Ketika hamil, pasti tubuh badan cepat letih dan tidak boleh bergerak banyak sangat seperti selalu. Oleh kerana berbadan dua maka apabila berjalan ibarat kita mengendong bayi 24 jam sehari. Itulah satu dugaan tapi dalam masa yang sama nikmat yang diberi oleh Allah SWT. Kaum lelaki tidak rasa bagaimana rasa bawa kandungan dalam perut 24 jam.

Tetapi, jika asyik duduk dan rehat juga akan cepat rasa bosan, bukan? Semestinya banyak perkara yang perlu kita lakukan seperti memasak, mengemas rumah dan pergi kerja. Oleh kerana perut semakin membesar, pergerakan kita juga akan terhad dan tidak dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa. Adakah cara untuk elakkan badan cepat letih bagi ibu hamil?

Mari kami kongsikan info sebenar mengenai 7 tips elak tubuh badan ibu hamil cepat letih. Info ini dikongsikan oleh klinik Dr. Asmah. Klinik Dr. Asmah terletak di Sungai Petani, Kedah. Ia menawarkan pelbagai ‘service’ terutama sekali bagi wanita yang hamil. Ia juga menawarkan ‘service’ untuk pesakit biasa seperti kencing manis, darah tinggi, demam panas dan lain-lain lagi.

7 Tips elak tubuh badan ibu hamil cepat letih

tips elak ibu  hamil cepat letih

Imej via Facebook

1. Banyakkan aktiviti fizikal

Ironiknya, apabila badan terasa ‘berat’ inilah masanya anda perlu lebih banyak bergerak. Namun, anda tidak perlu menjalankan senaman yang sukar, cukuplah sekadar aktiviti yang santai seperti berjalan di taman.

Selain berjalan, berenang merupakan aktiviti senaman yang sangat sesuai dilakukan semasa kehamilan kerana badan anda akan berasa ringan dan terapung ketika berada di dalam air. Aktiviti fizikal lain yang boleh dijalankan termasuklah yoga, aerobik berimpak rendah, dan tarian.

Tapi, jika anda seorang yang aktif dan rajin bersukan, pastikan rejim senaman anda turut disesuaikan dengan kadar kehamilan.

2. Banyakkan minum air kosong

Air yang satu ini terlalu banyak manfaatnya. Tidak kira sama ada anda hamil atau tidak, letih, lesu, dan mengantuk juga boleh berpunca daripada kehausan.

Oleh itu, pastikan tubuh anda mendapat air yang secukupnya pada setiap masa. Mereka yang meminum air, walau setengah gelas, pada setiap jam akan mendapati diri mereka begitu bertenaga.

3. Makan sedikit tetapi kerap

Kajian telah membuktikan bahawa saiz hidangan makan yang sedikit tetapi menyihatkan sebenarnya memberi anda lebih banyak tenaga berbanding makan dengan kuantiti yang lebih banyak.

Maka, anda digalakkan untuk mengambil 5 hidangan kecil setiap hari berbanding 3 hidangan utama yang anda biasa ambil pada waktu pagi, tengahari, dan malam.

Bagi anda yang suka mengunyah, isi tenaga anda dengan kudapan yang segar dan berkhasiat tinggi seperti kurma, badam, serta buah-buahan setiap empat jam untuk kekal cergas.

4. Bersarapan

Pengambilan sarapan akan menyebabkan sesorang itu lebih bertenaga dan mempunyai emosi yang lebih positif pada hari tersebut.

Pastikan sarapan anda kaya dengan zat besi seperti sayuran, kekacang, dan bahagian daging yang tidak berlemak (lean meat) kerana kekurangannya sering dikaitkan dengan punca letih. Pengambilan vitamin C boleh membantu proses penyerapan zat besi tersebut manakala makanan tenusu pula memberi tindakbalas yang sebaliknya jika diambil bersama.

5. Hirup udara segar

Sebelum memasuki kereta untuk ke pejabat, hiruplah udara yang segar sedalam-dalamnya. Udara pagi mengandungi oksigen dalam jumlah yang banyak dapat membantu untuk meningkatkan daya tahan tubuh anda. Ia tidaklah begitu sukar bukan?

6. Mandi dengan kerap

Di Malaysia, faktor panas dan kelembapan akan menyebabkan kita bertambah letih dan kurang selesa akibat peluh. Mandi sebenarnya dapat meredakan tekanan serta berperanan meningkatkan sistem kekebalan tubuh. Selain itu, anda juga digalakkan berendam di dalam kolam air suam di rumah untuk merehatkan otot-otot yang telah penat bekerja pada waktu siang.

Cuba titiskan aroma menyegarkan dalam tab mandi sebagai terapi bagi anda yang sukar untuk tidur di malam hari.

7. Dapatkan rehat dan tidur yang berkualiti

Antara punca utama letih semasa hamil ialah tidak cukup tidur malam. Kalau ada kelapangan, lelapkanlah mata seketika pada sekitar waktu tengahari.

*Jika rasa cepat penat dan lelah, jangan bimbang kerana ia adalah perkara biasa bagi seorang ibu hamil. Demi melahirkan anak yang sihat dan cergas, ibu perlu mengambil nutrisi yang berkhasiat dan baik untuk kandungan. Aktiviti lasak juga perlu dielakkan ketika hamil takut menjejas keselamatan kandungan. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Penulis: aqirah

Seorang yang rajin dan gemar untuk kongsikan sesuatu yang bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.