Resort Pulau Pangkor di tepi pantai menjadi penginapan pilihan ramai ketika bercuti. Pulau Pangkor merupakan destinasi percutian yang tidak pernah lekang dengan pengunjung sehinggakan menjadi salah satu tempat pelancongan utama di Malaysia.

Terletak di Perak, Pulau Pangkor menjadi pulau yang bebas cukai. Apa yang menariknya di Pulau Pangkor? Pulau Pangkor bukan sahaja mempunyai laut jernih dan pasir pantai yang putih dan cantik, malah kaya dengan sumber lautnya.

Banyak aktiviti air yang boleh dilakukan di sini termasuklah menjelajah pulau, snorkelling, berlayar dan sebagainya. Pulau Pangkor juga terkenal dengan makanan laut yang segar dan sedap. Antara menu yang popular di Pulau Pangkor adalah Laksa Mi yang hanya boleh didapati di sini sahaja.

Berbalik kepada tajuk, pasti ada yang mencari penginapan di Pulau Pangkor yang berhampiran pantai. Mempunyai penginapan yang berhadapan laut menjadi impian ramai orang lebih-lebih lagi buat yang ingin bebas dari hiruk-pikuk kota.

Buat yang pertama kali ingin ke pulau ini, teruskan membaca kerana kami sertakan beberapa tips dan info yang perlu anda tahu. Berikut merupakan senarai resort Pulau Pangkor di tepi pantai yang boleh anda kunjungi:

Alun Retreat

Imej via Alun Retreat

Alun Retreat adalah resort Pulau Pangkor yang terkenal dengan penginapannya yang unik dan berada betul-betul berhampiran pantai. Penginapan ini berkonsepkan kontena yang minimalist dan moden, penuh dengan kemudahan dan tarikan yang mempersona.

Alun Retreat menawarkan enam jenis penginapan atau bilik dan keseluruhannya mempunyai 18 unit. Hanya perlu berjalan beberapa langkah sahaja untuk sampai ke laut.

Harga serendah RM 275 untuk 2 orang. Harga berbeza mengikut jenis bilik dan tarikh penginapan. Yang penting harga sangat berbaloi dengan permandangan yang memukau serta setiap pakej termasuk sarapan.

Resort ini milik persendirian dimana jika anda menempah di sini, hanya penginap sahaja yang berada di pantai tersebut. Ini bermakna penginap tidak perlu bersesak di pantai dan rasa lebih privasi.

Alamat: Jalan Pasir Bogak, 32300 Pulau Pangkor, Perak

Pangkor Village Beach Resort

Terletak di Pasir Bogak, Pangkor Village Beach Resort turut popular dengan penginapan berhampiran pantai. Kira-kira 10 minit dari Jeti Pangkor, resort mudah diakses dan berdekatan dengan kedai makan.

Pangkor Village Beach Resort menawarkan 5 jenis bilik dengan harga bermula RM 235. Setiap pakej bilik termasuk dengan sarapan. Paling best, pilihan menu untuk sarapan memang banyak walaupun anda datang bukan pada hujung minggu atau cuti sekolah.

Antara yang menarik di sini adalah kolam renang berada berhadapan dengan laut. Pantai di sini juga tidak sesak dan khas untuk penginap sahaja.

Alamat: Pasir Bogak, 32300 Pangkor Island, Perak

Puteri Bayu Beach Resort

Satu lagi resort yang terletak di Pasir Bogak adalah Puteri Bayu Beach Resort. Resort yang dahulunya dikenali sebagai Sri Bayu ini mempunyai enam jenis bilik yang terdiri daripada chalet, hotel dan villa.

Banyak kemudahan bilik dan resort disediakan buat penginap. Jika malas mencari tempat makan yang lain, anda boleh ke Bayu Coffeehouse yang terletak di perkarangan resort sahaja yang dibuka seawal 7.30 pagi hingga 11.00 malam. Restoran ini menyediakan makanan tempatan hinggalah ke menu antarabangsa.

Menginap di sini pasti memberikan keseronokan untuk seisi keluarga kerana ada halaman yang luas untuk bermain serta kolam renang yang sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa. Kolam turut berada berhadapan laut.

Nak lebih berbaloi, tempah bersama pakej penginapan seperti pakej 2 hari 1 malam, pakej berbulan madu dan pakej santai.

Alamat: Pantai Pasir Bogak, 32300 Pulau Pangkor, Perak

Vagary Pangkor

Imej via Vagary Pangkor

Ada yang mencari resort Pulau Pangkor berhampiran pantai yang terletak di Teluk Nipah? Anda boleh menempah bilik di Vagary Pangkor yang mempunyai dekorasi luaran dan dalaman resort yang cantik, ala-ala Santorini. Banyak spot yang membolehkan pengunjung bergambar dengan puas.

Penginapan di Vagary Pangkor antara penginapan berhadapan laut yang murah di Pangkor. Bukan itu sahaja, ia berdekatan dengan kedai runcit dan restoran. Setiap bilik mempunyai katil, pendingin hawa, tandas dengan water heater, televisyen dan sebagainya.

Proses pendaftaran juga mudah dimana pengunjung boleh self check-in setelah menempah bilik secara dalam talian. Apa yang lebih menarik, mereka menawarkan penginapan secara percuma buat sesiapa yang mempunyai bakat melukis mural untuk melukis di sini.

Alamat: 4464, Teluk Nipah, 32300 Pulau Pangkor, Perak

Pangkor Bus Resort

Pangkor Bus Resort menawarkan penginapan yang unik dan luar biasa. Penginap boleh rasai pengalaman menginap di sebuah bas dan lebih menarik ianya berada di tepi pantai! Tengok luaran bas seperti biasa-biasa sahaja namun dalamannya memang cantik dan selesa. Setiap bas disediakan katil, sofa, meja makan, televisyen dan peti ais.

Pantai di sini juga tidak sesak dengan ramai orang. Jadi, jika anda mahukan penginapan yang sedikit tenang dan privasi, boleh terus menempah di Kota Mas Bus Resort. Satu lagi kelebihan menginap di sini, pihak Pangkor Bus Resort akan menyediakan kemudahan untuk beberapa aktiviti pantai seperti jet ski, kayak dan bot jika mendapat permintaan dari penginap.

Alamat: Jalan Pantai Teluk Dalam, Pulau Pangkor, Perak

Pangkor Laut Resort

Pangkor Laut Resort merupakan salah satu resort terkemuka di Pulau Pangkor, lengkap dengan tarikan dan kemudahan yang eksklusif. Bukan itu sahaja, pemandangan di sini cukup memukau dengan alam flora yang subur, pantai yang bersih dan laut yang membiru.

Resort mewah ini menawarkan dua jenis penginapan iaitu Villa dan The Estate. Ada penginapan yang berada dikelilingi alam semula jadi yang menghijau, ada yang berada di bukit dan ada juga yang berada terapung di atas air.

Setiap bilik mempunyai kemudahan asas termasuklah katil dan tilam yang empuk, meja, balkoni, bathtub, mini bar, Wi-Fi dan lain-lain. Selain itu, penginap boleh memanjakan diri di spa, mengikuti aktiviti snorkeling, jungle trekking, memancing, menjelajah pulau dan pelbagai lagi aktiviti menarik yang pasti tidak membosankan percutian anda.

Alamat: Pangkor Laut Island Pangkor Laut, 32200 Lumut, Perak

D’Senja Beach Resort

D’Senja Beach Resort juga merupakan resort Pulau Pangkor berhadapan dengan laut. Resort di sini berkonsepkan chalet dan sesuai untuk mereka yang ingin mengadakan hari keluarga.

Ruang pantai yang luas sesuai untuk mengadakan aktiviti bersama keluarga. Bukan itu sahaja, ramai yang ke sini bersama keluarga untuk memancing, bermandi-manda dengan air laut yang jernih dan aktiviti laut yang lain.

Alamat: Jalan Pasir Bogak, 32300, Perak

Sea View Hotel & Holiday Resort

Terletak kira-kira 2KM dari Jeti Pangkor, Sea View Resort & Hotel berada di Pasir Bogak. Terdapat lima pilihan bilik yang terdiri daripada chalet serendah RM 160 untuk satu malam.

Setiap bilik dilengkapi kemudahan asas seperti pendingin hawa, Wi-Fi, water heater dan sebagainya. Paling penting, ada kolam renang yang sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa.

Menginap di sini memudahkan penginap untuk mencari tempat makan dan kedai runcit berdekatan dengan hanya berjalan kaki. Bukan itu sahaja, anda boleh menuju ke Kilang Satay Ikan dan Pantai Pasir Bogak.

Alamat: Jalan Pasir Bogak, Pekan Pangkor, 32300 Pulau Pangkor, Perak

Casuarina Pangkor

Casuarina Pangkor terletak di Teluk Dalam. Lebih menarik, ada penginapan yang berada terapung di atas air. Buka sahaja tingkap, anda boleh melihat permandangan laut yang luas terbentang.

Sebaik sahaja sampai ke resort ini, penginap akan disajikan ‘welcome drink’, persis di hotel mewah. Antara kemudahan istimewa yang disediakan termasuklah kolam renang, spa dan gym. Ramai yang menginap di sini untuk mendapatkan suasana yang agak privacy memandangkan resort ini terletak sedikit jauh dari lokasi lain.

Alamat:  Jalan Rpa Pangkor 3, Taman Desa Pangkor, 32300 Pulau Pangkor, Perak

Anjungan Beach Resort

Anjungan Beach Resort merupakan resort Pulau Pangkor yang turut menjadi pilihan ramai kerana kedudukannya yang strategik. Paling menarik, ia terletak bersebelahan Pantai Teluk Nipah, yang menjadi salah satu tumpuan ramai untuk melakukan segala aktiviti pantai.

Bukan itu sahaja, menginap di Anjungan Beach Resort memudahkan pengunjung untuk mengakses banyak kedai makan dan kedai runcit dengan hanya berjalan kaki. Pengunjung boleh ke Pantai Coral dengan berjalan kaki lebih kurang 5 minit.

Ada lima jenis bilik dengan harga yang sangat berbaloi dan rata-ratanya RM 200 ke atas untuk satu malam. Setiap bilik lengkap dengan pendingin hawa, televisyen, bar mini, water heater dan sebagainya.

Salah satu tarikan di resort ini adalah kolam renang yang berbentuk bot. Kolam ini sesuai untuk aktiviti bermandi-manda sama ada dewasa mahupun kanak-kanak.

Alamat: 6610 Nipah Bay, 32300 Pangkor Island

Info Pulau Pangkor

  1. Terdapat dua jeti yang boleh membawa pengunjung ke Pulau Pangkor menaiki feri iaitu Jeti Lumut dan Jeti Marina. Kadar parkir kenderaan di Jeti Lumut lebih murah berbanding Jeti Marina.
  2. Layari PangkorFerry.com untuk melihat harga tiket dan jadual pengangkutan feri terkini.
  3. Tiket feri adalah termasuk tiket untuk pergi dan balik. Simpan tiket sebaiknya untuk kemudahan sewaktu menaiki feri.
  4. Pengangkutan utama buat pelancong di pulau ini adalah kereta, motosikal dan van. Lebih baik untuk anda menyewa kereta atau motosikal untuk memudahkan pergerakan ke tempat yang ingin dituju. Namun jika malas memandu, anda boleh menyewa perkhidmatan ‘teksi van pink’ yang disertakan dengan pemandu.
  5. Jika mahu melakukan aktiviti air seperti snorkeling, jelajah pulau dan bermain ski, buat tempahan secara dalam talian terutama ketika cuti umum dan hujung minggu.

Dah jumpa resort Pulau Pangkor berhampiran pantai yang sesuai dengan percutian anda? Buat tempahan segera kerana lazimnya penginapan ini akan dipenuhi pengunjung dan menjadi penginapan terlaris lebih-lebih lagi pada cuti sekolah dan cuti umum.

Ramai yang menginginkan penginapan yang berhadapan pantai kerana permandangannya yang memukau dan luar biasa. Nak lakukan aktiviti air seperti bermain bola pantai, bermain layang-layang, bermandi manda dan berkelah juga mudah. Buat yang mempunyai anak-anak kecil, mudah untuk anda mengawasi mereka dari perkarangan bilik sahaja.

Baca juga tempat menarik di Pulau Pangkor untuk memudahkan perjalanan anda di sini. Alang-alang berada di Pulau Pangkor, kunjungi juga tempat menarik Lumut.

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.