Apabila sebut perkataan skizofrenia pastinya anda terus terfikirkan masalah gangguan mental di mana pesakit akan berhalusinasi, bercakap seorang diri, malah anda pasti akan berasa ngeri bila teringat betapa banyak kes jenayah kejam yang dilakukan oleh pesakit skizofrenia. Apakah yang dimaksudkan dengan skizofrenia? Apakah jenis, faktor, dan terapi skizofrenia?

skizofrenia
Sumber: Hmetro

Apakah yang dimaksudkan dengan skizofrenia?

Skizofrenia adalah satu jenis penyakit mental dan kecelaruan otak yang dianggap sebagai serius di mana pesakitnya akan mengalami gejala dan simptom yang jelas seperti:

  • Berhalusinasi. Pesakit skizofrenia akan mendengar suara dan melihat sesuatu yang tidak wujud. Biasanya pesakit skizofrenia akan mendengar bisikan ghaib yang menceritakan sesuatu yang tidak benar dan menyuruh pesakit melakukan perkara yang tidak normal. Sebagai contoh, dia akan mendengar bisikan bahawa isterinya curang lalu diarahkan untuk menikam isteri jahat tersebut. Malah pesakit skizofrenia akan melihat perkara yang tidak wujud, seperti melihat isterinya bermesra dengan lelaki lain.
  • Berdelusi. Pesakit skizofrenia akan mempunyai kepercayaan yang aneh dan tidak benar. Sebagai contoh, dia akan berasa seolah-olah seluruh ahli keluarga membenci dirinya dan sedang berpakat untuk membunuhnya. Oleh itu, dia perlu membunuh semua ahli keluarga terlebih dahulu sebelum dirinya dibunuh dengan kejam.
  • Sukar untuk menumpukan perhatian kepada sesuatu perkara. Pesakit skizofrenia biasanya tidak dapat menumpukan perhatian kepada sesuatu perkara dalam masa yang lama.
  • Perangai yang pelik dan berubah-ubah. Sebagai contoh, jika hari ini pesakit skizofrenia tersebut suka makan ayam goreng, keesokan harinya dia akan membenci ayam goreng.
  • Tidak mampu untuk melakukan aktiviti harian dengan sempurna seperti manusia yang normal. Pesakit skizofrenia biasanya tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri. Dia tidak mandi, tidak peduli jika rumahnya tidak terurus, malah tidak kisah jika tidak berpakaian.
  • Pertuturan sukar difahami dan tidak berkaitan dengan soalan. Apabila anda bersembang dengan pesakit skizofrenia, anda akan mendapati bahawa pertuturan mereka tidak jelas dan sukar difahami. Malah mereka tidak akan menjawab soalan dengan baik. Lain yang ditanya, lain yang dijawab.
  • Keletihan. Pesakit skizofrenia akan sentiasa berasa letih yang teramat sangat tanpa sebarang punca yang jelas. Badan akan kehilangan tenaga.
  • Apati. Pesakit skizofrenia akan berasa endah tidak endah dan hilang minat kepada sesuatu yang sepatutnya sangat penting kepada dirinya. Sebagai contoh, dia tidak lagi mengambil berat tentang anak-anak dan isteri yang merupakan manusia paling penting dalam hidupnya.
  • Kehilangan emosi. Pesakit skizofrenia tidak akan merasai sebarang emosi. Mereka tidak akan marah, sedih, atau gembira. Mereka mehjadi seperti mayat hidup yang tidak mempunyai perasaan.
  • Kesukaran untuk bersosial. Pesakit skizofrenia akan mengalami masalah untuk bergaul dengan orang sekeliling. Mereka akan memilih untuk bersendirian atau berdiam diri semasa bergaul.
  • Kesukaran untuk mendapat kerja. Pesakit skizofrenia biasanya mempunyai masalah untuk mendapat kerja disebabkan oleh simptom-simptom yang kami senaraikan di atas.
skizofrenia
Sumber: Tribunnews

Apakah jenis skizofrenia?

Terdapat beberapa jenis skizofrenia iaitu:

  • Skizofrenia Simpleks iaitu skizofrenia yang dialami semasa proses akil baligh di mana pesakit akan mula menunjukkan kecelaruan emosi.
  • Skizofrenia Hebefrenik iaitu skizofrrnia yang berlaku semasa pesakit berada dalam alam remaja iaitu dari umur 15-25 tahun.
  • Skizofrenia Katatonik iailah skizofrenia yang berlaku kepada pesakit yang berumur 18-30 tahun dan biasanya didahului oleh tekanan emosi dan stress.
  • Skizofrenia Paranoid adalah jenis skizofrenia yang menunjukkan ciri-ciri paranoid pada pesakitnya.
  • Episod Skizofrenia Akut ialah skizofrenia yang berlaku secara tiba-tiba, mendadak, dan sangat serius. Pesakit seolah-olah berada dalam alam mimpi dan berada di luar dirinya.
  • Skizofrenia Residual adalah skizofrenia yang dialami semula selepas pernah sembuh daripada penyakit tersebut.
  • Skizofrenia Skizoafektif adalah skizofrenia yang menunjukkan ciri-ciri maniak atau depresi.

Apakah faktor yang menjadi punca seseorang mendapat skizofrenia?

Terdapat beberapa punca yang menjadi penyumbang kepada seseorang untuk mengalami skizofrenia. Di antaranya ialah:

  • Penyakit keturunan. Jika ada ahli keluarga terdahulu yang mengidap skizofrenia, ketahuilah bahawa ahli keluarga yang lain mempunyai risiko sebanyak 10% untuk mewarisi penyakit tersebut.
  • Ketidak seimbangan bahan kimia dalam otak. Kajian mendapati bahawa ada pesakit skizfrenia yang mengalami ketidakseimbangan pada neurotransmitter otaknya.
  • Jangkitan virus pada otak.
  • Trauma pada bahagian kepala atau otak semasa dalam kandungan ibunya.
  • Tekanan emosi.
  • Penyalahgunaan dadah.
  • Ketagihan alkohol yang keterlaluan sehingga merosakkan otak.
Sumber: gentlemancode

Apakah terapi untuk skizofrenia?

Di Malaysia, terdapat beberapa jenis terapi yang biasanya digunakan untuk merawat skizofrenia. Di antara terapi yang biasa digunakan ialah:

  • Ubat-ubatan psikotropik. Rawatan dengan menggunakan ubatan psikotropik adalah rawatan utama untuk pesakit skizofrenia di Malaysia. Ubat ini digunakan untuk mengawal simptom skizofrenia. Ia perlu diambil setiap hari dan terus diambil walau pun pesakit kelihatan seperti sudah sembuh kerana penyakit skizofrenia berpotensi untuk berlaku semula. Kebiasaannya, pesakit yang telah sembuh dari skizofrenia perlu terus mengambil ubat sekurang-kurangnya sehingga dua tahun selepas sembuh dari penyakit tersebut.
  • Kaunseling individu. Pesakit skizofrenia akan diberikan kaunseling secara individu untuk meningkatkan jati diri dan dalam masa yang sama untuk menyembuhkan kembali keyakinan diri yang hilang.
  • Terapi Berkelompok. Bagi jenis terapi berkelompok, pesakit-pesakit skizofrenia akan dikumpulkan untuk berbincang, bersembang, dan bercerita tentang pengalaman masing-masing. Ia adalah bertujuan untuk mewujudkan sistem sokongan sesama sendiri dan dalam masa yang sama meningkatkan keyakinan diri untuk bergaul dengan orang ramai.
  • Pendidikan Kesihatan. Pesakit skizofrenia akan diajar tentang penyakit yang sedang mereka alami. Mereka akan diajar cara untuk mengenali simptom, cara mencegah, dan cara untuk melawan penyakit tersebut.
  • Terapi Keluarga. Ini adalah terapi yang diberikan kepada ahli keluarga pesakit skizofenia. Tujuannya ialah untuk menghilangkan stress yang dialami semasa tinggal bersama pesakit dan menyediakan mental mereka untuk tinggal semula dengan pesakit apabila dia sembuh suatu hari nanti.

Itulah dia info tentang skizofrenia yang ingin kami kongsikan kepada anda. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang punca kemurungan, jenis kemurungan, dan tips mengatasi kemurungan

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.