Tahukah anda bagi umat Islam yang tidak berkesempatan untuk mengerjakan haji anda boleh juga meraih ganjaran pahala yang melimpah dengan melaksanakan puasa Arafah?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai niat, cara melakukan puasa Arafah dan kelebihan yang boleh umat Islam perolehi.

Pengertian hari Arafah

Hari Arafah adalah sebahagian daripada rukun haji. Ia merujuk kepada hari di mana jemaah haji berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah.

Ibadah ini adalah puncak berkumpulnya seluruh jutaan jemaah Haji dari segenap pelosok dunia. Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:

الحَجُّ عَرَفَةُ

“Haji adalah Arafah.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, No. 814)

Dalil tentang pelaksanaan puasa Arafah

Dalam surah Al-Baqarah, ayat 198, Allah SWT berfirman yang bermaksud:


لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ اَنْ تَبْتَغُوْا فَضْلًا مِّنْ رَّبِّكُمْ ۗ فَاِذَآ اَفَضْتُمْ مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللّٰهَ عِنْدَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ وَاذْكُرُوْهُ كَمَا
 هَدٰىكُمْ ۚ وَاِنْ كُنْتُمْ مِّنْ قَبْلِهٖ لَمِنَ الضَّاۤلِّيْنَ

“Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji).

Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah),

dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.”

Selain itu dari Abu Qatadah Al-Ansari, Rasulullah SAW juga bersabda:

“Berpuasa pada Hari Arafah, aku mengharapkan Allah mengguguran dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Cara mengerjakan puasa Arafah

Secara umumnya, cara mengerjakan puasa Arafah adalah sama seperti mana-mana puasa yang lain. Puasa Arafah dimulai dari imsak hingga terbenamnya matahari (waktu berbuka puasa).

Sepanjang tempoh berpuasa, kita perlu elak dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperrti makan, minum, dan hal-hal lain yang membatalkan puasa.

Namun begitu, ia juga berbeza dari segi lafaz niat yang perlu dibaca. Berikut adalah lafaz niat puasa Arafah:

نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةِ لِلهِ تَعَالَى

Nawaitu sauma ‘Arafata sunnatan lillahi ta’ala

“Sahaja aku berniat puasa hari Arafah, sunat kerana Allah Ta’ala.”

Puasa ini hanya disunatkan kepada mereka yang tidak mengerjakan haji. Sebaliknya bagi jemaah haji pula mereka disunatkan supaya tidak berpuasa pada hari berkenaan.

Hal ini supaya jemaah haji dapat menguatkan mereka untuk berzikir dan beribadah kepada Allah dengan lebih bersungguh-sungguh dan fokus semasa sedang berkumpul di sana nanti.

Hikmah berpuasa pada hari Arafah

Terdapat banyak manfaat berpuasa pada hari Arafah yang boleh anda jadikan pemangkin untuk terus tekun mengerjakan ibadah dan amalan baik kepada Allah. Antara hikmahnya adalah seperti:

1. Diampunkan segala dosa

Berpuasa pada Hari Arafah dijanjikan oleh Rasulullah SAW untuk menggugurkan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang, sebagaimana diriwayatkan dalam hadis oleh Abu Qatadah Al-Ansari.

‘Puasa pada hari tersebut (Hari Arafah) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

2. Memperoleh pahala berlipat ganda

Setiap amalan yang dilakukan pada Hari Arafah akan mendapatkan pahala yang berlipat ganda dari Allah SWT. Antara amalan yang boleh dilakukan adalah ibadah puasa, solat, zikir, dan sedekah.

3. Hari yang diberkati

Hari Arafah adalah hari yang diberkahi, di mana Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunan Nya kepada umat Islam yang beribadah dengan ikhlas dan tulus.

Pada hari ini, banyak umat Islam yang memperbanyak amal ibadah, seperti puasa sunat, solat, zikir, dan bersedekah.

4. Waktu doa yang mustajab

Pada Hari Arafah, doa-doa yang dipanjatkan oleh umat Islam memiliki peluang yang lebih besar untuk dikabulkan oleh Allah SWT.

Oleh kerana itu, umat Islam disarankan untuk memperbanyak doa pada hari ini, memohon ampunan, rahmat, dan hidayah dari Allah SWT.

“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah, “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”. (Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).” – (Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi) 

Selain dari panduan mengerjakan puasa arafah ini, anda juga boleh baca artikel tips kami yang lain berkenaan puasa seperti:

Sumber:

  1. Bayan Al-Falak Siri 2: Idul Adha dan Puasa Hari Arafah. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. #1055: Fadhilat dan Kelebihan Hari Arafah. Maktabah Al-Bakri

Penulis: hannani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.