Sakit kepala bukanlah kesakitan yang boleh dipandang ringan. Ianya boleh menjejaskan aktiviti harian. Malah ada yang mengalami sakit kepala teruk sehingga muntah-muntah teruk dan tidak mampu untuk berdiri. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan info tentang jenis-jenis dan punca sakit kepala supaya anda boleh mengelakkannya.
Secara umumnya, sakit kepala boleh dibahagikan kepada sakit kepala jenis primer dan sakit kepala jenis sekunder. Apakah yang dimaksudkan dengan kedua-dua jenis tersebut? Apakah punca ianya terjadi?
Sakit kepala Primer
Jenis sakit kepala yang pertama ialah sakit kepala primer. Sakit kepala jenis ini berlaku disebabkan oleh:
Disfungsi struktur di kepala yang sensitif terhadap rasa sakit.
Masalah pada saraf atau saluran darah di bahagian tengkorak
Aktiviti kimia di otak, otot kepala dan leher
Genetik
Di antara sakit kepala yang termasuk dalam kategori primer ialah:
1. Migrain
Migrain lebih banyak berlaku kepada golongan wanita dan risikonya akan bertambah jika ada genetik migrain dalam keluarga anda. Sehingga hari ini, penyebab sebenar migrain masih belum dikenal-pasti namun migrain dikaitkan dengan penurunan tahap hormon otak serotonin lalu menyebabkan saraf melepaskan bahan kimia yang bertanggungjawab menyebabkan anda berasa sakit. Di antara simptom migrain ialah:
Tahap kesakitan yang sederhana atau teruk pada satu bahagian atau kedua-dua belah kepala. Ia juga boleh berlaku pada bahagian mata.
Sakit yang berdenyut-denyut.
Sakit yang sangat lama dan boleh mencecah 4 hingga 72 jam tanpa rawatan.
Ianya tidak kerap berlaku.
Sakit akan menjadi semakin teruk jika anda melakukan aktiviti fizikal atau terdedah kepada cahaya yang terang atau bunyi yang kuat.
Berasa loya.
Muntah-muntah.
Kepekaan yang lebih kepada cahaya, bunyi dan bau.
Penglihatan menjadi kabur.
Pening yang teramat.
Masalah gangguan visual di mana pesakit akan ternampak pelbagai bentuk, cahaya berkelip atau bintik terang sebelum dan semasa migrain.
Sensasi pin dan jarum pada lengan dan kaki atau dikenali sebagai kebas dan sesemut.
Kelemahan atau kebas pada bahagian muka atau satu sisi badan.
Kesukaran bercakap disebabkan sakit yang teramat.
Mendengar bunyi yang pelik.
Terdapat pelbagai punca sakit kepala jenis migrain. Di antaranya ialah:
Tekanan emosi dan stress.
Makanan tertentu seperti coklat, minuman beralkohol, makanan yang mengandungi nitrat seperti sosej, monosodium glutamate (MSG), minuman berkafein, dan jeruk.
Cahaya yang terlalu terang.
Perubahan cuaca yang tidak menentu. Sekejap panas sekejap hujan.
Perubahan pada pola tidur terutamanya bagi yang bekerja shif.
Bunyi yang terlalu kuat dan membingitkan telinga.
Penggunaan ubat tahan sakit yang berlebihan.
Perubahan hormon pada wanita yang disebabkan oleh kitaran haid atau alat merancang kehamilan.
2. Sakit kepala tegang
Sakit kepala tegang adalah jenis sakit kepala yang paling kerap berlaku di kalangan rakyat Malaysia. Seperti migrain, punca sebenarnya masih belum dapat dikenal pasti namun ia sering dikaitkan dengan pengetatan pada otot di kulit kepala dan leher.
Sakit kepala tegang akan menyebabkan kesakitan pada seluruh kepala. Tahap kesakitannya adalah ringan atau sederhana dan kesakitan yang dialami sering digambarkan seperti ada tali ketat diikat di sekeliling kepala. Pesakit juga akan mengalami ketegangan pada dahi, tepi, dan belakang kepala dan dalam masa yang sama akan berasa sakit pada otot leher, bahu dan kulit kepala.
Sakit kepala jenis ini akan menjadi semakin teruk jika pesakit tersebut:
Mengalami tekanan emosi.
Tidak mendapat rehat yang cukup.
Mempunyai postur yang lemah.
3. Sakit kepala kluster
Sakit kepala kluster merupakan jenis sakit kepala primer yang paling parah dan menyakitkan. Ia kerap menyerang lelaki muda yang berada dalam lingkungan umur 20 sehingga 40 tahun. Penyebab sebenarnya masih belum berjaya diketahui namun biasanya ia akan berlaku apabila laluan saraf trigeminal di muka diaktifkan. Ciri-ciri sakit kepala kluster adalah seperti berikut:
Sakit kepala pada sebelah kepala yang boleh dirasai di belakang atau di sekitar mata.
Sakit pada sebelah kepala tadi boleh juga merebak ke bahagian dahi, hidung, pipi atau gusi pada belah kepala yang sakit.
Sakit berdenyut-denyut.
Serangan sakit kepala akan berlaku secara berkumpulan iaitu sebanyak beberapa kali sehari dalam tempoh masa 2 minggu hingga 3 bulan, atau boleh menjadi lebih lama.
Sakit kepala kluster boleh hilang sepenuhnya selama beberapa bulan atau tahun dan tiba-tiba menyerang semula tanpa sebarang tanda.
Serangan sakit kepala kluster pada waktu malam mungkin lebih teruk daripada serangan pada waktu siang.
Sakit kepala kluster juga akan diiringi oleh simptom lain seperti:
Bengkak mata
Pupil mata mengecil
Konjunktiva
Hidung berair
Berpeluh
Muka menjadi merah di sebelah yang terjejas
Kepekaan terhadap cahaya dan bunyi
Sakit kepala Sekunder
Sakit kepala sekunder adalah jenis sakit kepala yang kedua. Ia biasanya berlaku disebabkan oleh penyakit dan masalah kesihatan yang lain seperti:
Jangkitan pada otak Meningitis, Encephalitis, dan abscess.
Masalah pada saluran darah otak akibat strok, Arteritis temporal, Trombosis vena, Hipertensi arteri, dan Malformasi vaskular
Ketumbuhan di dalam otak
Trauma pada kepala
Hydrocephalus iaitu cecair berlebihan yang tidak normal di dalam otak
Kesan sampingan ubat, penyalah gunaan dadah dan penggunaan ubat tahan sakit yang berlebihan
Pseudotumor cerebri iaitu keadaan di mana berlaku peningkatan tekanan di dalam tengkorak
Jangkitan pada bahagian badan yang lain seperti selsema, jangkitan telinga, jangkitan sinus, jangkitan tekak, dan demam
Gangguan metabolik seperti hipoglisemia iaitu paras gula terlalu rendah, hypoxia iaitu masalah kekurangan oksigen, hypercapnia iaitu jumlah karbon dioksida yang terlalu tinggi dalam darah, dan sebagainya
Masalah pada struktur tengkorak, leher, mata, telinga, hidung, sinus, gigi, mulut atau struktur wajah
Neuralgia atau kerengsaan pada saraf
Itulah dia punca sakit kepala yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang punca telinga berdesing dan punca mulut berbau
Kongsikan Artikel ini
Apabila kita menyebarkan kebaikkan walaupun satu ayat, kelak kebaikkan juga yang akan datang kepada kita. Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah satu usaha untuk menyebarkan kebaikkan. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.