Pulau Babi Besar atau sekarang dikenali sebagai Pulau Besar terletak di Mersing, Johor. Jangan keliru ya dengan Pulau Besar yang terletak di Melaka. Untuk ke sini anda perlu menaiki bot di Jeti Mersing selama 30 minit.

Pasti ramai yang terkejut dengan nama pulau ini kerana kedengaran sedikit kasar. Di sebalik nama unik ini, tersimpan satu kisah lagenda sehingga terhasilnya Pulau Babi Besar.Penduduk atau masyarakat setempat memang sinonim dengan nama ini.

Menurut mereka, nama pulau ini diambil dari kisah seorang isteri nelayan yang hamil dan mengidam untuk makan rumpai laut. Setelah dapat apa yang diidamkan, wanita tersebut bertukar menjadi duyung lalu sang suami terlalu marah sehingga memaki dengan perkataan ‘babi’ dan nama tersebut melekat menjadi Pulau Babi.

Lagenda ini amat popular dalam kalangan penduduk setempat namun kesahihannya tidak dapat dipastikan. Apa-apa pun pulau ini memang menarik untuk dikunjungi kerana kecantikkan alamnya yang tersendiri.

Tak banyak tempat menarik di sini memandangkan pulau ini agak kecil berbanding pulau yang terdapat di sekitarnya seperti Pulau Rawa, Pulau Aur dan Pulau Sibu. Namun cukup puas untuk anda bercuti dan melakukan pelbagai aktiviti seperti snorkelling, hiking, berbasikal, berkayak dan sebagainya.

Nak aktiviti mencabar atau lasak? Ataupun sekadar ingin bersantai dan menenangkan fikiran? Anda memang perlu ke sini kerana semuanya memang berbaloi untuk dicuba. Ini tempat yang anda perlu pergi jika ke Pulau Babi Besar.

Aseania Beach Resort

Imej via [ Asenia Beach Resort ]

Asenia Beach Resort adalah salah satu penginapan terkenal  yang terdapat di Pulau Babi Besar. Berkonsepkan resort dengan stail kampung, resort menyediakan 47 bilik penginapan yang selasa, bersih dan cantik.

Banyak kemudahan yang disediakan oleh pihak resort seperti kolam renang, pengangkutan ke lapangan terbang, spa, aktiviti untuk kanak-kanak dan banyak lagi. Aktiviti pantai seperti bola tampar, futsal dan aktiviti air juga anda boleh lakukan di resort ini.

Terdapat 3 jenis bilik iaitu bilik keluarga, bilik dengan pemandangan laut serta bilik larangan merokok. Setiap bilik mempunyai pendingin hawa, peti sejuk, mini bar, sofa, televisyen, kelengkapan mandi dan sebagainya.

Bayu Lestari Island Resort

Anda juga boleh menginap di Bayu Lestari Island Resort. Resort ini cukup terkenal dengan keindahan landskap dan struktur bilik penginapan. Penginapan ala-ala kampung dengan struktur rumah papan pasti memberi sedikit kelainan buat penginap.

Ada empat jenis penginapan yang boleh anda pilih sama ada Executive Bungalow, Deluxe A Farm, Standard Suite dan Exclusive Villa. Kesemua penginapan adalah berasingan antara satu sama lain. 15 buah villa privasi ini mampu memuatkan 110 pengunjung dalam satu masa.

Tak tahu nak buat aktiviti apa? Jangan risau kerana resort ini menyediakan aktiviti menarik seperti jungle trekking,  bola tampar pantai, berbasikal dan kayak. Pasti anda tidak bosan!

Pulau Harimau

Imej via [ Sambal Daily ]

Pulau Harimau memang sangat memuaskan untuk diterokai. Air lautnya yang membiru dengan sedikit kehijauan pasti memukau setiap mata yang memandang. Buat pengetahuan anda, pulau ini adalah pulau milik persendirian.

Pulau yang bersih ini tanpa sebarang pencemaran mempunyai air yang sangat jernih. Pemandangan sekitar memang setanding dengan pulau di luar negara. Teroka sahaja kawasan pulau, cukup memuaskan dan fikiran juga menjadi tenang. Jangan lupa untuk rakamkan gambar anda di sini.

Pulau Sribuat

Pulau Sribuat atau Pulau Seri Buat merupakan tempat yang sesuai untuk anda yang gemarkan aktiviti mendaki. Trek tidak terlalu jauh untuk sampai ke puncak, namun jalannya sedikit curam. Anda tidak perlu risau kerana tali disediakan buat pendaki.

Selain mendaki bukit, anda juga boleh snorkeling di sini. Dengan airnya jernih, kebiruan dan kehijauan, sudah pasti memuaskan untuk melakukan aktiviti ini.

Pulau Tengah

Imej via [ Johor Now ]

Banyak aktiviti yang anda boleh lakukan di pulau ini. Pulau ini sesuai untuk melihat penyu bertelur. Lazimnya penyu akan mendarat pada bulan Oktober untuk bertelur di sini.

Aktiviti paling menarik di Pulau Tengah adalah snorkeling. Berbanding pulau lain yang berada di sekitar, di sini anda boleh melihat pelbagai hidupan marin terutama ikan nemo dan pelbagai spesis batu karang yang cantik.

Pulau Hujung

Jika anda ke Pulau Babi Besar, rugi jika anda tidak datang ke Pulau Hujung. Pulau Hujung dipenuhi tumbuhan atau pepokok seperti pokok palma  yang cantik menghijau. Bukan itu sahaja,  di sini anda boleh bermandi-manda dan juga teroka pelbagai jenis hidupan laut dengan aktiviti snorkeling.

Anda yang sukakan percutian bertemakan alam terutama di laut atau pulau, pasti akan jatuh cinta dengan keindahan Pulau Babi Besar. Keindahan alam sekeliling pasti membuatkan anda lupa segala masalah. Jauh dari kesibukan kota, hati juga pasti tenang lebih-lebih lagi dapat menghirup udara segar.

Malaysia mempunyai banyak pulau yang cantik dan berbaloi untuk dikunjungi. Tak perlu ke luar negara, pulau yang berada di dalam negara sudah cukup memukau. Nak tahu tentang pulau di Malaysia? Kami sediakan untuk anda.

Penulis: Saiful Izzuan

Menulis berkenaan tips motivasi dan kejayaan di blog drInspirasi.com. Seorang yang gemar berkongsi mengenai prinsip Kejayaan dan Bakat. Kebanyakan artikel beliau boleh dibaca di www.drinspirasi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.