Memiliki anak ialah impian semua pasangan yang sudah berkahwin. Bukanlah sesuatu yang menghairankan, jika pasangan hamil dalam jangka waktu yang cepat. Mereka tak perlu tunggu lama. Ada yang dimurahkan rezeki dengan hamil ‘bunting pelamin.’

Kelahiran anak pertama dan seterusnya sentiasa ditunggu-tunggu oleh semua orang tak kira pasangan, ahli keluarga dan saudara-mara. Masyarakat beranggapan bahawa anaklah yang bakal menjadi penyeri rumah tangga. Anak juga merupakan pewaris keturunan, harta dan sebagainya.

Namun, ada yang terpaksa menunggu sehingga sepuluh tahun lebih sebelum dapat anak pertama. Ada pula yang langsung tidak dapat menikmati anugerah berharga itu. Apakah sebab berlakunya keadaan ini?

Bagi pasangan yang diuji dengan kesukaran untuk mendapat anak, pelbagai rawatan dilakukan sama ada secara tradisional dan moden. Malah, bukan sedikit kos yang dikeluarkan untuk tujuan rawatan tersebut. Ada yang berjaya, ada juga yang gagal.

Masalah Ketidaksuburan

Salah satu sebab berlakunya masalah ini ialah faktor ketidaksuburan sama ada salah seorang atau kedua-dua pasangan. Menurut konteks perubatan, ketidaksuburan ialah kegagalan untuk hamil selepas melakukan hubungan seks tanpa perlindungan secara tetap selama setahun.

Terdapat beberapa sebab berlakunya ketidaksuburan, iaitu:

  1. Umur yang lanjut
  2. Tekanan dan stres
  3. Berat badan yang (BMI kurang atau berlebihan)
  4. Merokok
  5. Pengambilan alkohol
  6. Penyakit seperti polycystic ovary syndrome (PCOS), diabetes dan sebagainya
  7. Kualiti sperma yang rendah

Jangan salahkan isteri jika anda berhadapan dengan masalah kesukaran mendapat anak. Kajian mendapati bahawa peratus untuk menghadapi masalah ini ialah sama iaitu 50 peratus bagi suami dan isteri.

Oleh itu, pasangan perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan selepas 2 tahun gagal memperoleh cahaya mata. Jika terlewat mendapatkan rawatan, dikhuatiri kadar kesuburan bagi wanita akan menurun dan lebih sukar untuk memperoleh anak.

Salah satu rawatan yang boleh dicuba oleh pasangan yang merancang untuk mendapatkan anak ialah melalui kaedah Persenyawaan In Vitro (IVF). IVF juga dikenali sebagai bayi tabung uji iaitu teknologi bantuan reproduktif.

Apa Itu IVF?

IVF membantu pasangan yang mengalami masalah kesuburan melalui proses persenyawaan ovum oleh sperma di luar badan manusia. Kaedah ini dilakukan selepas teknik bantuan reproduktif yang lain gagal.

Biasanya IVF akan disyorkan oleh pakar sakit puan selepas teknik bantuan rawatan IUI gagal. Bagi wanita yang sudah berusaha untuk mendapatkan anak selama 2 tahun, kaedah ini boleh dicuba.

Bagaimana Kaedah IVF Dilakukan?

Menurut laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beberapa langkah akan dilakukan oleh doktor bertauliah. Mula-mula sekali, ovari akan dirangsang (hiperstimulasi) untuk menghasilkan folikel yang banyak.

Proses ini bergantung pada umur, protokol dan dos hormon (FSH) yang diberikan. FSH yang disuntik ini akan dipantau secara berkala termasuk pemantauan perkembangan folikel sehingga hari ke-10 suntikan diberi.

Kemudian, suntikan Human Chorionic Gonadotropin (hCG) akan diberikan kepada pesakit. Fungsi suntikan ini ialah untuk membantu mematangkan ovum. Selepas 34 hingga 36 jam suntikan hCG diberikan, ovum akan diambil.

Kemudian, sperma yang berkualiti akan diambil daripada pasangan anda. Ovum dan sperma tersebut akan disenyawakan di dalam makmal. Seterusnya, embrio (janin) yang terbentuk akan dimasukkan ke dalam rahim melalui faraj.

Usia dan bilangan embrio yang akan dipindahkan ke dalam rahim bergantung kepada bilangan embrio yang berkualiti, umur wanita dan faktor kesihatan.

Ubat-ubatan akan diberikan untuk menguatkan rahim sehingga hari ujian kehamilan dijalankan. Ujian ini akan diberikan selepas 2 minggu pemindahan embrio ke dalam rahim dilakukan.

Info Yang Perlu Anda Tahu Tentang IVF

Terdapat beberapa perkara yang perlu anda tahu sebelum dan selepas kaedah IVF dijalankan. Antaranya ialah:

  1. Jangka masa prosedur untuk proses mengeluarkan ovum dari ovari ialah selama 30 minit.
  2. Anda perlulah berpuasa sebelum prosedur IVF dijalankan iaitu tidak boleh makan dan minum.
  3. Ubat bius (anestesia) akan diberikan untuk menenangkan dan mengurangkan rasa sakit.
  4. Keseluruhan prosedur hanya mengambil masa lebih kurang 3 jam saja dan anda tak perlu bermalam di hospital.
  5. Risiko dan komplikasi prosedur IVF sangat rendah. Kemungkinan anda berasa tidak selesa atau kembung perut.
  6. Jangka masa pemulihan mungkin 30 minit hingga 1 jam selepas rawatan diterima. Namun, anda dilarang sama sekali untuk memandu kenderaan dan bersenam dalam tempoh 48 jam selepas prosedur IVF.
  7. Pasangan yang membuat kaedah IVF perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk kejayaan prosedur ini.

Faktor Kejayaan IVF

Kejayaan prosedur IVF memerlukan ovum yang sihat dan berkualiti, sperma yang mampu mensenyawakan ovum dan rahim yang mampu meneruskan kehamilan.

Malahan, faktor utama yang menyumbang kandungan dan kadar kehamilan melalui prosedur IVF ialah umur wanita. Umur yang paling baik untuk prosedur ini ialah 23 hingga 42 tahun.

Faktor Kegagalan IVF

Terdapat beberapa sebab yang mengakibatkan prosedur IVF boleh gagal iaitu wanita yang tak dapat menangani stres. Wanita yang melalui prosedur IVF akan cenderung untuk murung dan mengalami tekanan. Ini akan mengganggu kestabilan hormon.

Faktor-faktor lain ialah masalah kesihatan seperti diabetes dan tekanan darah tinggi, merokok, kualiti sperma yang rendah, BMI yang tak normal dan sebagainya.

Komplikasi Prosedur IVF

Seperti mana rawatan kehamilan yang lain, IVF juga mempunyai kebarangkalian untuk berlaku komplikasi. Antaranya:

  1. Disebabkan embrio yang akan dipindahkan ke dalam rahim akan lebih daripada satu, kemungkinan akan menyebabkan kehamilan kembar. Namun, kehamilan kembar ini tidak semestinya akan berjaya. Kadangkala, ia berkait dengan risiko lain seperti keguguran, bayi pramatang dan komplikasi obstetrik.
  2. Terdapat juga faktor yang menyumbang kepada kecacatan kepada kelahiran seperti umur ibu, keturunan, genetik dan persekitaran.

Rawatan IVF di Malaysia

Terdapat lebih 35 premis yang menyediakan perkhidmatan rawatan IVF di Malaysia. Bagi hospital kerajaan hanya terdapat 4 buah hospital sahaja yang menyediakan rawatan ini, iaitu:

  1. Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar
  2. Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu
  3. Hospital Kuala Lumpur
  4. Hospital Likas, Sabah

Manakala, selebihnya ialah hospital dan klinik swasta. Antaranya ialah:

  1. Pusat Pakar Wanita dan Bayi Tabung Mahkota
  2. Klinik Pakar Wanita Dr Rabin
  3. Ever Link Fertility Centre
  4. Klinik Pakar Wanita Dr Sharifah
  5. Oriental Hospital Melaka Straits (OMSMC)
  6. Fertility Associates

Kos Rawatan IVF di Malaysia

Seperti yang kita sedia maklum, kos untuk prosedur IVF bukanlah murah. Namun begitu, kos IVF di hospital kerajaan lebih murah berbanding di hospital swasta disebabkan subsidi ubat-ubatan oleh kerajaan.

Anggaran kos rawatan di hospital kerajaan ialah dalam RM 5,000 hingga RM 10,000. Namun, anda perlu menunggu giliran sehingga hampir setahun. Malahan, ada beberapa syarat yang dikenakan untuk membuat prosedur IVF di hospital kerajaan, anda dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terlebih dahulu.

Manakala, di hospital swasta, bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM 14,000 hingga RM 20,000 bergantung pada usia wanita tersebut. Ini kerana keperluan dos ubat meningkat mengikut keupayaan umur. Namun, permohonan IVF di hospital swasta lebih mudah.

Cara Mohon Rawatan IVF di Hospital Kerajaan

  1. Pergi ke klinik kerajaan atau swasta untuk mendapatkan nasihat doktor tentang masalah sukar hamil selepas 2 tahun berkahwin.
  2. Doktor akan memberikan surat rujukan untuk berjumpa pakar sakit puan (O&G) di hospital kerajaan.
  3. Pilih tarikh temu janji dengan doktor sakit puan di hospital.
  4. Doktor akan memeriksa rahim, ovum dan sebagainya. Jika ada sebarang masalah seperti PCOS, endometriosis, fibroid dan sebagainya, doktor akan memberikan rawatan terlebih dulu mengikut tahap keseriusan sama ada secara ubatan atau pembedahan.
  5. Jika tiada masalah seperti di atas, doktor akan membuat ujian HSG untuk melihat sama ada tiub fillapio tersumbat atau pun tidak.
  6. Kalau tiada sebarang masalah, anda perlu buat prosedur IUI terlebih dahulu sebelum IVF. Jika masih gagal selepas beberapa kali, IVF boleh terus dibuat.
  7. IVF boleh terus dibuat jika ada masalah tiub fillapio tersumbat.

Diharapkan para pembaca mendapat banyak maklumat berkaitan IVF. Seperti yang dinyatakan, pasangan yang ingin mendapatkan rawatan perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal. Malahan, kos kewangan juga perlu diambil tahu.

Penulis mendoakan pasangan yang sedang mencuba untuk mendapatkan anak dipermudahkan semua urusan. Jika berjaya, alhamdulillah dan tahniah diucapkan. Jika sebaliknya, sabar dan redha dengan ujian Allah. Sesungguhnya ada hikmah dan rezeki lain yang Allah akan berikan kelak.

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.