Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan. Salah satu elemen penting dalam penjagaan kulit muka ialah sunblock dan sunscreen. Umum tahu bahawa kedua-duanya berfungsi untuk melindungi kulit muka dari sinaran matahari, namun tahukah anda bahawa sunscreen dan sunblock mempunyai fungsi yang berbeza, walau pun nampak hampir sama. Jom kami kongsikan beza di antara sunscreen dan sunblock.

1. Fungsi sunblock dan sunscreen

Perbezaan yang pertama di antara keduanya ialah fungsi masing-masing. Untuk pengetahuan anda, sunblock berfungsi sebagai penghalang fizikal di antara kulit anda dan sinar matahari. Seperti Namanya, aa bertindak sebagai satu lapisan yang menghalang sinaran matahari daripada memasuki kulit anda. Sunblock melindungi kulit muka anda daripada sinar UVB atau nama panjangnya Short Wave Ultraviolet B.

Sinar UVB adalah sangat merbahaya kepada kulit manusia. Pendedahan kepada sinar UVB secara berterusan dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan berlakunya masalah seperti:

  • Selaran kulit atau sunburn
  • Kanser kulit
  • Kanser Melanoma
  • Kulit menjadi gelap
  • Kulit menjadi kering dan menggelupas

Sementara sunscreen pula berfungsi untuk menyerap sinaran matahari yang mengenai kulit muka anda. Apabila cahaya matahari sampai ke kulit muka, sunscreen yang anda pakai akan menyerap sinaran tersebut lalu menyelamatkan kulit muka anda. Tiadasinaran matahari yang akan memasuki kulit. Jika sunblock melindungi kulit anda daripada sinaran UVB, sunscreen pula melindungi kulit muka anda daripada sinaran UVA atau nama panjangnya Long Wave Ultraviolet A.

Sinaran UVA akan memberikan kesan yang buruk kepada kulit muka manusia. Di antara kesan buruk sinaran UVA ialah:

  • Kedutan
  • Penuaan sebelum usia
  • Jeragat
  • Kerosakan kulit untuk jangka masa yang panjang

2. Pemakaian

Perbezaan kedua di antara sunscreen dan sunblock ialah cara pemakaian. Untuk sunblock, anda cuma perlu pakai satu lapisan nipis sahaja pada kulit anda. Ambil sedikit sunblock di hujung jari, dan ratakan ke kulit muka. Lapisan sunblock yang nipis mampu melindungi kulit muka daripada sinaran UVB. Tidak perlu memakai sunblock dengan tebal.

Sementara untuk sunscreen pula, sebaiknya anda sapukan satu lapisan yang tebal di wajah terutamanya jika anda merancang untuk melakukan aktiviti luar di bawah panas matahari. Satu tips untuk anda, pastikan sunscreen meliputi satu ruas jari anda. Itu adalah jumlah sunscreen yang mencukupi untuk anda pakai.

3. Bahan kandungan

Beza sunscreen dan sunblock yang seterusnya ialah bahan kandungan yang ada di dalam kedua-duanya. Sunscreen dan sunblock dibuat daripada bahan yang berbeza memandangkan fungsi keduanya adalah berbeza. Bahan utama sunscreen ialah kompaun organik seperti:

  • Oxybenzone
  • Avobenzone
  • Octisalate
  • Octocrylene
  • Homosalate
  • Octinoxate

Sementara sunblock pula biasanya terdiri daripada dua bahan utama iaitu Zinc Oxide atau Titanium Oxide yang berfungsi untuk menghalang sinaran UVB daripada diserap oleh kulit muka anda.

4. Tekstur

Perbezaan yang seterusnya ialah tekstur keduanya. Jika anda sentuh sunblock dan sunscreen dengan tangan, pastinya anda dapat merasakan perbezaan tekstur yang ketara. Sunscreen kebiasaannya miliki tekstur yang nipis, cair, ringan dan tidak tebal apabila disentuh dengan jari. Oleh itu, sunscreen sesuai untuk dipakai setiap hari. Sebelum keluar rumah, pastikan anda memakai sunscreen sebelum bersolek.

Sementara itu, tekstur sunblock pula adalah lebih tebal dan pekat apabila disentuh dengan jari. Biasanya ia agak berminyak. Apabila anda menyapu sunblock ke muka, anda akan Nampak warna putih yang ditinggalkan oleh sunblock. Itulah sebabnya kenapa sunblock hanya perlu dipakai dalam kuantiti yang sedikit dengan sapuan yang nipis sahaja.

Sumber: Honeykidsasia

5. Kekerapan penggunaan dalam sehari

Perbezaan yang seterusnya ialah kekerapan pemakaian dalam sehari. Adakah cukup sekiranya anda hanya memakai sunscreen dan sunblock sekali sahaja pada waktu pagi, atau anda perlu memakai lagi menjelang tengah hari dan petang? Jawapannya, kekerapan penggunaan sunscreen dan sunblock adalah berbeza.

Untuk sunblock, memandangkan teksturnya tebal dan kuat, adalah memadai untuk anda pakai sekali sahaja dalam sehari. Sapuan sunblock pada waktu pagi akan kekal sehingga ke petang melainkan anda mencuci muka. Sementara bagi sunscreen pula, memandangkan teksturnya nipis dan ringan, anda perlu memakai semula sunscreen pada waktu tengah hari dan petang.

6. Kegunaan

Beza sunscreen dan sunblock yang seterusnya ialah kegunaan. Pastinya anda tertanya-tanya, bila waktu yang sesuai untuk memakai sunscreen dan bila pula perlunya anda memakai sunblock? Untuk maklumat anda, sunscreen adalah pilihan yang tepat untuk kegunaan harian. Sapukan sunscreen ke kulit wajah anda sebelum keluar rumah setiap hari.

Sementara sunblock pula perlu dipakai apabila anda merancang untuk berjemur di bawah terik matahari. Tanpa sunblock, kesan buruk pertama yang akan kulit anda alami ialah selaran matahari atau sunburn. Selain menggelupas dan kemerahan.

Tips penjagaan kulit muka

Sumber: Aerill

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsikan beberapa tips penjagaan kulit muka yang boleh anda amalkan untuk mendapatkan kulit muka yang sihat, bersih, dan cantik daripada sebarang noda. Berikut adalah tips yang boleh anda amalkan:

  • Pilih set penjagaan kulit yang semulajadi dan selamat. Biarlah anda perlu menunggu masa yang lama untuk melihat hasil pada kulit, asalkan tiada bahan kimia merbahaya yang boleh membahayakan diri anda.
  • Pastikan anda mencuci muka sehingga betul-betul bersih setiap hari agar semua kotoran hilang dari kulit muka agar tiada kotoran yang masuk ke dalam liang pori.
  • Pastikan anda tidur dengan keadaan kulit muka yang bersih setiap malam. Jangan tidur dalam keadaan masih bersolek.

Itulah dia info  tentang beza sunscreen dan sunblock yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang:

Rujukan:


1. Iflawless

2. Wanista

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.