Kebanyakan resepi atau masakan terutama menu kampung menggunakan santan. Siapa sahaja yang tak gemarkan makanan bersantan? Sedap, berlemak dan menambah rasa. Buktinya anda pasti gemar memakan rendang dan aneka gulai lemak.

Di sebalik penambahan rasa pada masakan, santan mengandungi banyak khasiat dan kebaikan terhadap kesihatan. Antaranya adalah membantu mengurangkan berat badan, membantu masalah kelemumur dan gatal kulit kepala, berpotensi mencegah kanser dan lain-lain.

Santan bukan hanya ada santan cair sahaja, malah terdapat santan serbuk. Tahukah anda perbezaan antara santan segar, kotak dan serbuk ketika memasak? Anda perlu mengetahuinya kerana hal ini akan mempengaruhi tekstur dan rasa masakan anda.

Setiap masakan bersantan perlu menggunakan jenis santan yang betul untuk mendapatkan rasa yang sedap. Jom tengok perbezaan santan-santan ini dan masakan yang sesuai mengikut jenis santan.

Santan Segar

Imej via [ Keluarga.my ]

Santan segar atau lebih dikenali sebagai santan pekat mempunyai kepekatan yang lebih tinggi berbanding santan yang lain. Ramai yang membuat santan segar sendiri di rumah kerana lebih puas dan tidak banyak dicampur dengan air. Kami sertakan cara pembuatan santan segar sendiri untuk anda.

Sediakan kelapa parut dan masukkannya di dalam pengisar dan pastikan kadar air sama dengan paras kelapa parut. Sekiranya kelapa parut telah di bekukan, rendamkannya di dalam air panas terlebih dahulu sebelum mengisarnya. Hal ini bertujuan mengembangkan semula kelapa parut tersebut.

Kisar beberapa kali dan tapiskannya. Untuk mendapatkan tekstur santan yang lebih baik, tapiskannya menggunakan tapis kain. Anda juga boleh menggunakan tapis biasa. Perah atau ramas sehingga santan keluar.

Jika anda mahukan tekstur santan dengan lebih baik, tapiskan semula santan kerana masih terdapat banyak hampas yang tersisa. Simpan santan segar ini di dalam peti ais bahagian sejuk beku jika anda tidak ingin menggunakannya segera untuk mengelakkan santan basi.

Santan segar sangat sesuai untuk masakan kampung seperti gulai atau masakan berkuah yang lain kerana mempunyai tekstur yang pekat dan likat. Jika anda ingin menggunakan santan segar yang diletakkan di dalam frozen, rendamkannya di dalam air dan tunggu sehingga santan cair.

Namun berbeza jika anda ingin membuat nasi lemak atau rendang. Untuk masakan ini, anda boleh terus memasukkan santan yang masih beku ketika hendak memasak. Kebiasaannya, santan segar yang berada di pasaran dijual di dalam plastik lutsinar. Jadi mudah untuk anda tahu kepekatan santan tersebut.

Santan Kotak

santan kotak

Santan kotak memang banyak digunakan dalam pelbagai masakan kerana ianya mudah untuk didapati. Sesuai untuk yang ingin mula belajar memasak atau yang mencari jalan mudah untuk mendapatkan santan. Santan kotak juga ada yang cair dan ada yang pekat. Sebelum membelinya, pastikan anda perhatikan label dengan betul.

Kini, pelbagai jenama santan kotak dikeluarkan. Anda pasti biasa mendengar tentang santan kotak Kara, Ayam Brand, M&S, Saji dan sebagainya. Setiap jenama santan ini mempunyai tekstur, rasa dan kepekatan yang berbeza.

Anda pasti sering menyimpan lebihan santan kotak di dalam peti sejuk beku. Hati-hati jika anda ingin menggunakannya semula kerana santan tersebut akan berketul walaupun sudah sebati dalam masakan sehingga tekstur makanan menjadi kurang cantik.

Untuk mengatasi masalah ini, anda perlulah mengisar semula santan beku ini bersama air panas. Anggaran air panas mengikut kepekatan yang anda inginkan. Kisarlah sehingga santan tidak lagi berketul dan teksturnya seperti santan biasa.

Santan Serbuk

Imej via [ Boss Goo ]

Pasti ada dalam kalangan anda yang suka masak menggunakan santan serbuk. Antara sebab ramai yang menggunakan santan ini adalah santan serbuk mudah untuk disimpan, murah, tahan lama dan berkrim. Antara jenama santan serbuk terkenal adalah Enak, S&P dan sebagainya.

Santan serbuk sebenarnya sedap di gunakan untuk memasak pencuci mulut seperti agar-agar, kek dan puding yang memerlukan santan. Tak hairanlah jika ada yang menggunakan santan serbuk untuk menggantikan penggunaan susu dalam masakan ini.

Jika untuk masakan lain, santan serbuk dikatakan lebih sedap digunakan untuk memasak nasi lemak kerana lebih lemak berkrim dan aromanya lebih menyerlah.

Terdapat dua cara menggunakan santan serbuk. Cara pertama adalah anda boleh memasukkan terus santan terus dalam masakan. Cara kedua adalah gaulkan santan dengan sedikit air terlebih dahulu sebelum campurkan dalam masakan.

Buat pengetahuan anda, santan serbuk pilihan dan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah masakan yang tercair. Campur sahaja serbuk santan ke dalam masakan atau gaulkannya terlebih dahulu dengan sedikit kuah yang dimasak.

Kesimpulannya, proses permulaan untuk mendapatkan santan memang sama. Tetapi proses seterusnya berubah mengikut tekstur, ketahanan dan jenis masakan.

Dah faham perbezaan santan segar, kotak dan serbuk? Mudahlah anda menyesuaikan santan dengan jenis masakan selepas ini. Jom masak rendang, kari dan gulai lemak tanpa ragu-ragu! Artikel ini ditulis berdasarkan pemerhatian penulis sahaja. Jika anda mempunyai cadangan atau informasi lain, kongsikannya bersama kami!

Jom baca artikel kami yang lain seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.