Berminat dengan tanaman cili fertigasi?

Bagi masyarakat Malaysia, cili merupakan antara bahan utama dalam masakan untuk memberi rasa pedas selain menyedapkan masakan. Antara masakan yang menggunakan cili sebagai bahan penting ialah sambal, sambal belacan, masak lemak cili padi, rendang dan sebagainya.

Terdapat pelbagai spesies cili iaitu lada merah dan hijau, cili padi, lada benggala dan banyak lagi. Kandungan capsaicin yang terdapat pada hujung kulit cili memberikan sensasi pedas. Lagi banyak kandungan capsaicin, lagi pedas cili tu.

Disebabkan permintaan yang tinggi, tanaman cili merupakan komoditi pertanian yang memberikan pulangan yang lumayan buat pengusahanya. Namun begitu, tanaman cili secara konvensional agak sukar diusahakan kerana mudah diserang penyakit dan serangga.

Tanaman konvensional ialah tanaman menggunakan batas yang biasa dilakukan oleh para petani. Beberapa aspek perlu dititikberatkan bagi tanaman cili secara konvensional. Antaranya ialah:

  1. Pemilihan tapak
  2. Penyediaan tapak dan batas
  3. Pemilihan dan semaian biji benih
  4. Penjarangan
  5. Menyulam
  6. Naungan
  7. Penjagaan tanaman

Selain berisiko tinggi, tanaman secara konvensional agak ‘cerewet’ dan banyak langkah yang perlu dilakukan sebelum dan selepas penanaman cili. Kini, kemajuan dalam bidang pertanian telah memperkenalkan teknologi fertigasi.

Tanaman secara fertigasi merupakan teknik yang telah terbukti memberi hasil yang lumayan dan berkualiti kepada petani. Ia bukan saja memberi kesan yang baik kepada sayur-sayuran, malahan juga buah-buahan.

Dalam artikel ni, kami akan berkongsi info dan tips kepada para pembaca yang berminat untuk mengusahakan tanaman cili fertigasi. Kalau anda berminat untuk membuat tanaman cili secara komersial atau sekadar hobi saja, artikel ni dapat membantu anda. Jom baca tips tanaman cili fertigasi.

Apa Itu Fertigasi?

Ia merupakan teknologi tanaman yang menggunakan teknik pembajaan (fertilizer) dan pengairan (irrigation) secara serentak. Sistem fertigasi juga dikenali kaedah tanaman alternatif bagi mengelakkan penyakit yang disebabkan oleh tanah (soil borne disease) dan juga berfungsi untuk tingkatkan hasil tanaman.

Tanaman fertigasi dapat mengelak penyakit akar disebabkan oleh serangga kulat seperti rhizoton, fusarium, pythium dan penyakit layu bakteria. Inilah yang sering menyerang tanaman secara konvensional.

Malahan, teknologi ni juga lebih mesra alam berbanding kaedah konvensional. Ia menepati amalan pembangunan pertanian lestari, di samping mematuhi agenda pertanian negara.

Info Tanaman Cili Fertigasi

Bagi sesiapa yang berminat untuk mengusahakan tanaman cili fertigasi, anda perlulah mempunyai pengetahuan sebelum melakukannya. Di bawah ini disenaraikan beberapa langkah penting bagi memastikan hasil tanaman berjaya.

  1. Langkah paling utama dan penting ialah pemilihan dan penyedian tapak fertigasi untuk tanam cili. Pastikan tapak yang dipilih berdekatan sumber air bersih seperti kolam, sungai, air bawah tanah dan sebagainya. Air paip juga boleh digunakan namun perlu dimasukkan sebagai kos utiliti.
  2. Jika anda mempunyai modal yang terhad, anda boleh menanam cili fertigasi secara terbuka tanpa memasang struktur pelindung hujan.
  3. Kualiti air seperti tahap keasidan (pH) perlu dipantau terlebih dulu sebelum digunakan. Nilai pH yang sesuai ialah antara 5.5 dan 6.5 yang boleh ditentukan menggunakan meter pH atau kertas litmus.
  4. Pastikan tapak fertigasi diratakan agar aliran air baja sampai kepada semua pokok. Setiap pokok perlu mendapat nutrien baja yang sama agar dapat mencapai tumbesaran yang seragam.
  5. Selepas tapak fertigasi dibersihkan dan diratakan, pastikan dipasang tikar silvershine atau weed suppresor pada permukaan tanah untuk mengelak ditumbuhi rumpai.
  6. Untuk tanam cili fertigasi, 2 jenis polibeg berbentuk bantal dan tegak digunakan. Polibeg berwarna hitam (jenis bantal) bersaiz 50 sentimeter (sm) dan polibeg  bersaiz 40 sm (jenis tegak) disyorkan. Polibeg hitam lebih berkualiti dan tahan lasak.
  7. Sediakan peralatan sistem fertigasi yang lengkap iaitu tangki air baja (900 gelen), pam air, pengatur masa, penapis, injap dan paip poli. Paip poli dibahagikan kepada paip utama, paip sekunder dan paip lateral serta mikro tiub.
  8. Biji benih cili yang diperoleh disemai di dalam dulang semaian. Untuk menggalakkan percambahan, peat moss digunakan. Hanya 1 biji benih dimasukkan ke dalam tiap lubang dulang (plug). Kemudian, peat moss akan dibasahkan dengan air.
  9. Selepas 5 hingga 7 hari, percambahan anak benih akan berlaku. Anak benih dimasukkan ke dalam rumah semaian dan dibekalkan larutan baja secara celupan.
  10. Sebelum anak benih dipindahkan ke dalam polibeg, sistem fertigasi perlu dipasang. Sistem pengairan juga boleh dilakukan serentak dengan pemasangan pengatur masa.
  11. Anak pokok cili yang berusia 10 hingga 21 hari boleh dipindahkan ke dalam polibeg. Anak benih ni dimasukkan bersama-sama peat moss ke dalam polibeg yang telah dimampatkan pangkalnya. Ia perlu ditanam sedalam 3 hingga 5 sm dari permukaan coco peat atau sekam.
  12. Coco peat atau sekam padi bakar dijadikan medium tanaman cili fertigasi. Salah satu medium ni dimasukkan ke dalam polibeg hitam dan kemudian disusun selari dengan paip lateral.
  13. Jarak terbaik antara baris ialah 13 sm. Manakala, jarak antara polibeg pula ialah 4 sm. Bagi memudahkan pengurusan tanaman, polibeg disyorkan disusun sebaris.
  14. Sokongan pokok cili perlu dibuat sama ada menggunakan pancang bentuk ‘X’ atau ‘H’ ketika cili mula berbuah. Jika tak buat sokongan, dikhuatiri pokok cili akan tumbang dan merosakkan hasil.

Tips Tanaman Cili Fertigasi

Di bawah ni, kami senaraikan beberapa tips penting agar usaha anda menanam cili secara fertigasi berjaya.

  1. Jika anda melakukannya secara komersial atau besar-besaran, pastikan anda mempunyai tenaga pekerja yang mencukupi.
  2. Hasil tanaman yang dijual mestilah memberi keuntungan selepas ditolak modal dan kos utiliti. Senaraikan kos secara terperinci, jika keuntungan hanya kecil atau rugi terus, buat kajian semula.
  3. Pastikan anda mempunyai modal pusingan dan kecemasan yang mencukupi untuk tanaman pada peringkat seterusnya.
  4. Buat pemantauan harian untuk mengenal pasti pokok cili yang bermasalah. Pokok yang bermasalah perlu dibuang dan pencantasan dahan boleh dilakukan. Dengan cara ni, anda dapat mengurangkan kos rawatan dan tak perlu meracun.
  5. Pengusaha perlu pantau pertumbuhan tanaman tanpa mengharapkan                 pekerja semata-mata.
  6. Lebih baik tapak fertigasi dibina berdekatan dengan tempat tinggal pengusaha. Jika ada sebarang masalah, mudah untuk dipantau dan dikawal.
  7. Jika baru nak bermula, anda boleh cuba menanam sedikit dulu di kawasan rumah. Jika berhasil dan ada minat serta modal yang mencukupi, bolehlah merancang langkah seterusnya.
  8. Anda juga boleh menyertai kursus-kursus pertanian yang dijalankan oleh kerajaan untuk mendapat maklumat yang lebih lengkap dan terkini.

Kesimpulannya, teknik tanaman cili fertigasi banyak kebaikannya. Jika dilakukan dengan betul, hasil yang diperoleh berlipat kali ganda. Disebabkan itulah teknologi fertigasi semakin popular dalam kalangan para petani dan pengusaha.

Diharapkan artikel ni dapat memberikan gambaran tentang kemajuan teknologi dalam bidang pertanian di negara kita. Mana tahu, anda juga boleh jadi petani moden. Jika dibuat bersungguh-sungguh, pastu lumayan hasilnya.

Jemput juga baca artikel jenis tanah dan penanaman jagung

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.