Ayuh kenali tentang Abu Bakar as-Siddiq serta sumbangan besarnya kepada Islam.

Nama sebenar Saidina Abu Bakar as-Siddiq ialah Abdullah bin Abu Quhafah  bin Amir bin Amr bin Ka’b bin Sa’d bin Taim bin Murrah bin Ka’b bin Luwai bin Ghalib bin Fihr.  Sebelum pengislamannya, Nama beliau Abdul Kaabah bin Usman yang bermaksud hamba Kaabah. Beliau berketurunan  bangsawan dari bani Tamim.

Saidina Abu Bakar dilahirkan dua tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW di Mekah.  Beliau diberikan gelaran ‘as-Siddiq’ kerana sentiasa membenarkan kata-kata dan perbuatan Rasullullah SAW tanpa sedikit pun keraguan.

Abu Bakar as-Siddiq juga adalah lelaki pertama yang memeluk Islam serta tergolong dalam golongan bijak pandai di kota Mekah. Beliau juga memiliki banyak sikap terpuji seperti jujur dan amanah,  adil dan baik budi pekerti serta dihormati dalam kalangan masyarakat Mekah.

Saidina Abu Bakar juga seorang usahawan yang kaya dan berjaya dalam urusan perdagangan seperti perniagaan kain, penternakan unta dan sebagainya.

Saidina Abu Bakar juga  merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW yang paling rapat serta banyak mengharungi dugaan bersama Baginda dalam menyebarkan Islam. Antaranya semasa  Nabi Muhammad berhijrah dari Makkah ke Madinah, hanya beliau yang menjadi peneman setia dan sanggup menggadaikan nyawanya demi Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sangat mengasihi Saidina Abu Bakar.

Saidina Abu Bakar juga sangat menyayangi dan menyanjungi Rasulullah SAW, sehinggakan saat Baginda dicaci dan dicemuh dengan tuduhan menyampaikan cerita karut, Abu Bakarlah yang terawal muncul dan menyatakan kebenarannya. Selain sahabat sejati, Saidina Abu Bakar juga merupakan bapa mentua Rasulullah SAW kerana Baginda mengahwini Saidatina Aisyah selepas berhijrah ke Madinah.

Semasa Rasulullah sedang tenat, Baginda mengarahkan Saidina Abu Bakar mengimamkan solat kepada penduduk Islam. Selepas Baginda wafat, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam melalui majlis syura dan  dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin.

Selepas dua tahun memerintah  (11-13 Hijrah atau 632-634 Masihi) Saidina Abu Bakar wafat pada 23 Jamadilakhir 634 Hijrah di Madinah. Beliau dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad SAW di Masjid an-Nabawi, Madinah.

Sumbangan Abu Bakar as-Siddiq

Walaupun tidak lama memerintah, namun jasa dan sumbangan beliau sangat besar terhadap umat Islam. Antara sumbangan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dalam siri pemerintahannya adalah:

#1. Istiqamah Dalam Berdakwah

Selepas memeluk Islam, Saidina Abu Bakar a.s sangat bersungguh dalam menyebarkan dakwah Islam, sama ada secara bersendirian mahupun secara tertutup. Beliau juga banyak membantu orang lain dalam aspek kewangan. Ramai yang menemuinya untuk meminta bantuan kerana beliau sangat terkenal dengan sikap dermawan.

Dengan cara ini, beliau mengambil kesempatan untuk mengajak para sahabatnya mengenali dan memeluk Islam, seperti Usman bin Affan, Zubair bin Awwam, Talha bin Ubaidah, Abdurahman bin Auf dan  Saad bin Abi Waqqas serta ramai lagi.

#2. Mendermakan Semua Hartanya Untuk Perang Tabuk

Perang Tabuk adalah peperangan menentang kerajaan Rom yang merupakan tentera terkuat ketika itu. Bagi membuat persediaan yang besar itu Rasulullah SAW membuat kutipan derma lalu para sahabat dan ramai kaum muslimin tampil untuk mendermakan harta mereka. Saidina Abu Bakar telah menyerahkan seluruh harta beliau. Apabila ditanya apakah yang beliau tinggalkan untuk ahli keluarganya?

Beliau menjawab; ‘Aku telah tinggalkan Allah dan Rasul-Nya untuk mereka’.

#3. Membebaskan Hamba Islam

Dalam perjuangan menyebarkan Islam. Saidina Abu Bakar tidak pernah berkira membelanjakan puluhan ribu dirham untuk membebaskan hamba-hamba yang memeluk Islam daripada disiksa oleh orang kafir. Antara yang dibebaskan oleh beliau ialah Bilal bin Rabbah dan Ammar bin Yasir.

#4. Memerangi Tentera Rom

Antara perintah pertama yang dikeluarkan Saidina Abu Bakar sebaik sahaja diangkat sebagai khalifah adalah mengarahkan agar perjalanan Usamah bin Zaid dan para tentera Islam diteruskan. Pasukan ini telah dipersiap oleh Rasulullah SAW untuk menggempur tentera Rom di perbatasan utara.

#5. Pengumpulan al-Quran

Sumbangan terbesar Saidina Abu Bakar as-Siddiq adalah mengumpulkan semua naskah al-Quran. Usaha ini berikutan kemunculan golongan murtad dan nabi palsu serta pelbagai ajaran baru, beliau bimbang akan berlaku campur aduk dan kesesatan lalu segera mengarahkan Zaid bin Thabit mengumpulkan semua tulisan ayat al-Quran serta menyalinnya semula.

Beliau sendiri menyimpan salinannya,  selain diamanahkan kepada Saidina Umar bin al-Khattab, Hafsah (isteri kepada Nabi Muhammad) dan Saidina Uthman bin Affan. Sebagai pengiktirafan kepada jasanya itu, beliau digelar sebagai ‘Penyelamat Umat Islam’. Jasa beliau inilah yang menjadi rujukan dan panduan umat Islam sehingga hari ini.

#6. Memerangi Golongan Murtad

Semasa kewafatan Rasulullah SAW berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam lantaran muncul golongan yang mengakui diri mereka sebagai nabi yang baharu, serta ramai yang murtad serta tidak beriman dengan Allah SWT dan Rasulullah.

Saidina Abu Bakar juga mengisytiharkan perang terhadap golongan yang digelar ‘ar- Riddah’ pada masa sama merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah.  Musailamah al-Kazzab merupakan antara yang mengaku dirinya sebagai nabi serta mempunyai begitu ramai pengikut. Namun, mereka  berjaya ditumpaskan oleh pasukan Khalid al-Walid dalam suatu pertempuran atas arahan khalifah.

#7. Memerangi Golongan Yang Enggan Membayar Zakat

Khalifah Abu Bakar a.s turut bertindak tegas dalam memerangi golongan yang  enggan membayar zakat. Ketika itu ramai yang tidak mahu solat, tidak mahu berzakat, hampir murtad ataupun melepaskan Islam keseluruhannya sehinggalah terpaksa diperangi.

Golongan ini percaya mereka hanya perlu beriman dan menuruti Islam semasa Rasulullah SAW masih hidup sahaja, serta membayar zakat pun hanyalah kepada Rasulullah SAW dan selepas kewafatan Baginda mereka tidak perlu berzakat lagi.

#8. Membebaskan Islam Cengkaman Rom Dan Parsi

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq telah berjaya membebaskan negeri-negeri atau wilayah Islam yang berada di bawah cengkaman Rom dan Parsi. Ketika itu Islam sangat bangga dengan kekuatan panglima Khalid al-Walid yang begitu bersungguh sehingga berjaya mempertahankan kota Madinah daripada kuasa luar seperti Parsi (sebelah Timur) dan serangan Byzantine (Rom Timur) di sebelah Barat.

#9. Membahagikan Wilayah Pentadbiran

Khalifah Abu Bakar turut memudahkan pentadbiran dengan membahagikan lagi Tanah Arab kepada 10 wilayah iaitu Mekah, Taif, Yaman, Zabid, Khalwan, al-Jund, Bahrin, Jarsh, Hadhramaut dan Nijran.

Di samping itu, turut dilantik seorang amir ataupun ketua untuk mentadbir wilayah-wilayah tersebut. Amir yang juga bertindak sebagai gabenor akan merujuk serta melaporkan setiap perihal wilayah kepada khalifah, cara ini lebih memudakan pentadbiran dan pemantauan.

#10. Sistem Pengurusan Jamaah Haji

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq merupakan antara  para sahabat yang terawal digelar ‘Amirul Hajj’. Tugas Amirul Hajj adalah memimpin jemaah haji ke Mekah, mengawal keselamatan para jemaah,  membimbing  para jemaah melaksanakan urusan haji serta pelbagai lagi. Jika hari ini lebih dikenali sebagai mutawif.

#11. Memperkenalkan Sistem Gaji Tentera

Khalifah juga memperkenal bayaran gaji kepada pasukan tentera melalui wang ghanimah atau harta rampasan perang. Selain itu, diwujudkan juga undang-undang tanah seperti bayaran cukai al-kharaj atau cukai tanah dan jizyah atau cukai perlindungan terhadap orang kafir dan melindungi golongan Mawali iaitu orang bukan Arab yang beragama Islam.

 

Jemput baca artikel menarik kami yang lain seperti Sumbangan Umar al-Khattab dan Biodata Salahuddin al-ayyubi

 

Rujukan:

  • Tzkrh.com
  • Mohd Jamil Mukmin; Sejarah Perkembangan Islam; 1992
  • Prof. Dr. Ahmad Shalaby; Sejarah dan Kebudayaan Islam; 1970
  • Mustafa Hj. Daud; Pengantar Tamadun Islam; 1985
  • Acis; Tamadun Islam: Pemikiran dan Sejarah Perkembangan; 2014

 

 

 

 

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.