insulin dan tiroid dalam tubuh.

Gangguan keseimbangan hormon ini akan menyebabkan gangguan hormon secara keseluruhan. Hal ini turut menjejaskan kawal atur hormon untuk kitaran haid dan menyebabkan lambat datang haid atau ketiadaan haid untuk satu tempoh yang lama.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, punca haid lambat adalah seperti pengambilan pil perancang, alat pencegahan kehamilan, tekanan hidup, kehilangan berat secara mendadak, simptom awal menopaus, kanser pituitari, penyakit kencing manis dan tiroid.

Perubahan kitar haid sememangnya sesuatu yang merisaukan golongan wanita. Oleh itu, anda disarankan berjumpa dengan pakar perubatan bertauliah untuk terus mendapatkan khidmat nasihat yang dipercayai dan diagnosis segera bagi tindakan susulan yang sewajarnya. Jemput juga baca artikel kitaran haid punca tidak datang haid dan petua melancarkan haid

Rujukan

  1. Parent.com
  2. Wiksten-Almströmer, M., Linden Hirschberg, A., & Hagenfeldt, K. (2007). Menstrual disorders and associated factors among adolescent girls visiting a youth clinic. Acta obstetricia et gynecologica Scandinavica86(1), 65-72. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.