Mari kita kenali ilmuan Islam yang terulung ini:
Syed Muhammad Naquib al-Attas (selepas ini dirujuk sebagai ‘Al-Attas’) merupakan seorang pemikir terkemuka moden Islam abad ke-21 yang juga seorang ahli falsafah dan pakar sejarah Melayu yang banyak menyumbang dalam pemikiran, pengkajian sejarah dan kebudayaan Melayu.
Nama sebenar beliau ialah Syed Muhammad Naquib ibn Ali ibni Abdullah ibn Muhsin Al-Attas. Beliau dilahirkan di Bogor, Jawa Barat pada 5 September 1931. Ayahnya bernama Syed Ali bin Abdullah al-Attas yang berasal dari Tanah Arab dan berketurunan Hadrami – Arab Hadramaut, Yaman yang salasilahnya dari ulama dan ahli tasawuf yang terkenal dari kalangan sayyid. Ibunya bernama Syarifah Raquan Al-‘Aydarus, yang juga berketurunan kerabat raja-raja Sunda Sukapura, Jawa Barat.
Dapat disusurgalurkan dengan pasti melalui salasilah keluarga Sayyid Ba’Alawi di Hadramaut, Al-Attas adalah keturunan ke-37 dari Saidina Hussein, cucu Nabi Muhammad SAW.
Syed Abdullah ibn Muhsin ibn Muhammad Al-Attas (datuk dari pihak ayah) adalah seorang ulama dari tanah Jawa yang sangat berpengaruh sehingga ke tanah Arab. Syed Abdullah kemudiannya bernikah dengan Ruqayah Hanum yang juga berdarah aristokrat dari Turki, dan lahirnya Syed Ali al-Attas, iaitu bapa kepada Al-Attas.
Syed Muhammad Al-‘Aydarus (datuk dari pihak ibu) juga adalah guru dan pembimbing Syed Abu Hafs ‘Umar bin Syaiban dari Handramaut, yang kemudian membawa kepada Nur Al-Din Al-Raniri yang juga seorang ulama tersohor dalam alam Melayu (Acheh).
Al-Attas merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik. Abangnya, Prof. Dr. Hussein Al-Attas, seorang cendakiawan dan pakar sosiologi yang juga mantan Naib Canselor Universiti Malaya. Manakala adiknya Syed Zaid merupakan seorang jurutera kimia dan mantan pensyarah Institut Teknologi MARA.
Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, ketika berusia lima tahun mendapat pendidikan awal di Ngee Heng English Premary Schoool di Johor Bharu, Johor (1936-1941). Ketika itu beliau tinggal bersama saudara ayahnya, Encik Ahmad dengan Ibu Azizah.
Ketika Perang Dunia Kedua mulai meletus, beliau kembali ke Jawa Barat dan belajar agama Islam serta bahasa Arab di Madrasah Al-Urwatul Wutsqa di Sukabumi, Jawa Barat selama 4 tahun (1942-1945).
Tahun 1946, selepas perang tamat, beliau kembali ke Johor Bharu semula dan tinggal bersama saudara ayahnya, Engku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Majid yang juga menteri besar Johor waktu itu, kemudian dengan Dato’ Onn bin Dato’ Jaafar yang kemudiannya juga menjadi Menteri Besar Johor ke-7. Al-Attas melanjutkan pelajaran menengahnya di Bukit Zahrah School dan seterusnya di English College Johor Bharu.
Sebaik sahaja tamat pendidikan menengah, Al-Attas telah dipilih oleh Jenderal Sir Gerald Templer (Pegawai Tinggi British Malaya ketika itu) untuk mengikuti latihan ketenteraan di Sandhurst, England. Lalu Al-Attas menyertai angkatan tentera pada 1952 sehingga 1955.
Beliau menggunakan peluang berada di England untuk mendalami pemikiran dan budaya Inggeris di samping meneroka negara-negara Eropah seperti Sepanyol dan Afrika Utara untuk mengenali tradisi, intelektual, budaya bangsa serta seni bina Islam.
Sebaik tamat latihan ketenteraan, beliau bertugas sebagai pegawai di Regimen Askar Melayu berpangkat leftenan. Namun, cinta dan minatnya yang lebih mendalam dalam bidang keilmuan dan akademik membuatkan beliau meninggalkan bidang ketenteraan dan menyambung pengajiannya di Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1957-1959.
Ketika masih dalam pengajian di peringkat ijazah, Al-Attas telah menulis dua buah buku ilmiah iaitu; Rangkaian Ruba’iyat yang merupakan karya sastera pertama yang dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 1959.
Buku kedunya; Some Aspect of Sufism as Understood and Practised Amongs the Malay (diterbitkan oleh Lembaga Penelitian Sosiologi Malaysia) menjadi karya terulung yang mendapat pengiktirafan dari kerajaan Kanada. Bahkan beliau ditawarkan biasiswa pengajian di peringkat pascasiswazah di Universiti McGill, Montreal, Kanada pada 1960.
Di Kanada, Al-Attas berpeluang mengenali lebih ramai cendakiawan hebat antarabangsa seperti Fazlur Rahman (Pakistan), Toshihiko Izutsu (Jepun), Sayyed Hussin Nasr (Iran) dan Sir Hamilton Gibb (Britain) dan ramai lagi. Pada tahun 1962, beliau menamatkan pengajian sarjana dengan tesisnya yang mengesankan tentang moyangnya sendiri; Raniri and the Wujudiyyah of 17th Century Acheh.
Pada tahun 1963, atas dorongan beberapa pemikir orientalis yang terkenal, seperti A.J. Arberry (Cambridge), Sir Mortimer Wheeler (London), Sir Richard Winstedt (Presiden British Academy) dan pimpinan Royal Asiatic Society, Al-Attas kemudian melanjutkan pendidikan di peringkat Ph.D di School of Oriental and African Studies (SOAS) University London, London. Di universiti ini, beliau dibimbing oleh Prof. A.J. Arberry dan Dr. Martin Lings, dengan dua jilid disertasi berjudul The Mysticisme of Hamzah Fansuri, sehingga berjaya memperoleh keputusan yang begitu cemerlang pada tahun 1965.
Walaupun banyak ilmu dan bidang falsafah dipelajari dari negara barat, beliau tetap menilainya dari kaca mata Islam dan sesekali tidak terpengaruh dengan pandangan negatif yang bertentangan dengan Islam.
Selesai pembelajarannya di London, Al-Attas dilantik sebagai Ketua Bahagian Sastera di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM). Bahkan sebagai Dekan Fakulti Sastera di UM pada tahun 1968 sehingga tahun 1970. Dengan itu beliau bertanggungjawab memelihara bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di institusi itu.
Al-Attas juga semakin dikenali dengan kecerdasannya dalam mengkaji banyak disiplin ilmu, serta kritikannya terhadap peradaban barat turut dikagumi oleh cendakiawan bukan Islam. Sehinggakan beliau digelarkan ‘ilmuan genius’ oleh para ilmuan dunia.
Nama Al-Attas menjadi sinonim sebagai ilmuan Muslim yang sering menyampaikan pemahamannya dalam bentuk kuliah dan penulisan. Dipercayai beliau telah menyampaikan lebih 400 makalah ilmiah di negara-negara Eropah, Amerika, Jepun, Timur Jauh, dan pelbagai negara Islam lain.
Kehebatan beliau bukan sahaja mendapat sanjungan dalam negara, bahkan di peringkat antarabangsa, antaranya; Al-Attas dilantik menganggotai Akademi Falsafah Maharaja Iran (Fellow of The Imperical Iranian Academi of Philosophy) pada tahun 1975, yang anggotanya terdiri daripada golongan ilmuan terkemuka. Beliau juga memperoleh anugerah Pingat Seratus Tahun meninggalnya Sir Muhammad Iqbal (Iqbal Centenary Commemorative Medal) oleh Presiden Pakistan ketika itu Jeneral Muhammad Za ul-Haq, pada 1979. Pada tahun 1981, kerajaan Malaysia dengan kerjasama Ohio University telah melantik al-Attas sebagai pemegang pertama Kerusi Tun Abdul Razak dalam Pengajian Asia Tenggara di Ohio University, Amerika.
Al-Attas juga dianugerahi kerusi Kehormatan Abu Hamid Al-Ghazali (Abu Hamid Al-Ghazali Chair of Islamic Thought) yang pertama pada 1993. Raja Hussein dari Jordan pula mengangkat beliau sebagai anggota Royal Academy of Jordan pada tahun 1994. Selain Universiti Khartoum menganugerahkannya Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang seni kepada beliau pada Jun 1995.
Seterusnya pada tahun 2000, Pertubuhan Muktamar Islam (OIC), bagi pihak dunia Islam telah menganugerahkan beliau Anugerah Research Centre for Islamic History and Culture (IRCICA) sebagai pengiktirafan atas segala sumbangan ilmiah beliau dalam bidang tamadun Islam. Bahkan pada tahun 2011, beliau telah menerima dua penghargaan iaitu, anugerah Tokoh Melayu Terbilang sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-65, diikuti anugerah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Bahkan banyak lagi pengiktirafan lain yang diterima beliau.
Terlalu besar jasa dan sumbangan Al-Attas, terutamanya dalam bidang pemikiran Islam kontempori dan pendidikan Islam. Beliau bukan sahaja ilmuan, cendakiawan, negarawan bahkan muncul sebagai sebutir permata yang sukar dicari dan jarang sekali dilahirkan dalam kalangan umat Islam era kini.
Al-Attas sangat berjasa dalam memperjuangkan pandangan kritis lebih-lebih lagi melibatkan konsep Islam, budaya dan bahasa Melayu. Jadi wajarlah beliau dijadikan rujukan para ilmuan dan pengkaji termasuklah dari negara lain.
Lihatlah perjuangan beliau dalam dunia akademik yang mendaulatkan proses islamisasi ilmu. Menurut Al-Attas, Islamisasi bermaksud pembebasan manusia dari tradisi magik, mitologi, animistik , nasional-kultural, dan penguasaan daripada sekular terhadap fikiran dan bahasa. Faktor yang mendorong islamisasi ilmu ini adalah kesedaran betapa pentingnya unsur-unsur Islam untuk diterapkan dalam ilmu pengetahuan di kalangan muslim supaya ia tidak terasing dari landasan ilmu.
Beliau banyak mengingatkan dunia Islam terhadap krisis akademik, iaitu pertembungan antara ilmu barat dengan pandangan Islam. Baginya, islamisasi ilmu perlu dilakukan kerana ilmu yang disebarkan ke seluruh dunia bukanlah ilmu yang benar tetapi telah disalut oleh sifat dan peribadi kebudayaan barat.
Baginya, sistem pendidikan moden umat Islam hari ini telah menciplak model sistem pendidikan barat atas faktor modenisasi. Namun, impaknya tidak berjaya menandingi kreativiti dan kehebatan barat kerana umat Islam kini tidak membangunkan wawasan mereka sendiri seperti orang barat.
Kesedaran dan perjuangannya ini banyak dibincangkan dalam persidangan antarabangsa, seperti Persidangan Dunia Pertama mengenai Pendidikan Islam yang diadakan di Mekah pada tahun 1977. Dalam persidangan tersebut, Al-Attas telah mengutarakan gagasan pengislaman ilmu melalui kertas kerjanya yang bertajuk “Premilinary Thoughts on The Nature of Knowledge and The Definition and Aims of Education”.
Selain itu, melalui peranan beliau, ilmu kalam dan akidah dalam aspek pemikiran Islam telah dikukuhkan selari dengan usaha golongan ilmuan Islam terdahulu.
Begitu juga dalam bidang sastera, beliau meletakkan jiwa Islam yang adakalanya kurang dihayati oleh golongan sastera kini, selain mengemukakan pandangan beliau mengenai kategori sastera Melayu dan periodisasi sejarah penulisannnya.
Bahkan, perbandingan falsafah oleh Al-Attas telah dibandingkan dengan tokoh pemikir terkemuka Barat iaitu Immanuel Kant dan disokong dengan pembentangan tentang sumbangan beliau dalam pemikiran sains.
Sumbang bakti Al-Attas dalam penglibatan kajian sejarah dan asal bahasa melayu moden sangat besar. Beliau merupakan sosok yang bertanggungjawab dalam memformulasikan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan bangsa melalui beberapa diskusi dengan para pemimpin pada tahun 1968. Usaha ini merupakan salah satu faktor terpenting yang membawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia.
Begitu juga peranan Al-Attas dalam mengemukakan teori peranan Islam dan perkembangan bahasa Melayu yang berbeza dengan analisa dan kajian para pemikir barat. Ini termasuklah tafsiran beliau tentang sejarah telah diketengahkan dengan jelas sekali. Terutamanya dalam penetapan tarikh tepat batu bersurat di Terengganu. Al-Attas adalah sarjana pertama yang menemukan dan menghitung tanggal yang tepat inskripsi sejarah itu ditulis (4 Rejab 702 atau 22 Februari 1303).
Secara tidak langsung penetapan ini adalah jawapan bagi teka-teki yang telah membingungkan para orientalis sejak setengah abad dahulu. Penemuan ini juga dilihat sangat penting dalam catatan sejarah Islam Asia Tenggara, terutamanya mengenai waktu kedatangan Islam ke nusantara serta peranan dan sumbangan Islam di alam Melayu.
Dengan melihat kepentingan bahasa Melayu dari awal ketamadunan sehingga kini, peranan strategik beliau dalam merangka penubuhan institusi pengajian tinggi di negara ini juga amat penting.
Pada tahun 1968, beliau bersama perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat dalam jawatankuasa penaja utama penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada tahun 1970 Al-Attas juga berusaha menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di UKM kepada bahasa Melayu. Selain menjadi konseptor keislaman di universiti itu dengan membangunkan Fakulti Pengajian Islam di universiti itu.
Kemudian, Al-Attas juga mengusulkan konsep dan kaedah baru yang lebih baik demi kajian bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu sehingga tertubuhnya Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) di UKM dan beliau mengetuai institusi tersebut. Institusi ini menumpukan pembinaan epistemologi, sejarah dan falsafah alam Melayu dan perbandingan dengan tamadun besar. Kini institusi tersebut dikenali sebagai Institut Alam dan Tamadun Melayu atau ATMA.
Selain itu, pengaruh pemikiran Al-Attas berjaya mempengaruhi persatuan-persatuan muda yang terkemuka ketika itu seperti ABIM (angkatan Belia Islam Malaysia), GAPIM (Gabungan Penulis Islam Malaysia) dan ASASI (Akademi Sains Islam Malaysia).
Jasa terbesar beliau adalah mengasaskan kampus Pusat Permikiran Islam dan Ketamadunan Antarabangsa atau International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) serta memimpinnya selama 14 tahun.
Pembinaan ISTAC pada tahun 1987 adalah untuk memperjuangkan islamisasi ilmu di Malaysia serta menjadi pusat perbincangan ilmiah bagi para pemikir melakukan transformasi dalam sistem pendidikan di Malaysia. Selain berperanan melatih dan mengajar ilmuan muda yang pintar dari seluruh dunia demi melahirkan para cendiakawan yang bermutu.
Sebagai rektor atau pemimpin ISTAC, Al-Attas juga merangka sendiri kurikulum dan silibus, memilih para pengajar (yang ada antaranya adalah pelajar beliau sendiri), serta menubuhkan perpustakaan dengan pelbagai koleksi serta manuskrip peribadi ilmuwan dalam dan luar negara, selain menerbitkan karya dan jurnal penting.
Kesannya, ISTAC telah melahirkan ramai pemikir Islam yang hebat seperti; Prof.Dr. Wan Mohd Wan Daud, Prof. Dr. Alparslan Acikgenc, Prof.Dr. Sami K.Hamarmeh, Prof.Dr. Ahmad Kazemi Moussavi, Prof. Dr. Hassan El Nagar, Prof. Dr. Cemil Akdogan, Prof. Dr. Alik Badri, Prof.Dr. Mehmet Ipsirli, Prof.Dr. Paul Lettinck, Prof. Dr. Muddathir Abdel ar-Rahim, Prof.Dr.Omar Jah, Dr. Ugi Suharto dan ramai lagi para ilmuan dari pelbagai negara.
ISTAC dibina dengan penuh kekayaan peradaban Islam serta nilai estetika yang bematlamat membangunkan jiwa, serta keilmuan yang tinggi yang tidak lari dari konsep Islam yang sejagat. Sayangnya pada tahun 2003 ISTAC dibekukan.
Bukan sahaja sebagai ilmuan Muslim terkemuka, al-Attas juga dikurniakan dengan beberapa bakat atau kebolehan lain. Terutamanya dalam bidang kaligrafi. Beliau pernah menghasilkan kaligrafi basmallah dalam bentuk burung pekak (1970), ayam jago (1972), ikan (1980) dalam beberapa buah bukunya. Kaligrafi tersebut juga pernah dipamerkan di Muzium Tropen, Amsterdam, pada 1954. Beliau juga bertanggungjawab merekacipta skrol yang unik untuk Kerusi Kehormatan Al-Ghazali pada tahun 1993.
Al-Attas turut mempunyai pengetahuan yang baik dalam merancang dan merekabentuk bagunan, termasuklah bangunan ISTAC sendiri yang banyak menerima sentuhannya. Bentuk bangunan ISTAC yang menyerupai Masjid Al-Hambra di Andalusia dengan air yang keluar dari mulut-mulut singa; terdapat dua lukisan yang megah iaitu Salahuddin al-Ayubi dan Muhammad al-Fateh. Menurutnya dua tokoh yang pernah menakluk barat itu adalah simboliknya agar umat Islam berasa lebih kuat dan gah dari barat.
Al-Attas turut merekabentuk auditorium dan masjid ISTAC pada tahun 1994, termasuk landskap dan hiasan dalamnya yang berkonsepkan seni bina Islam yang unik dan diperkemas dengan sentuhan tradisional dan gaya kosmopolitan. Setiap pengunjungnya sama ada dari luar negara atau tempatan akan menunjukkan kekaguman mereka dengan suasana intelektual di institusi itu.
Al-Attas menghasilkan karya dalam pelbagai bidang, terutamanya ilmu falsafah, sejarah, teologi, kesusasteraan dan metafizik. Banyak penulisan beliau ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang kemudiannya diterjemahkan dalam bahasa lain seperti bahasa Arab, Parsi, Turki, Urdu, Malayalam, Indonesia, Perancis, Jerman, Rusia, Bosnia, Jepun, India, Korea dan Albania, seterusnya menjadi rujukan para cendekiawan dari seluruh pelosok dunia. Antara karya penulisan beliau adalah;
Berikut adalah antara artikel yang ditulis oleh Al-Attas:
Mengenali Syed Muhammad Al-Attas serta pemikirannya tidak cukup dalam masa yang sebentar, bahkan untuk meneliti sumbangan dan jasanya yang cukup besar mestilah memahami terlebih dahulu perjuangan dan impian beliau. Dan, barulah diketahui bahawa peranan Al-Attas meninggalkan impak yang sangat besar dan jelas untuk memartabatkan agama dan bahasa dan bangsa.
Al-Attas muncul sebagai tokoh yang menyumbang begitu banyak idea mapan yang tidak ramai menguasainya, tidak memahaminya pun bahkan dibaikan. Beliau bukan sahaja meletakkan agama di tempat tertinggi selain menjulang bahasa Melayu dengan sejarah peradaban yang tulen dan bukti kukuh, kemudian membudayakan ilmu dalam umat Islam pada masa sama turut mengkritis peradaban Barat.
Bukan hanya menganalisis akar masalah, tetapi beliau memberi solusi kepada bangsa dan umat Islam, terutamanya dalam aspek sejarah, intelektual dan kebudayaan Islam dalam rumpun Melayu secara keseluruhannya.
Dengan itu beliau layak digelar sebagai pemikir besar dunia Islam kontemporari yang wajar dibanggakan oleh umat Islam dan kaum Melayu. Bahkan perjuangan beliau dalam mengislamisasikan ilmu wajar diteruskan dan diwarisi oleh golongan ilmuan serta pemikir kini, agar asas ketamadunan Melayu yang agung terus tegak berdiri dan akidah Islam menjulang tinggi. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati beliau, amin.
Jemput juga membaca lebih banyak artikel menarik kami seperti; Anak Anwar Ibrahim dan Anak Mahathir
Rujukan: