Pedih ulu hati atau heartburn adalah sangat menyakitkan. Walau pun ianya bukanlah satu kesakitan yang sering kali berlaku namun sesekali ia menyerang, pastinya anda akan terasa tersiksa.

Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan apakah punca pedih ulu hati? Bagaimana cara untuk mencegah ianya daripada berlaku?

Apakah yang dimaksudkan dengan pedih ulu hati?

Pedih ulu hati adalah keadaan di mana anda berasa sakit di bahagian atas perut di bahagian tengah yang berdekatan dengan dada sehingga tidak dapat menegakkan badan. Keadaan ini mungkin berlaku cuma sekejap atau boleh berlarutan untuk tempoh yang lama.

punca pedih ulu hati
Sumber: Needhamgastro

Apakah tanda dan simptom pedih ulu hati?

Jika anda terkena pedih ulu hati, anda akan mengalami tanda-tanda yang berikut:

  • Sakit di bahagian atas perut di bahagian tengah yang berdekatan dengan dada. Sakit ini selalunya berlaku selepas anda makan atau semasa berbaring.
  • Terasaa seperti makanan yang anda makan naik semula ke mulut dari perut.
  • Rasa pahit atau asid dalam mulut.
  • Air liur menjadi lebih banyak daripada biasa.
  • Pedih tekak.
  • Batuk berpanjangan.
  • Perut berangin.

Apakah punca pedih ulu hati?

Terdapat beberapa punca pedih ulu hati yang telah dikenal-pasti dalam dunia perubatan. Di antaranya ialah:

  • Gangguan oleh asid perut pada kawasan bawah esofagus. Keadaan ini berlaku kerana injap di bahagian atas perut yang dikenali sebagai lower esophageal sphincter(LES) tidak tertutup dengan sempurna seperti yang sepatutnya. Apabila ia tidak tertutup dengan sempurna, asid perut akan memasuki esofagus yang tidak mempunyai lapisan penebat bahan kimia lalu menyebabkan berlakunya kesan tindak balas kimia. Kesan tindak balas kimia pada dinding esofagus akan menyebabkan anda berasa pedih ulu hati.
  • Angin pasang yang lebih dikenali sebagai Hiatus atau Hiatus Hernia juga telah dikenal-pasti sebagai salah satu daripada punca pedih ulu hati yang anda alami. angin pasang ini berlaku di persimpangan di antara perut dan esofagus yang berada di dalam ruang dada. Apabila keadaan ini terjadi, otot di simpang tersebut yang berfungsi untuk mencegah makanan naik ke atas semula dari perut menjadi lemah. Apabila ia lemah, makanan dari perut akan naik semula ke atas lalu menyebabkan anda berasa pedih ulu hati.
  • Berat badan berlebihan juga boleh menjadi punca pedih ulu hati. Ini kerana apabila anda mempunyai masalah berat badan, ia akan menyebabkan badan anda mengeluarkan asid perut secara berlebihan.
  • Sindrom Zollinger-Ellison adalah sejenis tumor yang mengeluarkan hormon gastrin yang berfungsi mengeluarkan asid perut. Apabila anda terkena sindrom ini, perut anda akan mengeluarkan asid perut secara berlebihan lalu menyebabkan anda berasa sakit.
  • Merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan malah boleh menjadi punca anda kerap mengalami pedih ulu hati.
  • Alkohol. Selain merokok, minuman berlakohol juga adalah penyumbang kepada pedih ulu hati.
punca pedih ulu hati
Sumber: Wellbeingsecrets
  • Hamil. Wanita hamil lebih mudah untuk terkena pedih ulu hati.
  • Ubat yang menyebabkan pergerakan usus perlahan juga adalah satu lagi punca pedih ulu hati.
  • Penyakit Scleroderma adalah satu lagi punca pedih ulu hati yang telah dikenal-pasti.

Bagaimana cara untuk menghilangkan pedih ulu hati?

Pedih ulu hati boleh diatasi dengan mengambil ubat-ubatan yang berikut:

  • Antasid iaitu ubat yang akan berinteraksi dengan asid perut dan dalam masa yang sama akan mengurangkan kadar asid atau pH dalam perut.
  • Proton Pump Inhibitor (PPI). Ubat ini membantu menghilangkan pedih ulu hati dengan cara mengurangkan pengeluaran asid perut. Contoh ubat yang mengandungi PPI ialah Omeprazole, Lansoprazole.
  • Alginate iaitu ubat yang mengeluarkan buih yang akan menjadi pelindung untuk mencegah makanan dalam perut daripada naik semula semula ke atas. Contoh ubat yang mengandungi Alginate ialah Gaviscon.

Adakah pedih ulu hati sesuatu yang merbahaya?

Pedih ulu hati bukanlah satu masalah kesihatan yang boleh membahayakan kesihatan. Namun, sekiranya anda mengalami keaddan yang berikut, anda dinasihati supaya pergi ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dengan segera:

  • Muntah secara berterusan.
  • Muntah berdarah.
  • Najis berdarah yang berwarna hitam dan berbau sangat busuk.
  • Masih berasa sakit walau pun selepas mendapat rawatan untuk pedih ulu hati.
  • Penurunan berat badan secara mendadak tanpa sebab yang diketahui.
  • Jika anda berumur 55 tahun ke atas dan tidak pernah mengalami masalah pedih ulu hati sebelum ini.
punca pedih ulu hati
Sumber: Medgadget

Apakah tips untuk mengelakkan pedih ulu hati?

Untuk mengelakkan daripada terkena masalah pedih ulu hati, anda boleh mengamalkan tips-tips yang berikut:

  • Makan dalam jumlah yang kecil, jangan makan terlalu banyak makanan sekaligus dalam satu masa.
  • Kunyah makanan dengan perlahan dan elakkan daripada terus menelan makanan.
  • Elakkan baring dalam keadaan yang sekata. Naikkan kepala supaya lebih tinggi daripada paras perut dengan meletakkan dua buah bantal di bawah kepala.
  • Jangan terus baring selepas makan. Tunggu sekurang-kurangnya 2 hingga 3 jam.
  • Elakkan memakai pakaian yang terlalu ketat.
  • Elakkan memakai tali pinggang yang terlalu ketat.
  • Jika berat badan anda berlebihan, selalu bersenam untuk mengurangkan berat badan.
  • Berhenti merokok.
  • Elakkan mengambil ubat yang menyebabkan pergerakan usus menjadi perlahan.
  • Elakkan ubat yang menghakis lapisan perut.
  • Elakkan minuman panas.
  • Elakkan makanan pedas.
  • Elakkan minuman yang mengandungi alkohol.
  • Elakkan minuman bergas.
  • Elakkan stress.

Itulah dia punca pedih ulu hati yang ingin kami kongsikan pada hari ini.
Semoga bermanfaat. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang punca dan punca

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.