Pejam celik, pejam celik, anak kita telah menginjak ke usia 1 tahun. Sungguh pantas masa berlalu, bukan? Daripada hanya berbaring dan meniarap sahaja ketika mereka masih bayi, kini mereka sudah boleh berdiri, atau mungkin berjalan dan berlari.
Perkembangan kanak-kanak berlaku setiap hari dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosial, kemahiran motor, dan sebagainya.
Berikut merupakan 4 perkembangan anak usia 1 hingga 2 tahun dari segi kemahiran dan cara mudah untuk kita meraikannya.
Pada usia ini, anak mula membina autonomi iaitu berasa dirinya mempunyai kuasa dalam menentukan sesuatu perkara dan ingin melakukan pelbagai perkara sendiri.
Sebagai contoh, anak saya akan menentukan baju yang ingin dipakainya dan baju yang saya perlu pakai.
Raikan kemahiran autonomi mereka. Selagi ianya bersesuaian dengan keadaan, tidak salah untuk kita menerima cadangan mereka. Dengan cara ini, ianya dapat membina keyakinan dalam diri mereka dan akan berasa lebih dihargai.
Pada usia 1 hingga 2 tahun ini, anak kita juga mula ‘copy cat’. Dia akan mula menru aksi yang kita lakukan.
Contohnya, sedang saya menyapu sampah, dia juga mahu menyapu. Sedang saya memasak, dia mahu memasak juga.
Raikan kemahiran mereka ini dengan memberi alatan sebenar yang bersesuaian untuk digunakan oleh mereka dengan pemantauan.
Selain itu, anak akan mula ‘pretend play’ iaitu bermain olok-olok atau berlakon.
Sebagai contoh, anak saya mengambil ‘teddy bear’ beliau, membawanya berjalan-jalan dan menyuapkan makanan kepada ‘teddy bear’ seolah-olah ‘teddy bear’ tersebut adalah bayinya.
Ambil peluang ini untuk bermain bersama si manja agar dapat meningkatkan lagi kemahiran bahasa dan kemahiran sosial mereka.
Tanpa kita sedari, anak kita juga sebenarnya sudah mula bereksperimen dengan kita.
Sebagai contoh, anak saya pernah tumpahkan air dari cawan ke lantai. Apabila telah tumpah separuh, dia tengok wajah saya. Melihat saya ‘calm’ sahaja, dia tuang semua air ke lantai. Pada ketika ini, anak sedang eksperimen respon saya terhadap perkara yang dilakukannya itu.
Raikan perkembangan mereka ini dengan cara memberikan respon yang konsisten agar anak tidak keliru dan mengetahui batasan dalam melakukan sesuatu perkara.
Walaupun sesuatu perkara itu kelihatan kecil di mata kita, sebenarnya kanak-kanak pada usia 1 hingga 2 tahun ini sedang mempelajari banyak perkara.
Sebagai ibu bapa, raikan setiap perkembangan si comel dengan memberi galakan, dorongan dan sokongan yang tidak putus-putus buat mereka.
Semoga dengan perkembangan yang baik daripada seluruh aspek, anak-anak akan menjadi individu yang yakin diri dalam menjalani kehidupan seharian mereka.