Pastinya anda pernah melalui situasi di mana tiba-tiba telinga anda berdesing. Jika telinga anda berdesing sekali-sekala dan jarang-jarang sekali, insya Allah ianya adalah normal.

Namun, jika telinga anda berdesing dengan kerap, anda perlu berhati-hati. Ia mungkin petanda bahawa ada yang tak kena dengan telinga atau kepala anda. Jom kami kongsikan apakah punca telinga berdesing.

Apakah yang dimaksudkan dengan telinga berdesing? Telinga berdesing atau istilah perubatannya Tinnitus merupakan satu keadaan di mana seseorang mendengar bunyi seolah-olah siulan, dengungan atau desiran yang tidak didengari oleh orang lain yang berada di tempat yang sama. Keadaan ini boleh berlaku sesekali dengan sekejap, atau boleh juga berlaku dengan kerap dan dalam masa yang lama. Apakah punca telinga berdesing?

Terdedah kepada bunyi yang terlampau bising untuk tempoh masa yang lama

Menurut kajian, sebanyak 90% daripada mereka yang mengalami masalah telinga berdesing dengan kerap dan lama adalah mereka yang sering terdedah kepada bunyi yang terlampau bising untuk tempoh masa yang lama. Sebagai contoh, mereka yang suka mendengar muzik dengan menggunakan headphone, pembuat perabot, buruh binaan, ahli muzik, ahli orkestra, dan pekerja di lapangan terbang.

Bagaimana mendengar bunyi yang terlalu kuat boleh menyebabkan telinga berdesing? Apabila anda terlalu kerap terdedah kepada bunyi bising, ia akan menyebabkan berlakunya kerosakan pada sel sensitif yang ada di dalam koklea telinga. Di antara fungsi koklea ialah untuk menyerap dan mengubah gelombang bunyi kepada maklumat yang akan dihantar melalui saraf kepada otak.

Apabila sel dalam koklea rosak, sekali gus akan mengganggu keseimbangan badan lalu menyebabkan anda kerap mengalami telinga berdesing. Oleh itu, jika anda sering terdedah kepada bunyi kuat dan selalu mengalami telinga berdesing, kami nasihatkan supaya anda berjumpa doktor dengan segera untuk membuat pemeriksa bagi memastikan koklea anda tidak rosak.

Tahi telinga yang terlalu banyak sehingga menyumbat telinga (impacted earwax)

Tahukah anda bahawa setiap hari telinga kita akan menghasilkan tahi telinga. Semakin hari semakin banyak tahi telinga yang akan terkumpul di dalam telinga. Jika anda tidak membersihkan telinga anda, tahi telinga yang terlalu banyak boleh menyebabkan telinga anda tersumbat.

Telinga berdesing adalah di antara tanda yang dikeluarkan oleh tubuh badan apabila berlaku sumbatan tahi telinga. Oleh itu, jaga kebersihan telinga anda. Bersihkan telinga dan korek telinga anda sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Tekanan darah tinggi

Mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi juga biasanya akan kerap mengalami telinga berdesing. Jika kebelakangan ini anda semakin kerap mengalami telinga berdesing, mungkin anda boleh ke klinik untuk memeriksa kadar takanan darah anda. Mana tahu, punca telinga berdesing yang anda alami adalah disebabkan oleh tekanan darah tinggi.

punca telinga berdesing
Sumber: Ox

Masalah tiroid

Punca telinga berdesing yang seterusnya ialah masalah tiroid. Jika anda adalah seorang pesakit tiroid, tiada apa yang perlu dirisaukan jika anda sering mengalami telinga berdesing. Pastikan anda makan ubat mengikut aturan yang diberikan oleh doktor. Namun, jika telinga berdesing berlaku terlalu kerap dan menjadi semakin lama, sila berjumpa doktor dengan kadar segera kerana dikhuatiri ada masalah kesihatan lain yang menjadi punca telinga berdesing yang anda alami.Telinga yang tersumbat dengan tahi telinga(Impacted earwax)

Jangkitan kuman pada bahagian telinga

Anda juga mungkin mengalami telinga berdesing dengan kerap dan lama disebabkan oleh jangkitan kuman pada mana-mana bahagian telinga termasuk koklea. Oleh itu jika anda semakin kerap mengalami telinga berdesing dan berasa sakit pada telinga, sila berjumpa doktor dengan segera.

Ketumbuhan pada saraf yang membawa maklumat pendengaran

Punca telinga berdesing yang seterusnya ialah disebabkan oleh kewujudan ketumbuhan pada saraf yang membawa maklumat pendengaran. Ketumbuhan ini tidak semestinya mempunyai sel kanser namun mampu menjejaskan kesihatan anda, termasuk ketidak selesaan akibat telinga terlalu kerap berdesing. Oleh itu, jangan ambil ringan jika telinga anda kerap berdesing.

Ubat-ubatan

Tahukah anda bahawa pengambilan ubat-ubatan tertentu juga tekah dikenal pasti sebagai punca telinga berdesing. Di antara ubat yang dikaitkan dengan telinga berdesing ialah:

  • Aspirin
  • Antibiotik
  • Ubat anti-depressi

Oleh itu, jika anda perasan bahawa telinga anda kerap berdesing selepas konsisten mengambil sebarang jenis ubat, sila bercakap dengan doktor anda tentang perkara ini.

Penuaan

Proses penuaan juga boleh menjadi punca telinga berdesing. Hal ini berlaku kerana apabila anda semakin tua, koklea akan menjadi semakin lemah, rosak, bermasalah, dan tidak dapat berfungsi dengan baik.

Otosclerosis

Punca telinga berdesing yang seterusnya ialah otosclerosis iaiatu satu keadaan kesihatan di mana tulang yang berfungsi untuk membawa getaran dan gelombang bunyi menjadi keras lalu menyebabkan kesukaran untuk bergetar.

Kecederaan Pada Kepala

Kecedaraan pada kepala juga dikaitkan dengan masalah telinga berdesing. Kecederaan pada kepala boleh berlaku disebabkan oleh hantukan kepada kepala seperti kemalangan, kecederaan semasa bersilat atau bertae kwan do, dan sebagainya. Oleh itu jika anda mengalami hentakan pada kepala yang diikuti oleh telinga berdesing yang kerap, sila dapatkan pemeriksaan.

Kerosakan Saraf Rahang

Punca telinga berdesing yang seterusnya ialah Temperomandibular Joint iaiatu sejenis masalah pada saraf yag terletak di bahagian rahang yang bersambung kepada tengkorak. Kerosakan pada saraf ini biasanya akan membuatkan pesakit tersebut kerap mengalami telinga berdesing.

Terlampau Stress

Stress atau tekanan sememangnya tidak baik untuk kesihatan. Di antara komplikasi yang akan berlaku disebabkan oleh stress ialah telinga selalu berdesing. Jika anda terlampau stress, berusaha untuk mengatasi dan mengawal stress anda agar tidak menyebabkan berlakunya perkara lain yang lebih serius.

Itulah dia punca telinga berdesing yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang punca kaki kebas, punca kerap sembelit, dan punca pedih ulu hati.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.