Ayuh ketahui kisah dan sumbangan Umar al-Khattab kepada Islam.
Nama sebenarnya ialah, Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Riyah bin Qurt bin Razah bin Adi bin Ka’ab bin Lu’ai al-Quraisy, yang berketurunan suku kaum Adi (Suku Kaum Quraisy).
Bapanya iaitu al-Khattab, merupakan seorang tokoh dari bani Adi yang disegani dalam kalangan masyarakat Mekah. Ibunya iaitu Khanthamah, merupakan anak perempuan Hisham bin al-Mughira, iaitu seorang tokoh yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat Quraisy.
Umar al-Khattab dilahirkan pada tahun 584M, 13 tahun dari tahun Fiel (setelah peristiwa Gajah) iaitu 13 tahun selepas kelahiran Rasullullah SAW. Dipercayai Umar al-Khattab mempunyai tubuh badan yang tinggi sasa dan tegap, dan terkenal sebagai seorang yang gagah dan garang. Selain itu beliau juga mempunyai keberanian dan ketegasan yang menonjol sehingga tidak ada sesiapa mampu menyainginya.
Beliau juga mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan kepahlawan yang handal selain tergolong dalam golongan yang bijak dan disegani di kota Mekah. Selain berkemahiran dan hebat berperang, beliau juga seorang penunggang dan penjinak kuda yang baik, selain seorang peniaga yang berjaya ketika itu.
Umar al-Khattab akhirnya memeluk Islam dan menjadi orang kuat dalam perjuangan dakwah Rasulullah SAW, sehingga diberi sebagai ‘al-Farouk’ (yang dapat membezakan antara benar dan batil. Bahkan selepas kewafatan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattablah yang menjadi khalifah kedua umat Islam dan menggunakan gelaran ‘Amirul mukminin’ untuk pertama kalinya.
Ketika Nabi Muhammad SAW, mula menyebarkan Islam di Mekah, Umar al-Khattab merupakan orang yang paling kuat menentang. Beliau begitu bersungguh menghalang perjalanan dakwah Rasulullah sehingga bertindak untuk membunuh Baginda.
Beliau bahkan kuat mempertahankan tradisi budaya dan amalan menyembah berhala dalam kalangan bangsa Arab ketika itu. Sehinggakan suatu hari Umar al-Khattab berfikir bahawa kedatangan Islam telah memecah belahkan masyarakat Arab Quraisy ketika itu, lalu bertindak untuk membunuh Nabi Muhammad SAW yang dipercayai menjadi dalangnya.
Sewaktu dalam perjalanan ke rumah Rasulullah, Umar al-Khattab telah terjumpa dengan Nuaim dan menyatakan hasratnya untuk mencari dan membunuh Baginda. Mendengarkan niat itu, Nuaim memberitahu bahawa adik Umar al-Khattab sendiri telah pun memeluk Islam, malah lebih baik beliau mengambil kisah hal keluarganya terlebih dahulu.
Tujuan Nuaim adalah untuk menyelamatkan Rasulullah SAW. Sebaik sahaja mendengarkan kata-kata Nuaim itu, Umar al-Khattab menjadi sangat terkejut dan marah. Amarahnya begitu berapi, lalu segera ke rumah adiknya.
Sampai sahaja di rumah adiknya, Umar al-Khattab terdengar adiknya mengalunkan surah Taha. Berlaku kekecohoan, sehinggga beliau menampar adiknya sehingga terjatuh. Melihat adiknya berdarah, beliau lantas tersedar lalu meminta al-Quran yang dibaca adiknya tadi.
Adik Umar al-Khattab menegah kerana beliau tidak berwuduk ketika itu. Lalu Umar al-Khattab minta diajarkannya berwuduk, kemudian beliau mengamati surah yang dibacakan adiknya tadi. Tidak semena-mena, air matanya mengalir deras;
“Kata-kata ini bukannya kata-kata biasa, tetapi sesungguhnya datang daripada tuhan. Aku bersaksi bahawa Muhammad itu persuruh Allah.”
Umar al-Khattab akhirnya mengucapkan syahadah dengan lancar dan fasih sekali.
Lalu Umar al-Khattab segera menuju ke rumah Nabi Muhammad SAW, bukan untuk membunuh Baginda tetapi untuk menyatakan keislamannya. Ternyata doa Rasulullah SAW telah diterima oleh Allah SWT. Umur Umar al-Khattab ketika itu ialah 27 tahun, dan di tahun ke-6 kenabian Rasulullah SAW.
Sewaktu Abu Bakar as-Siddiq jatuh sakit selama 15 hari, beliau berasakan harus mencari pengantinya. Beliau bimbang jika setelah ketiadaannya akan berlaku pertelingkahan dalam mencari penganti.
Abu Bakar as-Siddiq berasakan Umar al-Khattab adalah pengantinya yang terbaik. Lalu beliau mengumpulkan beberapa para sahabat yang antaranya; Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan daripada kaum Muhajirin dan Asid bin Khudair dari kaum Ansar.
Abdul Rahman bin Auf mengingatkan mengenai sikap Umar al-Khattab yang keras. Namun, Abu Bakar as-Siddiq menyakinkannya bahawa Umar al-Khattab pasti bersikap lembut apabila memerintah. Lalu semua sahabat setuju dengan pemilihan itu.
Khalifah Abu Bakar as-Siddiq meminta supaya berita itu tidak dihebahkan dahulu kepada umum serta memerintahkan Uthman bin Affan menulis perlantikan Umar al-Khattab bagi mengantikannya kelak.
Apabila Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia, Umar bin al-Khattab dilantik sebagai khalifah yang kedua secara rasminya dan dibaiah dalam Masjid Nabawi.
Selepas memeluk Islam, Umar al-Khattab menjadi seorang mukmim yang benar-benar mentaati agama dan Rasul-Nya, bahkan ini turut mempengaruhi pemerintahannya sebagai seorang khalifah umat Islam ketika itu.
Dalam setiap tindakan dan keputusannya merupakan hal terbaik dan memberi sumbangan yang sangat besar terhadap agama dan umat Islam ketika itu. Terdapat banyak pembaharuan yang dilakukan beliau yang menambaikkan kedudukan Islam dan umatnya, antaranya;
Majlis syura yang merupakan lembaga perundangan negara yang tertinggi. Majlis ini juga berfungsi sebagai;
Umar al-Khattab meninggal dunia pada tahun 644, iaitu pada akhir bulan Zulhijjah tahun 23H ketika berusia 63 tahun. Beliau telah dibunuh dengan ditikam oleh Abu Lu’lu’ah sebanyak enam kali ketika sedang mendirikan solat subuh. Beliau dimakamkan berhampiran makam Rasulullah SAW.
Walaupun Umar al-Khattab sebelum pengislamannya adalah penentang utama dakwah Rasulullah SAW, tetapi setelah memeluk Islam beliau menjadi pembela pertama Islam, sehinggakan sedikit sebanyak perkembanagn Islam ketika itu turut dipengaruhi oleh kekuatan dan keberanian Umar al-Khattab.
Apatah lagi setelah beliau memegang tampok pemerintahan umat Islam dan memegang jawatan khalifah, Islam semakin kuat dan tersebar luas.
Ternyata Umar al-Khattab bukan sahaja seorang sahabat, serta mukmin yang setia tetapi merupakan pemimpin berwibawa yang sangat didambakan oleh umat Islam. Bahkan sehingga kini tokoh seperti Umar al-Khattab masih belum berganti. Semoga akan muncul pemimpin persis Umar al-Khatab suatu hari nanti demi mengembalikan kegemilangan Islam, Amiin.
Jika anda sukakan artikel ini, kami pasti anda akan menyukai artikel Kisah Baju Raya Anak Saidina Umar al-Khattab ini juga.
Rujukan: