Sudah bersedia untuk kahwin? Tahu rukun nikah?

Pengertian Nikah

Menurut bahasa nikah bermaksud menghimpun atau mengumpulkan. Sedangkan menurut istilah syara’ nikah adalah suatu ‘aqad yang menghalalkan seorang lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim untuk bersatu menjadi suami isteri dengan ucapan ijab dan qabul yang disaksikan oleh beberapa orang saksi dan wali dengan syarat dan ketentuan-ketentuan yang telah ditetapkan oleh hukum syara’.

Pernikahan ini dilakukan dengan tujuan untuk membina sebuah rumah tangga yang bahagia berdasarkan tuntunan Allah swt dan mengikuti sunnah Rasulullah saw.

 

Hukum Bernikah

Pada dasarnya hukum bernikah adalah sunnah muakkad iaitu sunnah yang sangat-sangat dianjurkan oleh Rasulullah saw. Namun hukum ini boleh berubah sesuai dengan keadaan dan niat seseorang.

Jika seseorang menikah dengan niat untuk menjauhi dari perzinahan, maka hukumnya sunat. Akan tetapi, jika diniatkan untuk sesuatu yang buruk, maka hukumnya menjadi makruh, bahkan haram.

Hal ini sesuai dengan firman Allah swt dalam al-Quran surah Ar-Rum ayat 21 yang berbunyi:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya, “Dan diantara tanda-tanda kebesaranNya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang.  Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” (Surah ar-Rum, Ayat 21).

isteri salam

Imej via thewalimah

Manakala, dalam Al-Qur’an Surah Ar-Ra’du ayat 38 Allah swt berfirman:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِنْ قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ وَمَا كَانَ لِرَسُولٍ أَنْ يَأْتِيَ بِآيَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ لِكُلِّ أَجَلٍ كِتَابٌ

Maksudnya, “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan. Dan tidak ada hak bagi seorang Rasul mendatangkan sesuatu ayat (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Bagi tiap-tiap masa ada Kitab (yang tertentu).” (Surah ar-Ra’du, Ayat 38)

 

Aqad Nikah

Dalam aqad nikah ada beberapa rukun, syarat dan kewajiban yang harus dipenuhi.

  • Rukun Nikah

1) Pengantin lelaki (Suami)

2) Pengantin perempuan (Isteri)

3) Wali

4) Dua orang saksi lelaki

5) Ijab dan kabul (akad nikah)

 

  • Syarat Sah Nikah

1) Syarat Bakal Suami

  • Islam
  • Lelaki yang tertentu
  • Bukan lelaki mahram dengan bakal isteri
  • Mengetahui wali yang sebenar bagi akad nikah tersebut
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah
  • Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
  • Tidak mempunyai empat orang isteri yang sah dalam satu masa
  • Mengetahui bahawa perempuan yang hendak dikahwini adalah sah dijadikan isteri

 

2) Syarat Bakal Isteri

  • Islam
  • Perempuan yang tertentu
  • Bukan perempuan mahram dengan bakal suami
  • Bukan seorang khunsa
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah
  • Tidak dalam idah
  • Bukan isteri orang

 

3) Syarat Wali

  • Islam, bukan kafir dan murtad
  • Lelaki dan bukannya perempuan
  • Baligh
  • Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah
  • Tidak fasik
  • Tidak cacat akal fikiran,gila, terlalu tua dan sebagainya
  • Merdeka
  • Tidak ditahan kuasanya daripada membelanjakan hartanya

Islam mensyaratkan adanya wali bagi wanita sebagai penghormatan bagi wanita, memuliakan dan menjaga masa depan mereka. Walinya lebih mengetahui daripada wanita tersebut. Jadi bagi wanita, wajib ada wali yang membimbing urusannya, menguruskan aqad nikahnya. Tidak boleh bagi seorang wanita menikah tanpa wali, hal ini akan menyebabkan perkahwinan menjadi tidak sah. Rasulullah saw bersabda:

لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ

Maksudnya, “Tidak sah nikah melainkan dengan wali.” (HR Abu Daud, at-Tirmizi, Ibnu Majah & Ahmad)

Imam Syafie berkata, “Siapa pun wanita yang menikah tanpa izin walinya, maka tidak ada nikah baginya (tidak sah). Kerana Nabi saw bersabda, ‘Maka nikahnya batil (tidak sah).’”

wali

Imej via bicarawanita

Yang dikatakan wali adalah orang yang paling dekat dengan pengantin wanita. Dan orang paling berhak untuk menikahkan wanita merdeka adalah ayahnya, lalu datuknyanya, dan seterusnya ke atas. Boleh juga anaknya dan cucunya, kemudian saudara seayah seibu, kemudian saudara seayah, kemudian pakciknya.

Ibnu Baththal berkata, “Mereka (para ulama) ikhtilaf tentang wali. Jumhur ulama di antaranya adalah Imam Malik, ats-Tsauri, al-Laits, Imam asy-Syafi’i, dan selainnya berkata, “Wali dalam pernikahan adalah ‘ashabah (dari pihak bapa), sedangkan pakcik dari saudara ibu, ayahnya ibu, dan saudara-saudara dari pihak ibu tidak memiliki hak wali.”

 

5) Syarat-syarat Saksi

  • Sekurang-kurangya dua orang
  • Islam
  • Berakal
  • Baligh
  • Lelaki
  • Memahami kandungan lafaz ijab dan qabul
  • Dapat mendengar, melihat dan bercakap
  • Adil (Tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil)
  • Merdeka

Nabi saw sabda,

لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ وَشَاهِدَى عَدْلٍ

Maksudnya, “Tidak sah nikah kecuali dengan adanya wali dan dua saksi yang adil.” (HR Ibnu Hibban & al-Baihaqi)

 

5) Syarat Ijab

  • Pernikahan nikah ini hendaklah tepat
  • Tidak boleh menggunakan perkataan sindiran
  • Diucapkan oleh wali atau wakilnya
  • Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah (nikah kontrak)
  • Tidak secara taklik (tiada sebutan prasyarat sewaktu ijab dilafazkan)
nikah

Imej via islamidia

Bacaan ijab perlu menyebutkan secara pasti individu pasangan yang dinikahkan, bukan dengan ungkapan yang membuat ragu. Tidak boleh wali nikah hanya mengatakan: “Aku nikahkan engkau dengan anak saya.” Sedangkan dia memiliki ramai anak. Harus disebutkan secara tepat dan pasti anaknya yang mana yang dia nikahkan, dengan menyebutkan namanya.

Contoh bacaan Ijab: Wali/wakil Wali berkata kepada bakal suami: “Aku nikahkan/kahwinkan engkau dengan Aisyah Binti Abdullah dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai”.

 

6) Syarat Qabul

  • Ucapan mestilah sesuai dengan ucapan ijab
  • Tiada perkataan sindiran
  • Dilafazkan oleh bakal suami atau wakilnya (atas sebab-sebab tertentu)
  • Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(seperti nikah kontrak)
  • Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu qabul dilafazkan)
  • Menyebut nama bakal isteri
  • Tidak diselangi dengan perkataan lain

Contoh sebutan qabul (akan dilafazkan oleh bakal suami): “Aku terima nikah/perkahwinanku dengan Aisyah Binti Abdullah dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai” atau “Aku terima Aisyah Binti Abdullah sebagai isteriku”.

Kesimpulan

Proses perkahwinan dalam Islam tidaklah rumit dan menyusahkan. Yang paling penting adalah keizinan wali dan persetujuan dari kedua-dua pengantin. Setiap pasangan pasti inginkan perkahwinan yang diberkati dan berkekalan. Oleh itu, peliharalah ikatan ini dari awal saat diijab kabulkan daripada unsur-unsur yang tidak baik. Mudah-mudahan rumah tangga yang dibina bahagia sehingga ke syurga.

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Rukun Nikah yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

Rujukan:

  1. Akidah Islam
  2. Wikipedia
  3. Al-Manhaj
  4. Inasukarno
  5. Muslimah
  6. Rumaysho

 

 

 

 

 

 

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.