Sebagai seorang yang beragama islam, pastinya tujuan utama hidup kita adalah untuk mendapat keredhaan Allah serta berjaya di dunia dan akhirat. Kejayaan di akhirat bermaksud tergolong dalam golongan yang dirahmati Allah, mendapat syafaat Nabi Muhammad dan dimasukkan ke dalam syurga. Lagi baik jika dimasukkan ke syurga tanpa hisab. Apa lagi yang diharapkan selain ini semua?

Namun seperti yang kita semua serba maklum, syurga amat mahal harganya dan tidak mudah untuk diperolehi. Oleh itu sama-samalah kita berusaha untuk menjadi seorang muslim yang baik agar dijauhi dari dosa dan api neraka. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan info tentang ciri-ciri remaja yang disukai oleh Allah dan dijanjikan syurga sebagai panduan kita bersama.

remaja disukai allah

Sumber: Mediaumat

Menjadikan islam sebagai cara hidup

Ciri remaja yang disukai oleh Allah yang pertama ingin kami kongsikan ialah seseorang yang menjadikan islam sebagai cara hidup. Apakah yang dimaksudkan dengan islam sebagai cara hidup? Ia bermaksud kita hidup dengan mengikut apa yang diajar oleh islam di dalam Al-Quran, hadith dan sunnah. Lakukan apa yang diwajibkan dan jauhkan dari daripada segala perkara yang diharamkan.

Jika kita menjadikan islam sebagai cara hidup, kita akan sentiasa berhati-hati dalam menjalani aktiviti harian dan berwaspada agar tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah. Mereka yang menjadikan islam sebagai cara hidup dijanjikan oleh Allah untuk mendapat kejayaan di dunia dan juga akhirat.

Apabila seseorang remaja menjadikan islam sebagai gaya hidup, dia tidak akan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan terjebak dengan gejala buruk seperti merempit, seks bebas, dan sebagainya. Malah dia akan menjadi seorang yang berakhlak dan berbudi pekerti mulia lalu menjadi kebanggan kedua ibu dan bapa.

Beribadat dengan merindui syurga

Ciri remaja yang disukai oleh Allah yang seterusnya ialah dia selalu beribadat kepada Allah dengan merindui syurga. Segala amal ibadah yang dilakukan adalah untuk mendapat keredhaan Allah dan tidak putus-putus meminta keampuan di atas segala dosa yang dilakukan. Pada masa remaja lain sedang leka dengan hiburan yang tidak berkesudahan, dia memilih untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah.

Anak soleh dan solehah

Allah sangat sayang kepada remaja yang merupakan anak soleh dan solehah yang mentaati kedua ibu bapa. Anak yang soleh tidak akan melukakan hati kedua ibu bapanya dengan melakukan perkara yang salah dan membawa kesan buruk kepada diri sendiri. Mereka juga akan sentiasa menghormati kedua ibu bapa. Apabila seorang anak mempunyai rasa hormat kepada kedua ibu bapanya, mereka tidak akan melakukan perkara yang boleh menconteng arang kedua ibu bapa dan menjejaskan nama baik kedua.

Anak yang soleh dan solehah bukan sahaja akan disayangi oleh Allah malah akan membantu menarik kedua ibu bapanya untuk masuk ke syurga semasa di padang mahsyar nanti. Itulah sebabnya kenapa anak yang soleh dan solehah adalah sangat berharga dan menjadi dambaan setiap ibu bapa.

remaja disukai allah

Sumber: Remaja

Menjaga aurat

Allah sukakan remaja yang sentiasa menjaga aurat tak kira di masa sahaja dia berada. Menutup aurat adalah di antara kewajipan dalam islam yang selalu dipandang ringan oleh golongan remaja. Malah ada yang menganggap menutup aurat sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman dan tidak up to date. Mereka yang menutup aurat dengan sempurna diketawakan dan dipandang sinis sedangkan mereka terlupa bahawa menutup aurat dengan sempurna adalah perintah dari Allah.

Aurat bagi seorang lelaki ialah dari pusat sehingga lututnya manakal aurat bagi seorang perempuan ialah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Seorang perempuan juga dikehendaki untuk memakai pakaian yang longgar dan tidak menunjukkan bentuk tubuh badan. Pakaian yang jarang dan terbelah juga adalah tidak mengikut piawai islam.

Menjaga batas pergaulan

Remaja yang disukai oleh Allah juga merupakan mereka yang menjaga batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Semasa di sekolah atau di universiti pastinya kita tidak dapat mengelakkan daripada berhubung dan bercampur-gaul dengan mereka yang berlawanan jenis. Namun pastikan bahawa kita bergaul sambil menjaga batas pergaulan seperti yang diajar oleh islam.

Begitu juga apabila kita mula berpasangan. Jaga batas pergaulan kerana haram hukumnya seorang lelaki dan perempuan yang bukan mahram untuk berdua-duaan dan bersentuhan. Jauhi perkara yang boleh membawa ke lembah zina. Ini kerana zina adalah di antara dosa besar yang sangat dilarang dalam islam.

Berbuat baik kepada semua orang

Cirri remaja yang disukai Allah yang terakhir ialah sentiasa berbuat baik kepada semua orang. Allah sukakan hambanya yang berbuat baik sesama manusia. Malah islam menyarankan kita untuk berbuat baik kepada makhluk Allah yang lain seperti binatang dan tumbuhan. Bagaimana cara untuk berbuat baik sesama manusia? Caranya mudah sahaja. Layan orang lain seperti mana kita mahu dilayan.

Kalau kita tak suka dikhianati, usah khianati orang lain. Kalau kita tak suka ditipu, jangan menipu orang lain. Begitu juga kalau berjanji, sebagai mana kita tidak suka janji dimungkiri, begitu juga orang lain. Mudah sahaja kan? Sebelum melakukan perkara buruk kepada orang lain fikirkan dulu bagaimana perasaan kalau kita yang terkena?

remaja disukai allah

Sumber: Gotongroyong

Itulah dia perkongsian ramaja yang disukai Allah yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang nama anak lelaki Islam dan didikan cara didik anak perempuan

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.