Anda nak tahu cara buat kabinet dapur DIY? Wow, kedengaran menarik! Semua wanita mengimpikan mempunyai sebuah dapur yang teratur, cantik dan canggih. Salah satu caranya ialah dengan memasang kabinet. Kelebihan memasang kabinet ialah kesemua alatan memasak seperti periuk, ketuhar, kuali dan sebagainya boleh disimpan dengan kemas.

Kabinet biasanya dipasang di atas lantai dan juga di bahagian atas dinding. Oleh kerana ruangnya yang luas, maka banyak barang yang boleh disimpan. Jadi, dapur juga akan nampak bersih dan sedap mata memandang.

Yang menjadi masalahnya ialah untuk memasang kabinet, kosnya bukan calang-calang. Harga kabinet bergantung kepada jenis material yang digunakan, panjang dan luas kabinet, kemasan dan aksesori tambahan.

kabinet
Imej Via Bidadari

Harganya bermula dari RM 3000 ke atas bergantung kepada ciri-ciri yang dinyatakan di atas. Disebabkan harga yang tinggi, ramai suri rumah terpaksa memendam hajat sekian lama.

Apa kata anda cuba buat kabinet dapur DIY? Nak tahu caranya? Jom teruskan pembacaan.

Cara Buat Kabinet Dapur DIY 1

Bagi sesiapa yang mempunyai kekangan kewangan tetapi inginkan kabinet idaman, anda boleh membuatnya sendiri. Apa yang diperlukan ialah kerajinan, kreativiti, kesabaran dan modal yang cukup rendah. Mari mulakan sekarang!

  • Buat bingkai kabinet

Pertama sekali buat bingkai atau kerangka kabinet. Anda memerlukan kayu 1×2. Untuk bahagian kiri dan kanan dinding setiap rak, anda memerlukan papan plywood nipis. Manakala, bagi rak yang berada pada bahagian paling depan dan belakang, anda kena guna plywood tebal.

  • Buat pintu kabinet

Anda perlu membuat bingkai halus pada pintu kabinet terlebih dahulu selepas diukur. Kemudian, tampal plywood nipis. Jadinya, bingkai tersebut akan berada di depan. Tujuan menampal bingkai halus untuk mencantikkan lagi kabinet anda.

  • Pasang pintu kabinet

Apabila anda sudah menyiapkan bahagian pintu, cuba pasang dulu. Adjust dan baiki bahagian yang terlebih atau terkurang. Jika semuanya sempurna, anda boleh pasang engsel dan magnet.

kabinet
Imej Via Bidadari
  • Menggunakan plaster skim coat

Langkah seterusnya ialah gunakan plaster skim coat untuk menutup lubang-lubang pada kayu. Tujuannya ialah permukaan papan akan lebih licin dan tidak kesat. Ia juga akan memudahkan proses mengecat nanti.

Setelah siap gunakan plaster skim coat, jemur papan-papan tersebut hingga kering. Setelah itu, gunakan kertas pasir untuk melicinkan lagi bahagian yang tidak rata.

  • Menggunakan cat undercoat

Sebelum dicat menggunakan warna pilihan, gunakan cat undercoat untuk mencantikkan lagi kemasan cat anda. Tujuannya supaya permukaan kayu menjadi lebih licin, warna cat tidak mudah tertanggal dan berkulat.

Setelah dicat, jemur sehingga benar-benar kering. Kemudian, gosok dengan kertas pasir sekali lagi.

  • Menggunakan cat warna

Pilih cat warna yang mempunyai kemasan gloss finish. Ia akan lebih kilat dan cantik. Selepas dicat, biarkan sehingga betul-betul kering. Barulah nanti boleh dipasang.

  • Bahagian dalam kabinet

Untuk bahagian dalam kabinet, gunakan cat berwarna putih. Jika tidak mahu cepat nampak kotor, anda boleh pilih warna yang sedikit gelap.

  • Aksesori tambahan

Bagi yang hendak menyangkut alatan dapur di dalam kabinet, anda boleh memikirkan idea yang kreatif. Begitu juga dengan tombol atau pemegang pintu kabinet. Terdapat pelbagai jenis di pasaran. Anda boleh pilih yang mana suka.

kabinet
Imej Via Bidadari

Cara Buat Kabinet Dapur DIY 2

Kalau rasa cara pertama agak susah, apa kata cuba cara kedua yang lebih simple. Suami anda mungkin tidak cukup masa. Nak harapkan anda pula jadi tukang kayu, mungkin tiada kemahiran pula. Cara kedua ini, semua orang boleh buat.

  • Beli almari buku

Jika anda ke Tesco atau Giant, pasti anda pernah ternampak almari buku comel yang mempunyai beberapa rak. Saiznya tidak besar dan berwarna-warni. Beli beberapa buah almari mengikut kepanjangan yang diingini.

  • Pasang angle bar

Setiap almari dipasang 2 buah angle bar di bahagian atas dan bawah. Angle bar dipasang untuk memudahkan anda memaku almari pada dinding. Ia menjamin kekukuhan kabinet DIY anda.

  • Meletakkan barang

Disebabkan kabinet jenis ini kecil, anda digalakkan untuk meletakkan alatan yang ringan-ringan sahaja. Antaranya ialah pinggan mangkuk, teko dan cawan yang diperbuat daripada plastik.

Cara Buat Kabinet Dapur DIY 3

Kalau anda nak kabinet DIY yang lebih mudah, apa kata cuba yang ini pula. Caranya ialah:

  • Sediakan meja banquet

Anda boleh membeli beberapa buah meja banquet mengikut keluasan kabinet yang diingini. Susun atur meja banquet mengikut citarasa anda. Jika di dapur sudah ada sinki, anda perlu adjust susunan meja tersebut.

  • Pasang papan plywood tebal

Kemudian, letakkan papan plywood yang tebal di atas meja untuk mengukuhkan kabinet DIY anda itu. Tujuan papa ini dipasang juga untuk meletakkkan meja dan sinki pada paras yang sama. Jadi, cuba cari ketebalan papan yang hampir sama ketinggian sinki.

kabinet
Imej Via Bidadari
  • Pakukan meja banquet dengan papan tebal

Langkah seterusnya ialah proses memaku meja dengan papan tersebut. Anda boleh menggunakan paku biasa atau menggunakan driller.

Sebelum anda memaku papan plywood tersebut, pastikan ia dikemaskan menggunakan plaster skim coat. Kemudian, cat menggunakan undercoat dan seterusnya cat warna glossy.

  • Pasang langsir

Anda boleh membeli langsir siap atau menjahitnya sendiri untuk menjimatkan kos. Langsir yang telah diukur boleh dipasang di bahagian bawah meja banquet yang terbuka. Pastikan pilih warna langsir yang boleh disesuaikan dengan wallpaper yang akan dipasang nanti.

Pada bahagian bawah meja, anda bolehlah meletakkan barang-barang yang hendak disimpan. Langsir akan dijadikan tirai untuk menutup kabinet yang berfungsi sebagai pintu. Nak lebih cantik, pastikan langsir mempunyai pleat yang banyak seakan-akan seperti kedutan.

  • Pasang wallpaper

Pada bahagian atas kabinet DIY anda itu, bolehlah dipasang wallpaper mengikut kesukaan. Ia akan memberi kesan sama seperti memasang jubin atau mozek pada dinding.

Setakat ini sahaja perkongsian penulis tentang 3 cara buat kabinet dapur DIY. Selain menjimatkan kos, dapur juga akan kelihatan lebih kemas dan bersih. Jika anda sudah mencubanya, kongsikan dengan kami nanti.

Anda juga boleh baca tentang cara-cara DIY rak baju dan DIY rak kasut. Selamat mencuba!

Rujukan

Facebook (link)

Facebook (link)

DIY Kabinet Dapur paling Simple & Jimat Guna Meja Banquet (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.